Archive for November, 2011


 

Program bertajuk Wacana Rakyat : Perlembagaan Persekutuan dan 20 Perkara bersama Prof. Dr Abdul Aziz Bari di Likas Square Kota Kinabalu pada 19 November 2011, antara jam 9 pagi hingga 3 petang bersama kira-kira 100 hadirin pelbagai latar belakang, antaranya para peguam, aktivis politik, veteran dan orang muda tidak kira muslim dan non muslim. Semoga perkongsian ini membuka minda para penonton.

 

 

 

 

 

 

 

USRAH MALAM SABTU

Usrah terakhir tahun ini diadakan di rumah seorang sahabat kami yang baru membeli sebuah rumah di Jalan Muzium dengan harga kira-kira RM400 ribu beberapa minggu lalu. Cantik dan agak luas ruang dalamnya. Sesuailah beliau sekeluarga menjemput sahabat-sahabat berkenduri kesyukuran di rumah. Keluarga muda ini saya kenali sangat optimis dan komited dengan program-program dakwah yang diadakan sekitar Kota Kinabalu.

Saya tersenyum bila saya dimaklumkan bahawa ketika Ramadhan lalu, beliau membuat tinjauan akhir sebelum memutuskan membeli rumah tersebut, justeru ketika berada di rumah itu terdengar sayup tazkirah zuhur Ramadhan yang sedang saya sampaikan dari Masjid Negeri Sabah. Alhamdulillah, maknanya antara perkiraan sebelum membeli rumah itu ialah mereka dapat mendengar seruan azan dan tazkirah dari corong Masjid Negeri Sabah.

Majlis yang sama juga diadakan untuk meraikan beberapa sahabat yang akan berpindah setelah beberapa tahun berada di Sabah. Dr Adlin Zafrulan Zakaria akan kembali ke Kelantan setelah 6 tahun di Sabah. Beliau selama tempoh itu bertugas di Hospital Queen Elizabeth dan pernah menjadi pengerusi PERKIPS hospital berkenaan. Di Masjid Negeri Sabah, beliau pernah beberapa kali saya pelawa menyampaikan tazkirah zuhur di dalam dan di luar Ramadhan yang berkait dengan isu-isu kesihatan seperti solat daripada perspektif kesihatan, bahaya rokok dan lain-lain.

Saudara Nazir Ramlan yang bertugas di Petronas Kota Kinabalu juga sekeluarga akan berpindah ke ibu negara. Beliau sekeluarga adalah tetamu setia Surau Taman Austral dan sering menyertai kuliah-kuliah termasuk kuliah Tajwid al-Quran yang saya bimbing setiap rabu malam khamis. Di petronas jika apa-apa pertandingan majlis tilawah al-Quran, merekalah suami isteri menjadi peserta. Ini saya ketahui sebab saya beberapa kali menjadi juri dalam majlis tilawah mereka.

Majlis juga disekalikan untuk menyampaikan hadiah dan cenderamata pihak usrah kepada sahabat-sahabat yang menimang cahayamata baru sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Antara yang menerima ialah keluarga Ustaz Mad, Ustaz Shazali, Ustaz Sabri, Ustaz Mujib, Ustaz Jumat, Ustaz Mizan dan kami juga. Cenderamata disampaikan oleh Ustaz Azam selaku penasihat surau. Di akhir majlis sedang makan-makan, kami dikejutkan dengan ketibaan rombongan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mengadakan program di Kota Kinabalu. Banyak jugalah sembang-sembang kami berkenaan hal ehwal semasa.

Ini salah satu bilik kelas di PPI an-Nur.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

KERTAS KERJA MOHON BANTUAN DANA UNTUK  MEMPERLENGKAPKAN BILIK GURU PUSAT  PENDIDIKAN ISLAM AN NUR

 1.      MUQADDIMAH

Pusat Pendidikan Islam An Nur (PPIAN) adalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang  berorientasikan Pengajian Al Quran dan Bahasa Arab  berpandukan sukatan pelajaran dan Kurikulum Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)

la ditubuhkan dengan tujuan mendidik pelajar-pelajar agar dapat menghayati kebesaran Al Quran melalui penulisan, pembacaan dan hafalan Al Quran serta ilmu-ilmu berkaitan seperti Bahasa Arab, Tajwid, Qiraat, Khat  dan Tarannum.

