Saya pernah bertemu secara langsung dengannya sekali ketika Pesta Buku 2011 di PWTC. Di kawasan gerai Syarikat Galeri Ilmu, Catriona Ross tampil untuk membantu promosi Majalah Anis yang dalam keluaran itu, wajahnya menjadi pilihan di kulit hadapan majalah berkenaan.

Setinggi tahniah kepada Catriona Ross dan teman-teman artis seumpamanya seperti Wardina, Irma, dan sebelum ini Norkumalasari serta ramai lagi. Di kalangan artis perempuan sudah mula ada yang mengenakan tudung walaupun masih dalam dunia nyanyian dan lakonan yang tidak syarie. Adakah itu boleh diibaratkan penghijrahan sedikit demi sedikit, sebelum mereka berubah secara total? Mudah-mudahan iya dan mereka diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus berhijrah.

Saya yakin ramai percaya artis sama ada yang baik atau sebaliknya memberi pengaruh yang besar kepada para peminatnya. Sama seperti pemimpin, jika mereka melakukan atau merintis satu kebaikan dan dicontohi oleh rakyat dan peminat, mereka pasti mendapat pahala, sedikit pun tidak kurang. Sebaliknya, jika mereka melakukan kemungkaran dan diikuti oleh rakyat dan penyokong mereka, mereka (pemimpin & artis) telah memikul dosa kerana memberi contoh yang tidak baik, sedikit pun tidak berkurang.

Justeru peluang dan kesempatan menjadi orang terkenal dan popular – melalui kepimpinan di pentas politik, atau seni hiburan atau sukan dan sebagainya, boleh menjadi jambatan ke syurga atau ke neraka. Allah SWT sudah menunjukkan dua jalan fujur dan taqwa, maka beruntunglah mereka yang mensucikan diri mereka di atas landasan Islam dan taqwa kepada Allah SWT.