Archive for November, 2011


SENJA DI LANGIT LABUAN

Kami berangkat dari jeti terminal Menumbok menaiki Feri Wawasan Perdana sekitar 4.30 petang dan tiba di terminal Labuan selepas maghrib. Ruang sutuh feri menjadi kegemaran kami sekeluarga dan ramai penumpang jika cuaca tidak hujan, kalau pun tidak hanya makan-makan dan tidur di dalam kereta.

Angin yang bertiup, pemandangan yang indah – langit di Menumbok dan Labuan, pulau-pulau di sepanjang perjalanan, suasana matahari terbenam, air laut yang berombak sederhana, ditambah lagi dengan pemandangan kapal-kapal yang berlabuh, bot-bot laju yang berulang alik antara dua wilayah. Anak-anak suka sekali berfoto di sini.

Kali ini lima keping foto di bawah saya rakam dengan kamera telefon bimbit, dan foto di atas dengan kamera canon.

Khatib : Ustaz Saphie Mohammad

Lokasi : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas

Semakin menghampiri detik terakhir penghujung tahun ini, maka semakin meningkat pula usia kita   dan semakin berkurangan pula jangka hayat kita di dunia ini.  Situasi ini meletakkan kita kian menghampiri saat menemui ajal lantaran setiap yang hidup akan mati. Justeru itu, sementara tubuh badan masih sihat dan kuat, pemikiran masih cerdas dan mempunyai masa yang lapang, sayugianyalah kita mengimbas kembali catatan kekurangan serta kelemahan diri sepanjang tahun. Tindakan ini dikira muhasabah diri, iaitu perbuatan menghisab dan menilai semula apa yang telah kita lakukan, apakah ia memenuhi tuntutan-tuntutan yang ditentukan oleh Allah SWT atau sebaliknya.

Sebagai hamba Allah, periksa dan semak apakah kita telah dapat menunaikan segala kewajipan yang diperintahkan ke atas kita. Ini termasuklah menilai prestasi dan kesungguhan kita dalam menjunjung perintah Allah SWT seperti mendirikan solat, puasa, zakat dan sebagainya.  Pada waktu sama, simak dan periksa  sama ada kita berhasil ataupun sebaliknya dalam melaksanakan peranan serta tanggungjawab diri sebagai ibu bapa, tanggungjawab sebagai anak, tugas sebagai seorang pelajar,tugas sebagai pekerja, pemimpin dan sebagainya. Lantas, jika merasakan banyak kekurangan serta kelemahan, maka insafilah ia dengan keazaman dan kesungguhan yang kuat untuk memperbaikinya dengan penuh istiqamah.

Dalam erti kata yang lain, bermuhasabah diri bukan setakat mengingat dan menilai kelemahan serta dosa-dosa yang telah lalu, lalu menyesali dan menangisinya. Hakikat muhasabah adalah memaksakan diri untuk kembali taat melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya kerana ia merupakan pelaboran di dunia bagi memperolehi ganjaran syurga di akhirat nanti.

Saat bermuhasabah tidaklah terbatas hanya pada hujung tahun, tetapi harus dijadikan rutin kehidupan seharian  mengingat bahawa sebagai manusia biasa kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan mahupun dosa yang dipengaruhi oleh suasana persekitaran, bisikan syaitan dan kehendak nafsu. Tambahan pula, muhasabah diri selaras tuntutan Taubatan Nasuha (taubat yang murni), iaitu satu perbuatan meninggalkan seluruh perbuatan dosa dan menyesali semua perbuatan mungkar dan keji yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.  Mereka yang sentiasa bertaubat dari kesalahan dan dosa yang dilakukan dengan menyesali perbuatannya itu serta diringi dengan permohonan keampunan daripada Allah SWT termasuk golongan yang sangat dikasihi.

Ini penampilan kedua berceramah di sini. Saya suka mengisi program di sini apatah lagi lima daripada enam anak kami dilahirkan di hospital ini. Ia bagaikan membalas jasa mereka dengan membawa satu pengisian bermanfaat.

Pertama kali 2 tahun lalu ceramah ‘Ihya Ramadhan’, dan kali ini tentang Hijratur Rasul SAW. Saya mulakan dengan hadith niat dan hijrah, dan kemudian bercerita tentang latar belakang hijrah bermula daripada dakwah secara sembunyi sehinggalah babak hijrah. Saya juga menyentuh watak-watak yang terlibat dalam peristiwa hijrah, dan iktibar yang boleh diambil oleh umat Islam.