PPIAN telah memulakan sesi pembelajarannya pada 15 Februari 2006 dengan 10 orang pelajar berdaftar berumur 5 tahun – 10 tahun dan 2 orang tenaga pengajar.

Di atas peningkatan kesedaran masyarakat yang inginkan anak-anak mereka terdidik, institut ini telah menerima pertambahan pelajar dari masa ke semasa. Sehingga kini, jumlah pelajar telah mencecah kepada 151  orang pelajar, 7 orang guru dan seorang guru besar. Pertambahan ini sangat menuntut kepada peningkatan tenaga pengurusan, ruang pembelajaran dan lain-lain fasiliti tambahan. Atas perkembangan ini dan harapan untuk mewujudkan suasana pendidikan yang terbaik, maka kertas kerja bagi memohon dana pembangunan ini dikemukakan.

Barangsiapa yang berkehendakkan dunia hendaklah ia memiliki ilmu, barangsiapa yang berkehendakkan akhirat hendaklah ia memiliki ilmu dan barangsiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali maka hendaklah ia memiliki ilmu”(al-Hadis)

 2.       OBJEKTIF BANTUAN DANA

Tujuan utama penubuhan tabung ini adalah untuk mengumpul dana bagi membolehkan PPIAN memperlengkapkan kemudahan dalam bilik guru demi keselesaan para guru. Dana ini ini diperlukan kerana pada masa ini yuran sekolah hanya mampu untuk menampung operasi sekolah dari segi pembayaran gaji guru dan kos pentadbiran.

 3.       STATUS PEMBANGUNAN

Lokasi : Surau Taman Austral, Taman Austral, Kepayan, Kota Kinabalu (Jalan Penampang by pass)

 4.      LEMBAGA PENGURUSAN SEKOLAH

Pengerusi : Encik Hambali Bin Saad

Timbalan Pengerusi : Encik Abd Jaid Bin Paki

Setiausaha : Ustaz Mohd Radzi Bin Amaran

Bendahari : Ustaz Idzhar Jaafar

AJK

Dr Nidzam

Dr Adlin Zafrulan Zakaria

Ustaz Muhasibi Razali

 5.      SUMBANGAN ANDA DIPERLUKAN

Pihak Jawatankuasa sedang berusaha memohon derma daripada individu dan tokoh-tokoh korporat yang sudi menyumbang. ( Lampiran disertakan )

 6.      AKAUN BANK

Sumbangan boleh disalurkan terus kepada pihak kami samada dalam bentuk wang atau material ke alamat kami. Atau sumbangan kewangan, anda boleh hulurkan kepada

Pusat Pendidikan Islam An Nur

Maybank Islamic Berhad (Cawangan Sadong Jaya)

No. Akaun :  151137819732

Sebarang pertanyaan boleh hubungi :

  • Encik Hambali Saad                      017  818 2728
  • Encik Idzhar Jaafar                        019  871 1837

 7.      PENUTUP

Semoga usaha murni ini dapat dilakukan dengan jayanya. Kepada pihak yang sudi dan telah menyumbang kepada perkembangan Islam di bawah kendalian PPIAN, didahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Moga Allah menerima semua amal kita dan menjadi bekalan di akhirat.

Disediakan oleh

Pengerusi

Pusat Pendidikan Islam An Nur

Khatib : Imam Haji Mohd Noh Chaleh

Lokasi : Masjid Nurul Islam Kg Peringatan Petagas

Islam menganjurkan umatnya agar berkahwin. Nikah atau berkahwin adalah suatu sunnah atau ibadah yang dituntut. Di dalam Islam juga ditentukan syarat, rukun dan hukum perkahwinan. Matlamat Islam daripada perkahwinan ialah melahirkan perasaan kasih sayang secara halal dan melahirkan zuriat yang baik daripada hasil perkahwinan yang menepati hukum syarak.

