Sumber : di sini

ULANGTAHUN KEDUA ANGRY BIRDS : PEMINAT DISERU CONTOHI SEMANGAT PERJUANGAN MENENTANG KEZALIMAN

1. Bersempena ulang tahun kedua Angry Birds pada 11 Disember, Pemuda PAS menyeru peminat permainan Angry Birds di Malaysia mencontohi semangat juang yang ditunjukkan oleh ‘burung-burung yang marah’ terhadap ‘si pencuri’ dan mengajak setiap warganegara yang prihatin menghapuskan budaya korupsi dan pecah amanah di kalangan pemimpin.

2. Berdasarkan laporan berita TheMalaysianInsider yang menyatakan ‘Angry Birds’ adalah salah satu daripada carian Google paling popular di kalangan rakyat Malaysia, Pemuda PAS memuji kreativiti pereka permainan Angry Birds, Rovio Mobile, yang berjaya memecah rekod tertinggi di dalam sejarah permainan video dengan jumlah muat turun melebihi 500 juta, hasil idea permainan yang santai, interaktif, dan mempunyai makna tersendiri.

3. Pengarah Institut Polisi Studi Pemuda PAS, Mohd Syahir Sulaiman, menyifatkan permainan Angry Birds memberi inspirasi perjuangan mempertahankan hak. “Angry Birds secara kreatif dan penuh tekad berusaha mendapatkan kembali telur mereka yang dicuri. Pada setiap peringkat, Angry Birds perlu meningkatkan keupayaan untuk memecahkan tembok dan helah oleh si pencuri untuk berselindung. Ini mengajar kita TIGA perkara iaitu;

i. rakyat perlu bangkit menentang kezaliman

ii. pencuri akan ditentang

iii. pihak yang benar pasti akan mengalahkan pihak yang salah”.

4. Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan turut menyifatkan Angry Birds mengajar rakyat agar bangkit berjuang menghapuskan kezaliman. “Slogan ‘Jangan Curi !!’ adalah simbol kemarahan rakyat terhadap EMPAT pengkhianatan pemimpin terhadap rakyat di Malaysia iaitu;

i.  penafian hak rakyat Kelantan terhadap royalti petroleum

ii. penyelewengan Felda dan langkah penyenaraian Felda Global Ventures yang menggadai nasib peneroka

iii. keraguan daftar pemilih oleh SPR sebagaimana didedahkan oleh Pemuda PAS

iv. kontroversi projek National Feedlot Centre bernilai RM250 juta sebagaimana dilapor Ketua Auditor Negara”.

5. Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan turut menyeru rakyat Malaysia menyemai budaya integriti dan ketelusan di dalam negara dengan memilih pemimpin beramanah yang ditawar oleh PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU yang akan datang.

Disediakan oleh:

Mohd Syahir Sulaiman

Pengarah, Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia

msyahir@pas.org.my

http://www.pemuda.pas.org.my

10 Disember 2011