Kepada para doktor dan jururawat secara khusus saya dengan rendah diri mencadangkan agar terus menerapkan unsur-unsur keislaman – aqidah, syariah dan akhlak – kepada pesakit mereka walaupun kelihatan amalan kecil. Contohnya amalan memulakan rawatan dengan basmalah, tahmid, doa, menerapkan unsur aqidah kepada pesakit seperti kebergantungan kepada Allah, bukan kepada doktor, dan sebagainya.

Oleh kerana di sini terdapat wad bersalin, sebagai contoh saya mencadangkan para doktor khususnya berperanan mengazankan bayi yang baru lahir sekiranya ibu yang bersalin tidak ditemani oleh waris seperti suaminya. Bukan suatu yang menghairankan bahawa ramai para ibu dan bapa tidak mengetahui pensyariatan azan dan iqamah kepada bayi yang baru dilahirkan. Dalam soal ini, para doktor boleh berdakwah dengan cara mengazankan atau menunjukkan cara azan yang betul.

Untuk aktiviti dalaman, saya mencadangkan kursus-kursus seperti ‘ibadah pesakit’, pengurusan janazah, bahkan doa-doa ruqyah yang wajar diterapkan dalam pengubatan. Terus terang saya mencadangkan di kalangan mereka menyertai kursus Darussyifa’ pada pengambilan akan datang. Mudah-mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Terima kasih tuan pengarah yang sudi bersama sehingga ke akhir, para doktor, jururawat dan pengawai-pegawai kesihatan yang hadir.

Jam 8.30 malam selasa lepas kami sudah berkumpul di ruang legar Wisma MUIS. Ada kira-kira 40 orang pegawai dan kakitangan daripada beberapa agensi akan melakukan tugasan ke sebuah kelab malam di bandaraya Kota Kinabalu. Khabarnya ada satu acara seperti pertandingan untuk maknyah di premis terbabit. Saya sebenarnya baru dimaklumkan lewat petang berkenaan oleh Tuan Haji Khamis Jamil yang mengetuai operasi berkenaan dan beliau mengajak saya turun sekali.

Kebetulan saya berkelapangan malam tersebut, maka saya pun menyatakan persetujuan. Saya sebenarnya tidak pernah menyertai sebarang operasi cegah maksiat walaupun satu ketika pernah berkursus berkenaan peraturan operasi seumpama itu beberapa tahun lalu. Barangkali bidang tugas saya selepas itu tiada kaitan secara langsung dengan operasi cegah maksiat. Dan saya kira undangan yang disampaikan oleh Haji Khamis atas dasar saya sebagai jurugambar dan blogger yang boleh membantu mewarwarkan aktiviti JHEAINS ke mata umum.

Sebelum operasi dimulakan, taklimat disampaikan oleh Tuan Haji Khamis Jamil kepada semua yang turut serta. Beliau memaklumkan premis yang menjadi sasaran kali ini, termasuk beberapa adab yang beliau jelaskan. Antaranya mengambil pendekatan diplomasi dan tidak berkasar dengan para pelanggan kelab berkenaan termasuk golongan maknyah. Antara agensi yang hadir ialah wakil DBKK, Jabatan Imigresen dan JHEAINS sendiri. Saya melihat kesungguhan semua yang terlibat termasuk kehadiran imam-imam qaryah sama ada yang masih muda atau berumur.

Sebenarnya hampir 20 orang (saya kurang pasti jumlah sebenar) yang ditahan pada malam itu namun beberapa orang dilepaskan kerana bukan beragama Islam. Operasi hanya memberi tumpuan kepada menahan maknyah yang beragama Islam. Mereka dibawa ke Balai Polis Karamunsing untuk diambil keterangan dan kemudian dibebaskan oleh seorang penjamin setiap seorang. Saya turut dimaklumkan mereka dikehendaki datang semula ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JHEAINS pada suatu tarikh yang ditetapkan.

Ketika masing-masing menanti giliran untuk diambil keterangan, kami pula cuba mendekati beberapa orang di kalangan mereka. Ada juga yang tertunduk malu tidak terkata apa-apa, ada yang cuba menegakkan benang basah mencari simpati, bahkan tidak kurang juga yang cuba memprovokasi kami dengan lenggang lenggok mereka yang menggoda. Kasihan juga melihat mereka, mempunyai nama-nama sebagai seorang Islam yang cantik sekali maknanya. Satu segi lagi, hampir kesemua peserta pertandingan (atau persembahan) tersebut adalah muslim sedangkan penonton yang hadir kebanyakannya non muslim.