Firman Allah : Dan daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia menciptakan untuk kamu daripada kalangan kamu  pasangan-pasangan supaya kamu merasa tenang bersamanya, dan Dia jadikan sesama kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya dalam perkara itu menjadi tanda-tanda  bagi mereka yang berfikir (Rum : 21)

Antara ajaran Islam dalam perkahwinan ialah menyegerakan perkahwinan (apabila bertemu calon yang baik agamanya), memilih pasangan yang kuat beragama, memilih pasangan yang amanah dan sebagainya. Keberkatan dalam perkahwinan juga dapat dimiliki apabila ia menepati syarak seperti mas kahwin yang ringan dan ibu bapa yang hendak melaksanakan perkahwinan untuk anak-anak sewajarnya menimbang sebaik-baiknya soal keberkatan dalam perkahwinan rumahtangga anak-anak.

Majlis perkahwinan juga hendaklah sederhana belanjanya, tidak bermewah dan membazir, tiada niat untuk menyombongkan diri dan berbangga-bangga. Jemputan hendaklah kepada saudara mara, jiran tetangga, orang-orang soleh dan bertaqwa kerana kita mengharap doa-doa mereka yang baik. Undang juga golongan fakir miskin dan tidak hanya membataskan orang-orang kaya sahaja. Amalan-amalan yang sia-sia juga hendaklah ditinggalkan seperti amalan tepung tawar dan sebagainya.

Sekitar 10 minit bermula jam 7.20 pagi, semua siswa-siswi akan berkumpul di perkarangan maahad untuk perhimpunan pagi. Antara pengisiannya ialah doa, asmaul husna, dan seminggu sekali ada tazkirah beberapa minit yang disampaikan salah seorang daripada kalangan mereka secara bergilir-gilir. Saya berminat untuk mencadangkan tazkirah kultum setiap hari agar mereka dilatih bercakap dengan nas dan hujjah.

TASMIK

Kelas tasmik (memperdengarkan) al-Quran yang baru dihafaz bermula pada jam 7.30 pagi dan berlanjutan selama 2 jam. Saya diamanahkan menjadi guru tasmik al-Quran di kelas semester 2, yang sukatan hafazan mereka antara juzu’ 6 hingga 10. Sebenarnya semester 2 kini ada 15 orang dengan dua guru tasmik, Ustaz Sahiful menjaga 6 siswa dan saya pula 9 orang siswa siswi.

Memang di kalangan mereka ada yang mempunyai kualiti hafazan yang baik, ada yang sederhana dan ada yang lemah dan tertinggal hafazan berbanding rakan-rakan mereka. Memandang beberapa minggu ini semester 2 baru bermula, ada di kalangan mereka yang agak tertinggal berbanding teman-teman mereka yang lain dan belum menyelesaikan sukatan hafazan semester lepas (juzu’ 1 hingga 5).

Saya ada meletakkan sasaran untuk mereka, namun bagaimanapun itu semua terpulanglah kepada usaha mereka sendiri. Buat masa ini saya masih berbaik sangka dan optimis dengan kemampuan mereka dengan serba sedikit motivasi. Beberapa orang pula agak sederhana prestasinya, tidak terlalu terkehadapan dan tidak pula tercorot. Di kalangan mereka ada juga yang suka berlumba-lumba dalam hafazan, saling cantas-mencantas, dahulu-mendahului secara positif dan saya suka sikap itu. Mereka istibaq bil khairat!

Saya berharap mereka mengambil iktibar sepotong ayat al-Quran daripada surah Fathir :

32. Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri, dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah, yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

Selepas berehat sekitar 15 minit, mereka masuk ke bilik kuliah untuk subjek-subjek berikutnya. Untuk tempoh itu saya diamanahkan subjek tafsir (surah al-An’am dan al-Anfal) untuk semester 4, dan subjek Dhobtul Quran untuk semester 6. Dhobtul Quran adalah suatu ilmu berkenaan titik dan tanda baris di dalam al-Quran seperti sukun, tasydid, baris atas, bawah dan hadapan dan lain-lain. Subjek-subjek lain dipikul oleh pensyarah-pensyarah lain untuk semester 2, 4 dan 6.

