Ada beberapa perbezaan apabila saya tiba bersama anak-anak ke kawasan permainan di Pantai Pancur Hitam dekat Kg Pohon Batu Labuan tempohari berbanding beberapa ketika lalu. Dalam blog ini juga saya pernah mencatatkan satu artikel kunjungan kami ke sini. Lokasi ini hampir menjadi kunjungan wajib kami sekeluarga terutama menjadi tuntutan anak-anak untuk mereka bermain apabila bercuti ke Labuan.

Papan tanda mencatatkan kawasan ini sedang diselenggarakan oleh satu syarikat kontraktor bermula tarikh 1 Februari 2010 hingga 31 Januari 2012. Saya kurang maklum apakah kriteria penyelenggaraan yang dimaksudkan, hanyakah sekadar kerja-kerja pembersihan – sedangkan kawasan berkenaan tidak juga terlalu terjaga kebersihannya, atau termasuk memperbaiki prasarana yang disediakan kerana saya melihat beberapa kemudahan sudah tidak ada dan rosak.

Jika mereka yang bertanggungjawab, tarikh yang ada berbaki sekitar sebulan setengah lebih kurang, sedangkan contohnya ‘sudut cabaran’ yang dimaksudkan hanya tinggal nama dan batuan saja. Kemudahan yang disediakan seperti tidak dibersihkan, kelihatan comot walaupun kebanyakannya yang lain masih elok dan boleh digunakan. Ketika kami berkunjung pada awal pagi isnin lalu, kelihatan ramai juga pengguna terutama penduduk berhampiran. Anjung Selera Pohon Batu juga siap beroperasi pada  pagi itu menanti pelanggan mereka.

Sebahagian besar foto ini membuktikan kawasan ini seperti kurang diselenggara sebagaimana dimaksudkan.