Apabila dibawa bercerita, ada yang menyalahkan takdir kerana memilih jalan hidup sedemikian, ada yang menyalahkan ibu bapa dan ada yang bertegas untuk memilih jalan hidup sebagai maknyah. Kubur masing-masing, katanya. Saya kata, dengan sebab kubur masing-masinglah kami hadir untuk menghalang aktiviti maksiat itu berlaku di dunia ini. Sinis saya katakan, kalau kita ramai-ramai satu kubur, boleh cuba-cuba pertahankan dia daripada disiksa oleh malaikat nanti.

Saya meyakini bahawa selain aktiviti dakwah dijalankan oleh bahagian lain di JHEAINS, usaha-usaha cegah maksiat juga terus berjalan menurut kemampuan yang terbatas. Insya Allah kepada beberapa JHEAINS daerah, saya menawarkan diri untuk membantu mempromosi aktiviti mereka melalui blog Abu Nuha Corner ini selain melalui web rasmi JHEAINS.

PENCERAHAN OLEH MAZLAN ALIMAN

Saya tertarik dengan pencerahan berkenaan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang disampaikan oleh Mazlan Aliman. Ceramah  dirakamkan di Beaufort baru-baru ini. Menariknya beliau bercerita dari sisi dirinya yang berasal dari Johor yang merupakan negeri kelahiran dan kubu UMNO. Latar belakang keluarganya, jiran tetangga dan masyarakatnya semuanya UMNO. Ditakdirkan beliau menyambung pengajian di Kelantan pada tahun 80-an dan menyaksikan perubahan mindanya terhadap PAS dan Kelantan.

Selama ini maklumat yang diperolehi tentang PAS dari pihak lain, semuanya negatif tentang PAS. Apabila berada di Kelantan, beliau menyaksikan Islam secara praktikal di sana, solat berjamaah, masjid dan surau yang meriah, anak muda  turun berjamaah dan mendengar kuliah dan ceramah PAS daripada kalangan tokoh-tokohnya ketika itu. Walaupun mindanya beliau masih UMNO, tetapi jiwa mudanya mahu dan boleh mendengar hujah dan ceramah pemimpin PAS.

Saya letakkan ceramah ini sebagai ceramah pengenalan PAS dari sisi pengalaman Mazlan Aliman sejak zaman sekolah hingga penglibatannya sekarang. Ceramahnya santai, bersahaja dan jujur hasil pengalaman yang dikutip dari dirinya sendiri. Ia bagus untuk disebarkan kepada mereka yang mahu berjinak dengan gerakan Islam ini. Kawan-kawan dan pelayar blog ini di kalangan UMNO, dengar dan hayatilah dulu. Ini dunia demokrasi, kalau selepas mendengar dan menonton ceramah ini mahu sertai PAS pun boleh, mahu tinggalkan UMNO pun boleh. Selamat menghayati.

 

 

Sumber : http://aljoofre.blogdrive.com/ (Tuesday, February 08, 2005)

Tajuk Asal : Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun.. Haramkah membacanya??

Terbaca di beberapa blog dan forum baru-baru ini, memandangkan hampirnya kita memasuki tahun baru Hijrah, berkemundang sekali lagi seruan bahawa bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun merupakan satu bid’ah yang jelas haram di sisi Islam. Benarkan apa yang dihebohkan ini? Kalau benar mengapa saban tahun setiap jabatan agama negeri tidak pernah menghalang sambutan ini? Adakah tok mufti dan semua ustaz yang berada di setiap jabatan agama ni bersekongkol dalam kesesatan? Sama-sama kita kaji..

Biasanya apabila kita tidak mengetahui asas bagi satu masalah, maka kita akan mudah membuat keputusan yang salah. Asas dan sebab bagi satu masalah merupakan kunci bagi kita untuk mendapatkan jawapan bagi masalah tersebut. Di sini kita perlu mengkaji dua masalah. Mengapa dibaca doa akhir dan awal tahun. Seterusnya mengapa pula satu golongan lagi cuba untuk mengharamkan perbuatan ini.