MENGULANG

Sebenarnya tugasan rasmi pensyarah berakhir di situ, sementara untuk siswa-siswi ada sesi prep pada sebelah petang antara jam 2.30 hingga jam 4.30. Oleh kerana saya sudah terbiasa dengan kerja waktu pejabat, dan saya punya misi untuk membantu mengemaskan hafazan yang ada di dada mereka, justeru saya tetapkan untuk siswa siswi yang berada dibawah tanggungjawab saya untuk mengadakan kelas i’adah atau muraja’ah atau mengulang al-Quran beramai-ramai. Kelas ini saya wajibkan kepada mereka dan ruang yang sama diberikan kepada siswa siswi lain yang berminat.

Kaedah ini pernah diterapkan kepada kami oleh guru kami Ybhg Datuk Haji Asmali Bachi. Sekumpulan kami – yang memang sedikit pun – datang ke rumah beliau pada waktu petang atau malam, akan mengulangkaji hafazan al-Quran secara bergilir-gilir. Caranya begini, beliau telah menetapkan juzu’ yang diulang pada petang nantinya. Seorang demi seorang akan membaca semuka demi semuka secara bergilir-gilir beberapa pusingan dan ketika itu semuanya dikehendaki menutup al-Quran mendengar ayat yang dibaca oleh kawan-kawan yang lain.

Tempoh membaca satu juzu’ misalnya akan mengambil masa yang tidak begitu lama sekiranya masing-masing telah mempersiapkan diri dengan hafazan masing-masing yang telah ditentukan lebih awal. Jadi, sekiranya yang hadir (contohnya) lima orang untuk mengulangkaji sejuzu’ (20 muka surat), terdapat empat pusingan berlaku dan masing-masing hanya akan membaca sebanyak 4 muka surat sahaja. Satu segi ia ‘menguntungkan’ dan mengurangkan letih mereka, membaca hanya 4 muka surat tetapi sebenarnya sudah mengulang 20 muka surat melalui mendengar hafazan sahabat-sahabat.

Di sini, saya bahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama siswa bermula sekitar jam 2 sehingga asar, dan kumpulan kedua siswi selepas asar sehingga jam 5.30 petang. Tempoh ini mereka akan mengulang juzu’ satu dan akan naik juzu’ dua. Selepas juzu’ dua, turun semula juzu’ satu dan naik hingga dua dan tiga, kemudian turun satu semula. Begitulah yang akan saya lakukan perlahan-lahan.

Baru seminggu di sini, sebenarnya saya keletihan walaupun hanya duduk-duduk mendengar hafazan mereka. Namun keletihan itu terubat dengan nikmat al-Quran yang saya dengar setiap pagi dan petang bersama-sama mereka yang kini menjadi teman saya setiap hari, lalu saya sendiri dapat mengembalikan al-Quran yang sedikit sebanyak dilupakan dari hati saya buat beberapa tahun kebelakangan. Mendengar al-Quran sekitar 2-3 juzu’ sehari bersama-sama mereka adalah satu nikmat yang tidak patut saya lepaskan.

Saya baru teringat satu kenyataan yang disampaikan sendiri kepada saya oleh Ustaz Kadri Abdul Hamid, salah seorang pensyarah di Kuliyyah al-Quran dan As-Sunnah di Kolej Universiti Insaniah, Kedah. Beliau juga adalah salah seorang ahli Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri.

Beliau ada menyatakan kepada saya bahawa Insaniah melalui Kuliyyah al-Quran dan as-Sunnah sudah menawarkan program Sarjana untuk dua bidang. Pertama Sarjana Pengkajian al-Quran, dan kedua, Sarjana Pengajaran al-Quran. Tawaran sudah bermula dan pendaftaran berakhir pada 15 Disember 2011 akan datang.

Sebelum ini, di Kuliyyah al-Quran dan as-Sunnah ini mempunyai program Diploma Tahfiz al-Quran wal-Qiraat dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz al-Quran. Melalui bacaan saya di web rasmi insaniah, asalnya program ini merupakan kesinambungan daripada Maahad Tahfiz al-Quran Wa al-Qiraat yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Kedah pada tahun 1985 dan diletakkan di bawah KUIN pada tahun 2001.  KUIN telah menubuhkan kulliyyah al-Quran pada sesi 2004/2005.

Terdapat 16 pensyarah di Kuliyyah al-Quran dan as-Sunnah diketuai oleh Dr. Azharuddin bin Sahil selaku dekan yang pernah kami temui beberapa kali. Mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana (master) berkenaan boleh merujuk ke http://quran.insaniah.edu.my/main/ dan pendaftaran online boleh dibuat dengan melayari http://ecampus.insaniah.edu.my/frm.

KULLIYYAH AL-QURAN DAN SUNNAH KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH KEDAH DARUL AMAN MALAYSIA MENAWARKAN PROGRAM MASTER DALAM 1. PENGKAJIAN AL-QUR’AN DAN 2. PENGAJARAN AL-QUR’AN. PENDAFTARAN BERAKHIR PADA 15 DESEMBER 2011.

Untuk maklumat lanjut juga boleh berhubung ke Kolej Universiti Insaniah, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, 05350 Alor Setar Kedah Darul Aman, Malaysia. Emel : enquiry@insaniah.edu.my, nombor telefon 04-7374331, fax 04-7374355

Apabila saya mendengar dan menonton rakaman kuliah Yang Mulia Ustaz Azhar Idrus melalui vcd yang saya beli satu ketika dahulu, membincangkan tentang hadith yang sangat terkenal berkenaan kewajiban belajar  ke atas setiap individu muslim, saya jadi terbuka mata dan fikiran mendengar huraian beliau.

Selama ini kita hanya mendengar dan seperti membiarkan lalu hadith ‘Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap muslim’, biarpun selalu mendengar daripada sekian banyak ustaz dan pendakwah menghuraikannya. Tapi huraian Ustaz Azhar Idrus agak lain walaupun gayanya santai dan bersahaja seperti yang ramai kenali.

Mafhum kata-katanya begini, jika seseorang itu jahil dalam urusan agama – apatah lagi melibatkan ilmu fardhu ain seperti berkaitan rukun iman dan rukun islam dan seumpamanya, dan dia mengetahui adanya pengajian-pengajian, kuliah-kuliah maghrib, ceramah-ceramah dan seumpamanya dekat dengannya seperti di surau atau masjid berdekatan, lalu dia tidak hadir tanpa sebarang uzur syarie, maka dia berdosa.

Sekiranya dia dalam keadaan sibuk mencari rezeki dan berhalangan daripada menghadirkan diri dalam majlis ilmu, maka dia wajib berikhtiar untuk mencari ruang belajar agama agar dia terkeluar daripada kejahilan. Kerana Nabi SAW ada berpesan, “Tidak patut orang jahil mendiamkan diri (tidak mahu belajar), dan tidak patut orang berilmu mendiamkan diri (tidak mahu mengajar)”.

***

Di Masjid Negeri Sabah Kota Kinabalu, pengajian-pengajian sangat banyak diadakan. Ada kuliah maghrib, ada kuliah subuh dan ada kuliah selepas isyak hampir setiap malam. Kuliah maghrib dan subuh sudah berjalan barangkali lebih 20 tahun. Sudah banyak kitab dihabiskan. Guru-guru yang mengajar juga bersilih ganti, ada yang masih kekal bertahan seperti Ustaz Haji Mohd Mursal Muchtar dan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, ada yang sudah berpindah dan ada juga yang sudah kembali ke rahmatullah.

Sementara kuliah selepas isyak diadakan sejak 2-3 tahun kebelakangan ini. Ada kuliah tasawuf, fekah, tauhid, al-Quran, tafsir dan perubatan Islam di bilik kuliah 2. Kuliah-kuliah ini semuanya diadakan secara percuma. Masyarakat hanya perlu hadir dengan adab-adab belajar, membawa buku dan boleh bertanya kepada guru yang mengajar.

Saya sangat menghormati dan tabik kepada kesungguhan sahabat-sahabat yang bekerja keras mempromosi kelas ini terutamanya Tuan Haji Mohd Pozi Awang dan lain-lain. Mereka mempunyai pelbagai idea untuk memperkemaskan lagi pemasaran kuliah ini. Daripada ribuan jamaah yang solat jumaat di masjid ini, ya, hanya tidak sampai 50 orang digerakkan hati mereka untuk hadir ke kuliah seumpama ini dalam keadaan masih ramai masyarakat yang jahil tentang agama mereka sendiri. Mungkin masih salah kami kurang memperkenalkan kuliah ini.

Insya Allah kami akan melancarkan promosi baru pada akhir tahun ini untuk mempromosi lagi pengajian-pengajian berkenaan. Para pembaca blog ini barangkali ada pandangan berbeza. Idea yang baik dan mampu kami laksanakan adalah dialu-alukan. Mudah-mudahan idea itu terlaksana dan mendapat pahala yang berpanjangan. Insya Allah.

Sumber : http://www.jheains.sabah.gov.my/

Oleh : Ahmad Haji Yassin

KINARUT – Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah, Kota Kinabalu yang baru dibangunkan di tapak tanah seluas 30 ekar dengan kos RM20 juta yang terletak di Kinarut, 20 kilometer dari bandar Kota Kinabalu dijangka boleh digunakan pada sesi persekolahan awal tahun 2012 jika segalanya dapat disiapkan terutama penyambungan bekalan eletrik ke bangunan sekolah tersebut dalam masa terdekat ini, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Haji Amri A Suratman semasa lawatan ke bangunan baru sekolah tersebut petang kelmarin.

Menurut Datuk Haji Amri, pembinaan fasa pertama ini yang membabitkan bangunan kelas, asrama putera dan puteri, bilik guru, kantin dan dewan makan sudah siap untuk menyambut kehadiran para pelajar sekolah. Datuk Haji Amri juga berpuas hati dengan siapnya bangunan tersebut yang bertaraf kolej dan satu-satunya Sekolah Menengah Agama Negeri (yang dikelolakan oleh JHEAINS) yang tercantik. Pembinaan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di Pekan Beaufort dan Keningau bakal dibina pada masa yang terdekat ini, katanya.

Menurutnya, bangunan sekolah baru ini akan memberikan keselesaan kepada lebih 500 orang pelajar yang belajar di sekolah tersebut. Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Bahagian Pembangunan, Ag Asnawi Haji Jafar, Pengetua SMAN Toh Puan Hajah Rahmah, Tuan Haji Omar Gana, Nasir Sekolah-Sekolah Agama JHEAINS, Ustaz Mohd Taif Kassim, Ustazah Aisah Kasan dan Ustazah Zubaidah Jammadi.

 

Kompleks Istana Negara, Jalan Duta ialah sebuah kompleks istana Malaysia yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, Malaysia. Secara rasminya, istana ini digunakan pada 15 November 2011 bagi menggantikan Istana Negara di Jalan Istana sebagai tempat bersemayam kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Malaysia. Istana ini telah diserahkan kepada pentadbiran Istana Negara pada 18 Oktober 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 11 November 2011.

Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah Yang di-Pertuan Agong yang pertama bersemayam istana ini pada 15 November 2011 manakala istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 juga bakal menjadi istiadat pertabalan yang pertama diadakan di istana ini.

CIRI-CIRI

Istana Negara, Jalan Duta ini dibina merangkumi tiga komponen utama iaitu Komponen Rasmi, Komponen Diraja dan Komponen Pentadbiran.

Istana Negara ini juga mempunyai 3 laluan masuk utama iatu Pintu Gerbang Masuk Utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta adalah bagi kegunaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan. Pintu 2 yang terletak di Jalan Semantan-Dungun adalah pintu masuk bagi Tetamu-Tetamu Diraja.

Pintu 3 pula yang terletak di Jalan Seri Hartamas, Mont Kiara adalah untuk kegunaan Rakyat yang ingin berurusan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Pentadbiran Istana Negara.

PEMBINAAN

Kerajaan Malaysia telah mencadangkan pembinaan Istana Negara yang baru yang terletak di Jalan Duta. Istana baru ini bertujuan untuk menggantikan Istana Negara yang lama yang telah digunakan sejak 1928. Ini adalah kali pertama kerajaan Malaysia membina sendiri istana Yang di-Pertuan Agong memandangkan istana yang terdahulu adalah dibeli dari seorang jutawan China.

