Khatib : Tuan Haji Matin Datuk Imam Pandin

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Firman Allah : “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-A’raf : 179).

Marilah kita menilai prestasi diri sendiri setiap hari, melihat kelemahan iman di hati, ceteknya ilmu di dada, atau anggota tubuh badan yang lemah dalam melawan godaan hawa nafsu. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui akan kedudukan iman dan amalan setiap hamba-Nya dan kita hendaklah berusaha dan berdoa untuk menambah kebaikan. Sabda Nabi SAW bermaksud : “Kebaikan itu ialah apa yang mententeramkan jiwa dan hati kepadanya. Sementara kejahatan ialah sesuatu yang membimbangkan hatimu”.

Sanggupkah kita hidup di kalangan manusia yang suka mendedahkan keaiban orang lain? Jika kita terpaksa berhadapan dalam keadaan itu, janganlah bersedih kerana Allah SWT Maha Mengetahui keadaan kita. Biarlah Allah SWT yang memberikan pengadilan-Nya dan bukan manusia kerana Allah merahmati hamba-hamba-Nya yang melakukan kebaikan. Sedangkan Allah SWT tidak pernah terlepas daripada mengawasi seluruh kehidupan makhluk-Nya sebagaimana yang difirmankan : “Sesiapa yang melakukan satu kebaikan walau sebesar zarrah, akan diperlihatkan. Sesiapa yang melakukan kejahatan, walau sebesar zarrah akan diperlihatkan juga”.

Mari kita memperbaiki amalan kita di dunia sebelum tiba pada hari pengadilannya kerana apabila sampai hari berkenaan maka tidak berguna lagi.