Jujurnya saya suka masjid ini.

Ziarah pertama saya kalau tidak salah ialah ketika mengundang wakil mereka ke Istana Negeri Sabah untuk menghadiri program usrah bersama TYT Tun Ahmadshah, seingat saya sekitar awal 2007. Yang saya suka di sini ialah jamaah solatnya lebih separuh adalah anak-anak muda. Kami terikat sesudah itu apabila pengerusi masjid ‘meminang’ saya untuk menyampaikan kuliah menggunakan kitab al-Azkar Imam an-Nawawi.

Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru bagi saya ada keistimewaan sendiri. Barangkali ada faktor lokasi mereka yang sedikit terpencil dari kampung lain, berada di hujung daerah Putatan dan tiada masjid atau surau yang berdekatan mereka di sekitar 6-7 km, seolah-olah saya ingin mengatakan bahawa kawasan perkampungan ini agak suci dan terjaga daripada unsur yang kurang elok.

Satu lagi ialah faktor kehadiran dan kepimpinan Ustaz Abdul Razak Yusuf yang disenangi oleh anak-anak, remaja, kaum ibu dan jamaah sebayanya di kampung atau di masjid. Saya sedikit-sedikit tahu juga aktiviti keagamaan yang ditunjangi oleh beliau dan mendapat sambutan hebat penduduk kampung, seperti kelas KAFA, kelas al-Quran, program qiyamullail yang diadakan secara berkala dan sebagainya. Bagi saya beliau adalah antara penyatu dan menjadi rujukan, hidupnya mendarah daging di kampung ini walaupun beliau berasal dari Kedah.

Kepimpinan pengerusi baru JK masjid berkenaan (lupa nama beliau) juga khabarnya mempunyai agenda yang banyak. Antaranya saya dimaklumkan aktiviti ziarah penduduk yang sakit, penceriaan fizikal masjid luar dan dalam melalui kebersihan, pengecatan semula dan bermacam aktiviti lain. Terakhir tempoh hari ialah majlis qurban melibatkan 7 ekor lembu khabarnya. Barangkali termasuk agenda itu juga ialah pengemaskinian jadual kuliah, termasuk ‘penangguhan’ kuliah maghrib saya pada setiap sabtu malam ahad bermula minggu ini dengan surat yang sampai ke rumah.

Saya meyakini maksud penangguhan itu ialah penamatan dan pemberhentian. Semoga kalimah penangguhan itu ada maksud yang jujur dan tulus kerana Allah SWT bukan kerana yang lain. Saya pula tidak berhasrat untuk berbincang semula apatah lagi merayu, kerana saya sebenarnya sebelum ini pun sudah dihubungi oleh beberapa wakil masjid dan surau lain sekitar Putatan dan Kota Kinabalu untuk memulakan kuliah di tempat mereka pula. Jadi penamatan kuliah malam minggu di Kg Lok Kawi Baru menyebabkan saya lebih mudah menyusun jadual baru. Kata kawan saya, dalam soal ini baik saja saya terus pandang ke hadapan.

Namun saya wajar berterima kasih atas kefahaman dan kebersamaan jamaah yang istiqamah mengaji lembaran demi lembaran risalah daripada kitab al-Azkar Imam Nawawi sejak 3-4 tahun ini. Mudah-mudahan perkongsian sedikit ilmu itu ada kebaikannya dan ganjaran di sisi Allah SWT. Segala kesilapan pohon dimaafkan.