Archive for 3 Disember 2011


AING LUNGKANG

Beberapa hari lepas saya bersama orang sahabat berziarah ke Papar lagi. Kali ini membantu sahabat-sahabat merawat terhadap seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang sedang menduduki SPM. Menurut keluarganya, keadaannya semakin teruk beberapa hari kebelakangan. Dia dikenali sebagai anak yang baik, menunaikan solat dan rajin membaca al-Quran.

Kami tiba jam 9 malam dan mendengar terlebih dahulu cerita keluarganya. Pusingan pertama, Imam Amiruddin – imam Masjid Negeri Sabah membacakan ruqyah yang kami pelajari di Kuliah Perubatan Islam Masjid Negeri, sementara sahabat-sahabat lain dan keluarga pesakit duduk dekatnya bersedia kalau dia mengamuk atau melawan. Pusingan pertama ini saya kira makhluk halus yang berada di tubuh pesakit cuba berhelah dengan tidur dan tidak memberikan reaksi kepada ruqyah yang dibaca dan azan yang dilaungkan.

Mula-mula begitu, kami buntu juga. Haji Dzulbukhari beraksi pada pusingan berikutnya. Nampaknya beliau bersedia dengan sarung tangan dan sebelum itu di dalam kereta menyapukan sedikit minyak wangi kepada kami semua (kerana jin dan syaitan bencikan wangian). Saya lebih banyak memerhati dan memberikan pendapat kepada keluarga pesakit. Akhirnya, setiap kali jin berkenaan cuba berhelah dengan tidur atau pengsan, saya pinta sahabat-sahabat membangunkan pesakit berkenaan supaya sentiasa dalam keadaan jaga, jadi dia terpaksa juga ‘bertarung’ dengan kami.

Oleh kerana kami ramai, beberapa tugasan dilakukan. Ada yang mengazankan rumah, ada yang terus merawat pesakit dan saya meruqyahkan sebaldi air buat mandian keesokan harinya. Keluarga pesakit terpaksa juga menunaikan permintaan pesakit yang mahu makan. Kami dimaklumkan pesakit seorang yang kurang makan kerana diet, tapi malam itu kami melihat dia makan dengan begitu gelojoh sekali. Sesekali minta air, dan kami berikan air yang sudah diruqyah. Oleh kerana dia sudah melihat sebelum itu air dalam jag berwarna hijau yang kami ruqyah, dia menolak dan menjerit dalam bahasa brunei :

“Aing lungkang! Nda mau! Aing Lungkang!”

Dia mendakwa air yang diberikan ialah air longkang. Sebenarnya dia tahu itu air yang sudah diruqyah tetapi menolaknya. Tapi kami pun berhelah juga. Saya minta air berkenaan dituang ke gelas lain, seolah-olah dia diberikan air yang lain. Akhirnya dia menerima dan meminumnya juga. Ini menunjukkan jin atau makhluk halus tidaklah sepintar mana dan mereka tidak mengetahui perkara ghaib sebagaimana disebutkan dalam al-Quran surah Saba’ berkenaan kisah Nabi Sulaiman dan pekerja-pekerjanya daripada kalangan jin dan syaitan.

Jin berkenaan mendakwa beragama Islam dan mereka ramai di dalam tubuh pesakit berkenaan. Disebutnya beberapa nama jin berkenaan, Jabar, Daud, Ali dan beberapa nama lain. Sebenarnya jika benar mereka beragama Islam dan mengetahui ajarannya, mereka tidak boleh mengganggu dan menyakiti orang Islam. Sambil-sambil itu, Abdul Hamid mengambil tempat bergilir dengan Chef Abdullah. Kami balik tepat jam 12 tengah malam dalam keadaan pesakit berkenaan tidur selepas makan tadi. Namun keesokannya saya mendapat khabar, sepulangnya kami, pesakit berkenaan mengamuk kembali sehingga jam 2.

Sehingga catatan ini ditulis, tiada cerita lain yang diperolehi melainkan yang baik-baik saja.

%d bloggers like this: