Saya suka mengisi program ceramah di sini.

Kehadiran yang memberansangkan dan sistem suara yang sangat bagus, jelas dan terang. LCD juga disediakan untuk memudahkan saya membentangkan ceramah hijratur rasul 1433 kepada semua penghuni Kolej Matrikulasi Labuan (KML). Saya dimaklumkan pelajar muslim lebih ramai sedikit berbanding bukan Islam. Jumlah keseluruhannya kira-kira hampir dua ribu pelajar dan lebih seribu sedikit beragama islam.

Kali pertama bertazkirah di sini beberapa tahun lepas di surau ini tetapi tidaklah seramai kali ini, sementara kali kedua saya memberi sedikit pengisian kepada siswa siswi baru beberapa bulan lepas di kantin mereka. Sebagai penghuni matrikulasi, mereka berada di sini sekitar satu hingga dua tahun dan saya sangat berharap mereka pantas merebut peluang dengan merintis kebaikan-kebaikan melalui aktiviti persatuan dan seumpamanya menurut syariat Islam.

Dalam ceramah hijratur rasul, selain menceritakan serba sedikit penghayatan sirah nabawi, antara perkara yang saya titik beratkan ialah memperbaiki dan memperbetulkan niat mereka dalam setiap perbuatan. Niat datang ke KML contohnya, diperbetulkan agar selaras dengan ajaran Islam, iaitu mencari ilmu dan mencari keridhaan Allah SWT agar dengan ilmu itu boleh berbakti kepada masyarakat dan menjadi ibadah yang akan menjadi saham yang baik pada hari kiamat.