Asas pendapat pertama kita lihat dari sudut amalan para ulamak berkurun lamanya bukan sahaja di nusantara malahan di banyak lagi tempat di dunia, yang mengamalkan berdoa di akhir dan awal tahun. Apakah asas mereka? Jawapannya yang ringkas, bukankah kita semua mengetahui bahawa beredarnya bulan dan tahun ini merupakan tanda kekuasaan Allah? Maka tidak layakkah kita sebagai hamba yang lemah memuji Allah apabila kita memerhatikan kebesaranNya? Seterusnya, bukankah molek kalau kita akhiri akhir tahun kita dengan memohon ampun atas kesalahan kita sepanjang tahun lalu, dan seterusnya memulakan awal tahun baru, dengan berdoa kepada Allah agar tahun yang mendatang dipenuhi rahmah dan maghfirahNya? Doa itu senjata mukmin. Maka gunakanlah senjata ada sebaik mungkin.

Asas pendapat kedua. Bid’ah dholalah (atau kata mereka bid’ah secara mutlak) adalah mengadakan sesuatu yg baru yang tiada asasnya langsung dalam agama. Itu kata kita. Ada di kalangan mereka yang menyalah erti bahawa bid’ah adalah sesuatu urusan agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Namun sangkaan ini amat tersasar dari kebenaran berdasarkan terlalu banyak dalil menunjukkan keharusan perkara dalam agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah seperti menghimpunkan Al-Quran dan azan solat jumaat sebanyak dua kali yang dilakukan oleh Saiyidina Usman. Maka diistilahkan pula oleh Imam Syafie dan para mujtahidin yang lain perkara ini sebagai bid’ah hasanah. Malah diklasifikasikan pula oleh Imam Nawawi bid’ah kepada 5 hukum taklifi yang ada. Mereka kata klasifikasi ini klasifikasi dari sudut bahasa, namun jika kita kaji bid’ah dari segi bahasa bukanlah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dan yg lain, tetapi bid’ah dalam agama.

Apapun yang diistilahkan kita sepakat mengatakan bahawa perkara yang dibaharukan yang tiada asasnya langsung dalam agama hukumnya haram dan bid’ah yang dholalah. Nah, sekarang mereka membuat pula satu kaedah. Jika satu ibadat itu dilakukan pada satu waktu tertentu atau hari tertentu atau bilangan tertentu tanpa ada hadis yang warid dari Rasulullah s.a.w. maka ianya dikira sebagai bid’ah (baca bid’ah dholalah) dan haram. 2 asas inilah yang dipegang menjadikan bacaan doa akhir dan awal tahun sebagai haram.

Maka apa pula komentar bagi kedua-dua hujjah kedua-dua golongan ini ya?

Perbincangan bagi hujjah pendapat yang pertama. Dikatakan bahawa memuji Allah apabila memerhatikan kebesaran-Nya. Benar. Namun cara kita menunjukkan pujian dan bersyukur itu perlukan petunjuk dari Allah dan Rasul-Nya s.a.w. Bukannya mengikut fikiran kita semata-mata. Adakah berdoa tersebut cukup untuk menghapuskan segala dosa yang berlaku di sepanjang tahun. Kalau begitu mudahla, Buat dosa banyak-banyak. Akhir tahun doa jelah. Lagipun kalau doa ni pun da bid’ah dan berdosa, sebenarnya bukan hapuskan dosa tapi tambahkan dosa lagi.

Jawapan kepada perbincangan ini. Cara kita menunjukkan pujian dan bersyukur adalah diharuskan selagi mana tidak melanggar syara’. Sebanyak mana pun kita bersyukur takkan cukup dengan nikmat yang Allah beri. Lagipun kita bukan bersyukur mengikut fikiran kita semata-mata, tetapi berdasarkan kepada petunjuk Allah dan Rasul-Nya jugak kan. Bukankah berdoa ini satu cara yang ditunjukkan dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Bukannya kita sambut dgn konsert atau pertunjukkan bunga api.

Berkenaan doa boleh menghapuskan dosa atau tidak tersebut, urusan tersebut diserahkan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang memerintah kita supaya berdoa dan Dialah yang memakbulkan doa dan mengampunkan dosa. Ini merupakan usaha kita yg diperintah oleh-Nya. Hujjah buat dosa banyak2 kemudian berdoa adalah hujah yang dangkal, kerana tiada siapa yang mengetahui selama mana hayatnya. Juga ia seolah-olah mempermain-mainkan mereka yang berdoa setiap hari agar diampunkan oleh Allah. Mengapa tidak tunggu tua sahaja baru berdoa. waktu muda buat dosalah banyak2. Hujah yang amat cetek dan tidak perlu dihiraukan, tetapi perlu dijawab kerana banyak antara mereka yang cetek ilmu, tapi mengaku berilmu. Semua kita sepakat bahawa melakukan perkara yang dilarang oleh syarak secara pasti dan mesti adalah haram. Jadi mengapa perlu dipersoalkan perkara begini. Tetapi kita sebagai manusia yang tidak maksum pasti tidak akan lari dari kesalahan. Jadi kita perlu dari masa ke semasa meminta pengampunan dari Allah s.w.t. Niat melakukan dosa dengan harapan berdoa di waktu lain agar diampunkan adalah niat yang jelas salah dan terlarang.

Perbincangan hujjah pendapat yang kedua pula.

Perbincangan hujjah pendapat yang kedua. Apakah asas-asas yang diiktiraf dalam menentukan hukum dan adakah doa ini tiada asasnya langsung dalam agama? Para ulamak telah berselisih dalam perkara ini, namun mereka sepakat menentukan bahawa Al-Quran, Assunnah, Ijma’ dan Qias secara umumnya adalah asas dalam menentukan hukum. (kecuali beberapa ulamak zahiri dan syiah yang menolak terus qias). Mereka pula hanya menganggap Al-Quran dan Assunnah dan ijtihad para mujtahidin berdasarkan dua sumber ini merupakan asas. Walaubagaimanapun kedua-dua masalah ini tidakla jauh bezanya jika difahami dengan betul. Jadi persoalan sekarang adakah di sana asas bagi doa ini dibaca?

Secara ringkasnya asas bagi berdoa secara umumnya adalah ayat-ayat Alquran dan Assunnah yang terlalu banyak menerangkan perintah berdoa tak kira masa dan tempat. Perintah2 ini tidak boleh kita khususkan kepada doa yang warid dalam alquran dan sunnah semata-mata, kerana ia dikira sebagai mengkhususkan sesuatu yg umum tanpa pengkhususnya. Selain itu warid dari Hadis2 dan asar para solihin keharusan berdoa selain dari yg warid mengikut keperluan kita asalkan tidak bercanggah dengan syarak.

Asas seterusnya dalam berdoa ini adalah berdasarkan maslahah (yang juga sumber perundangan hukum islam). Maslahah yang rajihah (yang boleh diguna pakai) dalam perkara ini ditentukan oleh para ulamak terdahulu bukan menurut pemikiran kita semata. Maslahah ini lebih jelas di zaman kita yang mana ramai di kalangan masyarakat kita sudah jauh dari ajaran Islam dan tidak reti berdoa lagi. Malah di tahun baru ini pun mereka tanpa segan silu membuat kemaksiatan. Bukankah molek jika kita menyeru mereka berdoa di waktu begini?

Jadi apabila ada asas-asas yang disebutkan maka kita tidak boleh menyebut amalan berdoa ini sebagai satu perkara bid’ah yang sesat. Malah boleh kita masukkannya di dalam bid’ah hasanah yang disebutkan oleh Imam Syafie.

Mereka juga menyatakan bahawa sesutu ibadat seperti zikir dan doa itu perlu menyamai Rasulullah dari sudut bilangan, masa, hari dan tempat. Sesuatu yang bercanggah dengan salah satu darinya adalah haram. Kita pula menjawab, di manakah dalil kepada penyataan ini? Ulamak terdahulu tidak pernah membuat kaedah sebegini. kaedah yang ada adalah, ibadat tidak menyalahi dari apa yang Rasulullah tunjukkan. Jangan Rasulullah bersolat subuh 2 rakaat kita bersolat 3 rakaat, kerana nak pahala lebih. Itu yang salah. Adapun berdoa dan berzikir di waktu yang tidak warid Rasulullah berzikir pada waktu tersebut adalah tidak diharamkan. Kerana Rasulullah sendiri sentiasa berzikir dan berdoa. Selain itu perintah berzikir berdoa tidak pernah mengkhususkan masa dan tempat. Tiada salahnya jika kita hanya mengaji Al-Quran selepas maghrib setiap hari dan memerintahkan pula anak-anak kita berbuat sedemikian, walaupun tidak warid dalam hadis Rasulullah ada mengkhusukan begitu. Itu kita sepakat bukan. Jadi mengapa kita mengkhususkan pula sebelum maghrib akhir zulhijjah untuk berdoa dikira sebagai sesuatu perbuatan yang haram?

