1. Seorang imam solat yang mengimamkan solat tarawih terlalu laju sehingga meninggalkan thoma’ninah, akhirnya sesi solat itu kelihatan seperti satu perlumbaan kejar mengejar antara imam dan makmum. Imam baca fatihah senafas daripada awal sehingga ke akhir (kalau betul tajwidnya, oklah). Ketika makmum sedang membaca tahiyyat akhir, sang imam sudah mengangkat takbiratul ihram untuk rakaat baru tarawih berikutnya.

2. Seorang imam solat membaca surah al-Fatihah. Saat membaca ayat ke-6, (ihdina..) beliau memanjangkan atau membaca secara mad pada hamzah wasal (Iiiihdina..). Begitulah sepanjang-panjang solat tarawih dan solat fardhu yang diimamkan oleh beliau di masjid berkenaan. Bila ditegur, dia ‘menyalahkan’ suaranya yang kurang elok pada malam itu. Berdalih dengan menjelaskan nama-nama syaikhnya di luar negara, tempatnya belajar dan bertalaqqi al-Quran. Penduduk setempat tiada yang berani menegur walaupun tahu, kerana imam bertaraf ustaz.

3. Seorang pak khatib yang masih dikekalkan jadualnya bertugas sebagai khatib di sebuah masjid, membaca petikan berbahasa arab sama ada ayat al-Quran, hadith dan lain-lain dengan sebutan tunggang langgang, yang penting asal bunyi ‘arab’. Bukan tiada ustaz lain yang berkebolehan untuk mengganti, tetapi tiada siapa sanggup menggugurkan jadual khatib berkenaan, bimbang ada yang tersinggung.

Demikian beberapa kes-kes yang pernah disampaikan ke pengetahuan saya, bahkan kes-kes sebegini banyak berlaku. Ia bagai tidak berkesudahan kerana barangkali kurangnya tindakan. Kebanyakan kursus imam dan seumpamanya biasanya hanya  melibatkan imam-imam qaryah atau imam rawatib lantikan JHEAINS, sedangkan kebiasaannya di masjid dan surau yang menjadi imam solat saling berganti. Sebenarnya dalam kebanyakan kes, boleh diselesaikan di peringkat setempat saja tanpa diadu kepada pihak berkuasa agama daerah atau negeri. Di sana sini sudah ramai para ustaz dan alim ulama yang mengetahui hukum hakam tajwid dan fekah yang sepatutnya menjadi rujukan dan ikutan.

CADANGAN

Cadangan ini pernah saya sampaikan kepada beberapa sahabat di jabatan. Alangkah baik sekiranya para ustaz dikumpul sebagai kumpulan pakar mengikut bidang keilmuan masing-masing yang akhirnya menjadi rujukan di satu-satu daerah berkenaan.

Contohnya, ustaz-ustaz yang berkeahlian dalam bidang tajwid tidak kira bekerja di Jabatan Pelajaran, JAKIM, JHEAINS, USIA atau di mana-mana NGO atau agensi lain, atau sudah berpencen di untuk daerah Kota Kinabalu dinamakan sebagai kumpulan pakar tajwid. Mereka menjadi rujukan kepada mereka yang ingin bertanya lebih lanjut, dalam kes ini para imam atau khatib yang bermasalah dirujuk kepada mereka.

Bayangkanlah jika ada imam solat yang melakukan kesilapan dalam bacaan, dan kesilapan itu boleh dirujuk kepada salah seorang ahli pakar berkenaan. Jika perlu secara rasmi, JHEAINS boleh membuat surat hitam putih kepada imam yang berkenaan untuk dirujuk kepada pakar yang ditentukan. Ia wajar dimulakan di Kota Kinabalu dan kemudian dikembangkan ke daerah-daerah lain sekiranya ada pakar-pakar ini di daerah berkenaan.

Barangkali bidang kepakaran juga kemudiannya nanti boleh dikembangkan kepada bidang lain seperti aqidah, syariah, tasauf, tafsir, hadith dan sebagainya. Muzakarah pakar juga boleh diadakan sesekali sekala untuk menyatukan fikrah para ahli pakar dalam satu-satu isu yang timbul – mungkin nasihat dari Pejabat Mufti juga diperlukan.

Saya sekadar mencadangkan, terpulanglah kepada pegawai-pegawai kanan yang terbabit memutuskan, adakah ia tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang atau mana-mana amalan yang sudah dipraktikkan.