Ini penampilan kedua berceramah di sini. Saya suka mengisi program di sini apatah lagi lima daripada enam anak kami dilahirkan di hospital ini. Ia bagaikan membalas jasa mereka dengan membawa satu pengisian bermanfaat.

Pertama kali 2 tahun lalu ceramah ‘Ihya Ramadhan’, dan kali ini tentang Hijratur Rasul SAW. Saya mulakan dengan hadith niat dan hijrah, dan kemudian bercerita tentang latar belakang hijrah bermula daripada dakwah secara sembunyi sehinggalah babak hijrah. Saya juga menyentuh watak-watak yang terlibat dalam peristiwa hijrah, dan iktibar yang boleh diambil oleh umat Islam.

Kepada para doktor dan jururawat secara khusus saya dengan rendah diri mencadangkan agar terus menerapkan unsur-unsur keislaman – aqidah, syariah dan akhlak – kepada pesakit mereka walaupun kelihatan amalan kecil. Contohnya amalan memulakan rawatan dengan basmalah, tahmid, doa, menerapkan unsur aqidah kepada pesakit seperti kebergantungan kepada Allah, bukan kepada doktor, dan sebagainya.

Oleh kerana di sini terdapat wad bersalin, sebagai contoh saya mencadangkan para doktor khususnya berperanan mengazankan bayi yang baru lahir sekiranya ibu yang bersalin tidak ditemani oleh waris seperti suaminya. Bukan suatu yang menghairankan bahawa ramai para ibu dan bapa tidak mengetahui pensyariatan azan dan iqamah kepada bayi yang baru dilahirkan. Dalam soal ini, para doktor boleh berdakwah dengan cara mengazankan atau menunjukkan cara azan yang betul.

Untuk aktiviti dalaman, saya mencadangkan kursus-kursus seperti ‘ibadah pesakit’, pengurusan janazah, bahkan doa-doa ruqyah yang wajar diterapkan dalam pengubatan. Terus terang saya mencadangkan di kalangan mereka menyertai kursus Darussyifa’ pada pengambilan akan datang. Mudah-mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Terima kasih tuan pengarah yang sudi bersama sehingga ke akhir, para doktor, jururawat dan pengawai-pegawai kesihatan yang hadir.