Hujjah mereka seterusnya adalah kebaikan sesuatu perkara adalah berdasarkan al-Quran dan As-sunnah. Maka kita katakan bahawa kebaikan berdoa ini juga adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang menyuruh kita berdoa tanpa mengira waktu dan tidak pernah pula melarang kita berdoa di waktu2 tertentu. Maka kita simpulkan bahawa berdoa awal dan akhir tahun ini merupakan perkara yang baik menurut syara’. Bid’ah mustahabbah kata Imam Nawawi.

Kesimpulan: Doa di awal dan akhir tahun merupakan sesuatu perkara yang baik dan harus dilakukan oleh setiap lapisan masyarakat, namun ia bukanlah perkara yang wajib. Anda hendak berdoa, berdoalah di setiap waktu dan ketika. Setiap waktu dan ketika itu termasuk juga padanya doa di awal dan akhir tahun. Berdoalah semoga dosa kita di tahun yg lalu diampunkan dan amalan kita diterima. Jua berdoalah moga di tahun baru ini kita dibantu melawan syaitan, nafsu yang menyeru kejahatan serta dibantu melakukan amal ibadat sebanyak mungkin.

Wallahu A’lam

Wasallallahu ‘Ala Saiyidina Muhammad Wa’ala Alihi Wasohbihi Ajma’in, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin

 

Suatu ketika saya memberi kuliah di sebuah masjid, tajuknya tentang surah al-Fatihah dalam bab rukun solat.

Dalam pengalaman yang sedikit memberi kursus berkenaan surah al-Fatihah, ada dua kumpulan manusia. Meski mereka hadir, ada kelompok yang takut-takut dan malu-malu untuk memperdengarkan surah al-Fatihah mereka seterusnya diperbaiki kesilapan yang ada, bahkan kadang-kadang ada yang diam-diam keluar pulang. Sekelompok lagi yang bersedia untuk memperdengarkan tilawah dan bersemangat memperbaiki kesalahan mereka tanpa jemu.

Dalam al-Fatihah ada 14 tasydid atau sabdu yang wajib dijaga. Huruf-huruf dan baris juga mesti dipastikan betul menurut kemampuan masing-masing. Barangkali boleh dirujuk di dalam kitab-kitab fekah, apabila dengan sengaja membaca dengan bunyi an’amtu bukan an’amta. Ada yang menyatakan boleh menjadi murtad jika ia mengetahui maknanya dan sengaja membaca dengan salah pula.

Sebenarnya orang melayu ditakdirkan menjadi bangsa yang mudah menuturkan makhraj huruf berbahasa arab berbanding dengan orang lain dan itu patut disyukuri. Selain itu surah al-Fatihah sangat mudah dibaca dan dihafaz. Perhatikan. Surah ini tiada hukum nun mati kecuali satu, itupun hukumnya izhar. Tiada hukum mad yang lain kecuali mad asli, mad aridh dan satu di hujung mad lazim.

Berbalik kisah di masjid tadi. Kami bertalaqqi surah al-Fatihah beramai-ramai saja dan saya kemudiannya mempelawa di kalangan mereka yang sudi untuk ditashihkan fatihah selepas solat isyak secara perseorangan. Daripada kira-kira 40-50 orang yang hadir itu, hanya ada dua orang yang sanggup dan menyapa saya sebelum saya pulang seusai solat isyak. Dan dua orang itu adalah anak muda yang menjadi harapan kepada kampung berkenaan. Barangkali fatihah mereka yang lain sudah ok!

KELUARGA BARU

Pengetua, tenaga pensyarah dan kakitangan bukan mengajar

Foto-foto ini kami rakamkan akhir minggu lepas kerana kebetulan pengetua dan beberapa pensyarah Maahad akan menyertai satu bengkel pendidikan JHEAINS di Tawau selama 2 hari. Jadi sebagai salah satu bentuk laporan, kami yang sedikit ini mengambil kesempatan untuk merakamkan kenangan bersama. Kiranya saya beruntung juga kerana baru saja menyertai institusi Maahad Tahfiz seminggu lalu.

Di maahad ini ada 30 siswa siswi semuanya, merangkumi semester 2, 4 dan 6. Siswa 17 orang dan bakinya adalah siswi. Sebelum saya masuk ke sini, saya dimaklumkan dua siswi mengambil keputusan untuk berhenti tanpa sebab yang saya ketahui. Jadi sebenarnya inilah antara musim maahad ini mempunyai pelajar siswa siswi yang paling ramai. Sebab pada zaman sebelum ini sejak zaman kami tidak pernah mencapai jumlah 30 orang, dan saya berkeyakinan ia akan terus bertambah pada pengambilan siswa siswi pada tahun hadapan.

Di kalangan tenaga pensyarah yang ada, mereka bukanlah asing dengan saya sendiri sebelum saya berpindah ke sini. Ustaz Haji Azlan Bakri adalah senior di SMAN Toh Puan Hajah Rahmah dan di Mesir, bahkan kami pernah serumah di Kaherah sementara Ustazah Mahliana Mohammad juga pernah seangkatan di Mesir walaupun tidak berapa akrab. Ustazah Dayang Masni adalah tenaga lama di sini dan beliau masuk mengajar apabila kumpulan kami keluar tamat belajar.

Puan Hiryanti, pengetua ketika ini adalah kumpulan yang sama apabila kami menyertai perkhidmatan awam khususnya JHEAINS beberapa tahun lalu. Ustazah Sahiful dan Ustaz Suhaidi adalah alumni pelajar di sini dan kini kembali mencurah khidmat bakti di sini. Suhaidi sendiri baru beberapa minggu kembali ke Sabah setelah 3 tahun berada di Maahad Qiraat al-Azhar Mesir. Kakitangan bukan mengajar pula sudah saya kenali dan biasa kerana mereka sudah lama berkhidmat dengan JHEAINS.

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah ini, meski kuantitinya sedikit adalah satu institusi yang penting dalam JHEAINS. Ia institusi pendidikan tertinggi yang JHEAINS miliki setakat ini. Saya sangat bersyukur dapat ke sini dan mudah-mudahan dapat membantu khususnya dalam soal hafazan al-Quran mereka. Walaupun sudah kenal lama dengan para pensyarah, buat masa ini saya mengambil sikap memberi tumpuan kepada akademik khususnya hafazan al-Quran dan kembali mengenal hati budi teman-teman sejawat dan para pelajar saya.

Semester 6

Semester 4

Semester 2

Tahniah kepada Iffah Elmandily binti Awaluddin dan Fendy bin Saili yang selamat disatukan pada 20hb November 2011 di Dewan Serbaguna Kompleks Penjara Kepayan. Alhamdulillah, saya sempat hadir sebentar menjelang tengahari dengan kehadiran tetamu yang ramai meraikan pengantin sekeluarga. Seronok juga berjumpa kalangan ustaz ustazah yang hadir, teman-teman dari JHEAINS, juga kalangan muallaf yang turut bersama-sama sebab Ustaz Haji Awaludin Nasution dan Ustazah Hajah Maria Hasibuan yang bertugas di Bahagian Dakwah JHEAINS juga membimbing dalam kelas-kelas saudara kita.

Antaranya saya bertemu Datuk Haji Ag Syahrin Alimin, Ustaz Ghazali Sulaiman dan keluarga, sahabat saya Ustaz Safruddin Mansuruddin sekeluarga, Sdr Fahmi sekeluarga, Abang Jamiun Osman teman di pejabat lama, abang Daud yang menjadi deejay, dan ramai lagi khususnya dari JHEAINS. Lazimlah majlis perkahwinan menjadi ruang pertemuan bagi yang lama tidak berjumpa dan sembang santai di luar daripada aktiviti pejabat dan acara rasmi.

Lucu juga cerita-cerita tetamu khususnya Sdr Abu Bakar Ongkosing, Presiden Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT) katanya, ramai orang termasuk ustaz ustazah masuk penjara hari itu. Maklumlah, majlis diadakan di kawasan jabatan penjara dan Ustaz Awaludin tidaklah asing dengan dunia penjara kerana selalu memberikan ceramah dan khutbah di sini kepada para banduan. Ustaz Ghazali Sulaiman pula bercerita tentang banjir yang menimpa kawasan Putatan, termasuk rumah mereka yang dimasuki air sehingga paras lutut menjadi ujian dalam kehidupan mereka.

%d bloggers like this: