Kami sampai di Surau al-Jemaah Kampung Biau Bongawan ketika jamaah baru memulakan solat isyak, kerana ceramah diadakan selepas itu. Sebenarnya undangan ceramah disampaikan 2 hari sebelum itu, dan memandangkan saya berkelapangan apatah lagi ini kali pertama saya di surau ini, bahkan pertama kali berceramah di Bongawan.

Kami dimaklumkan surau ini baru dirasmikan sebelum Ramadhan tempohari oleh ADUN Bongawan Datuk Karim Bujang. Saya tertarik dengan kehadiran memberansangkan penduduk kampung walaupun notis program ini baru saja dimaklumkan, kaum ibu dan kanak-kanak turut sama mendengar ceramah berkenaan. Antara cadangan saya kepada mereka dalam ceramah itu ialah menggiatkan lagi aktiviti kuliah-kuliah agama secara berkitab seperti ilmu fekah, tauhid, tasauf, hadith, tafsir, sirah dan lain-lain.

Tanpa menafikan kepentingan ceramah sempena hari kebesaran Islam, program pemantapan ilmu-ilmu asas islam sangat perlu diberi perhatian. Teorinya mudah, di mana ada sekolah, di sana ada ustaz ustazah. Jemputlah para ustaz yang bertugas di sekolah rendah dan menengah, guru-guru agama JHEAINS di sekolah agama Islam negeri dan guru-guru KAFA yang dilantik oleh JAKIM. Mereka boleh ditampilkan mengikut kemampuan masing-masing secara bergilir-gilir.

Ceramah berakhir jam 9.10 malam, dan kami pulang ke Kota Kinabalu selepas jamuan dengan mendapat pengalaman baru dan persahabatan baru. Terima kasih atas undangan, juga kehadiran sahabat akrab saya Tuan Imam Razali Abdul Rahman, Imam Qaryah Masjid Pekan Bongawan.