Kompleks Istana Negara Baru ini dibangunkan di atas tanah seluas 241.3 ekar yang dibahagikan kepada empat sayap dan termasuk kawasan meletakkan kenderaan. Ia merangkumi pembinaan Bangunan Utama Istana Negara serta bangunan-bangunan dan kemudahan sokongan yang lain dengan keluasan lantai kasar keseluruhan sebanyak 90,082 meter persegi.

Turut dilaksanakan bagi melengkapkan keperluan Kompleks ini ialah pembinaan jalan masuk bertingkat Jalan Duta ke Pintu 1 Istana Negara dan naiktaraf Jalan Changkat Semantan ke Pintu 2 Istana Negara yang diuruskan oleh Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR. Projek ini telah mula dibina pada akhir November 2007 dan siap sepenuhnya pada akhir September 2011. Kompleks ini juga merangkumi bangunan istana, perumahan untuk pekerja istana, pejabat polis dan sekuriti, kem tentera mini dan gerbang masuk dua tingkat dari Jalan Duta.

Istana ini menelan belanja sebanyak RM812 juta dengan Maya Maju Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama yang dilantik dengan kontrak bernilai RM650 juta, manakala pembinaan lebuh raya bertingkat menuju ke gerbang masuk istana pula dilakukan oleh Ahmad Zaki Sdn. Bhd. pada nilai RM130 juta.

Dengan senibina yang melambangkan Islam dan Melayu, tatarias lampu, pemalapan dan pencahayaan luar dan dalam istana adalah berbeza. Rekaan ini bertujuan untuk mencipta suasana yang tersendiri di samping menjimatkan tenaga. Sistem ini akan dipeusatkan dan dikawal oleh 10 butang kawalan di lokasi yang berbeza.

MAJLIS PENYERAHAN ISTANA NEGARA

Majlis Penyerahan Istana Negara Baru Jalan Duta, Kuala Lumpur telah diadakan di Dewan Serbaguna DiRaja di antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pihak Pengurusan Istana Negara pada 18 Oktober 2011.

Aturcara penyerahan bangunan disempurnakan dengan sesi menandatangani penyerahan dan penerimaan Sijil Penyerahan Bangunan di antara Y.Bhg. Datuk Timbalan Ketua Setiausaha Kanan,Y.Bhg. Datuk Othman Bin Haji Mahmood dari Jabatan Perdana Menteri dengan Y.M Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Y.M Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil yang mewakili pihak Pengurusan Istana Negara. Majlis yang diadakan secara sederhana ini turut dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Kanan daripada Jabatan Perdana Menteri dan Istana Negara.

PERPINDAHAN

Pada 15 November 2011, Yang di-Pertuan Agong secara rasminya berpindah dari Istana Negara, Jalan Istana ke Kompleks Istana Negara Jalan Duta. Perpindahan tersebut dilakukan dengan simbolik perpindahan bendera peribadi Yang di-Pertuan. Upacara menurunkan bendera peribadi baginda di Istana Negara, Jalan Istana dilakukan pada jam 9 pagi manakala upacara menaikkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di kompleks Istana Negara baru disempurnakan tepat jam 10.25 pagi.

Acara berlangsung di dataran Istana Negara, menandakan pemindahan secara rasminya. Upacara bermula dengan perbarisan 52 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja serta 12 Skuadron Istiadat Berkuda diiringi tiupan fajar. Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Hussein Tengku Abdul Jalil kemudiannya menyerahkan bendera kepada Pemangku Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Mejar Mohd Kadri Abu Bakar.

Bendera Yang di-Pertuan Agong dinaikkan dengan diapit dua bendera Jalur Gemilang serta 14 bendera negeri-negeri. Kaedah menaikkan bendera pada tiang berketinggian 30 meter dilakukan secara automatik, berbeza di Istana Negara lama, yang dinaikkan secara manual. Upacara diakhiri dengan bacaan doa.

Sumber  artikel : Wikipedia

Sumber foto di bawah : Facebook Sungai Anak Derhaka

%d bloggers like this: