Khatib : Ustaz Saphie Mohammad

Lokasi : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas

Semakin menghampiri detik terakhir penghujung tahun ini, maka semakin meningkat pula usia kita   dan semakin berkurangan pula jangka hayat kita di dunia ini.  Situasi ini meletakkan kita kian menghampiri saat menemui ajal lantaran setiap yang hidup akan mati. Justeru itu, sementara tubuh badan masih sihat dan kuat, pemikiran masih cerdas dan mempunyai masa yang lapang, sayugianyalah kita mengimbas kembali catatan kekurangan serta kelemahan diri sepanjang tahun. Tindakan ini dikira muhasabah diri, iaitu perbuatan menghisab dan menilai semula apa yang telah kita lakukan, apakah ia memenuhi tuntutan-tuntutan yang ditentukan oleh Allah SWT atau sebaliknya.

Sebagai hamba Allah, periksa dan semak apakah kita telah dapat menunaikan segala kewajipan yang diperintahkan ke atas kita. Ini termasuklah menilai prestasi dan kesungguhan kita dalam menjunjung perintah Allah SWT seperti mendirikan solat, puasa, zakat dan sebagainya.  Pada waktu sama, simak dan periksa  sama ada kita berhasil ataupun sebaliknya dalam melaksanakan peranan serta tanggungjawab diri sebagai ibu bapa, tanggungjawab sebagai anak, tugas sebagai seorang pelajar,tugas sebagai pekerja, pemimpin dan sebagainya. Lantas, jika merasakan banyak kekurangan serta kelemahan, maka insafilah ia dengan keazaman dan kesungguhan yang kuat untuk memperbaikinya dengan penuh istiqamah.

Dalam erti kata yang lain, bermuhasabah diri bukan setakat mengingat dan menilai kelemahan serta dosa-dosa yang telah lalu, lalu menyesali dan menangisinya. Hakikat muhasabah adalah memaksakan diri untuk kembali taat melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya kerana ia merupakan pelaboran di dunia bagi memperolehi ganjaran syurga di akhirat nanti.

Saat bermuhasabah tidaklah terbatas hanya pada hujung tahun, tetapi harus dijadikan rutin kehidupan seharian  mengingat bahawa sebagai manusia biasa kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan mahupun dosa yang dipengaruhi oleh suasana persekitaran, bisikan syaitan dan kehendak nafsu. Tambahan pula, muhasabah diri selaras tuntutan Taubatan Nasuha (taubat yang murni), iaitu satu perbuatan meninggalkan seluruh perbuatan dosa dan menyesali semua perbuatan mungkar dan keji yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.  Mereka yang sentiasa bertaubat dari kesalahan dan dosa yang dilakukan dengan menyesali perbuatannya itu serta diringi dengan permohonan keampunan daripada Allah SWT termasuk golongan yang sangat dikasihi.