Archive for 24 November 2011


Ini penampilan kedua berceramah di sini. Saya suka mengisi program di sini apatah lagi lima daripada enam anak kami dilahirkan di hospital ini. Ia bagaikan membalas jasa mereka dengan membawa satu pengisian bermanfaat.

Pertama kali 2 tahun lalu ceramah ‘Ihya Ramadhan’, dan kali ini tentang Hijratur Rasul SAW. Saya mulakan dengan hadith niat dan hijrah, dan kemudian bercerita tentang latar belakang hijrah bermula daripada dakwah secara sembunyi sehinggalah babak hijrah. Saya juga menyentuh watak-watak yang terlibat dalam peristiwa hijrah, dan iktibar yang boleh diambil oleh umat Islam.

Kepada para doktor dan jururawat secara khusus saya dengan rendah diri mencadangkan agar terus menerapkan unsur-unsur keislaman – aqidah, syariah dan akhlak – kepada pesakit mereka walaupun kelihatan amalan kecil. Contohnya amalan memulakan rawatan dengan basmalah, tahmid, doa, menerapkan unsur aqidah kepada pesakit seperti kebergantungan kepada Allah, bukan kepada doktor, dan sebagainya.

Oleh kerana di sini terdapat wad bersalin, sebagai contoh saya mencadangkan para doktor khususnya berperanan mengazankan bayi yang baru lahir sekiranya ibu yang bersalin tidak ditemani oleh waris seperti suaminya. Bukan suatu yang menghairankan bahawa ramai para ibu dan bapa tidak mengetahui pensyariatan azan dan iqamah kepada bayi yang baru dilahirkan. Dalam soal ini, para doktor boleh berdakwah dengan cara mengazankan atau menunjukkan cara azan yang betul.

Untuk aktiviti dalaman, saya mencadangkan kursus-kursus seperti ‘ibadah pesakit’, pengurusan janazah, bahkan doa-doa ruqyah yang wajar diterapkan dalam pengubatan. Terus terang saya mencadangkan di kalangan mereka menyertai kursus Darussyifa’ pada pengambilan akan datang. Mudah-mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Terima kasih tuan pengarah yang sudi bersama sehingga ke akhir, para doktor, jururawat dan pengawai-pegawai kesihatan yang hadir.

Jam 8.30 malam selasa lepas kami sudah berkumpul di ruang legar Wisma MUIS. Ada kira-kira 40 orang pegawai dan kakitangan daripada beberapa agensi akan melakukan tugasan ke sebuah kelab malam di bandaraya Kota Kinabalu. Khabarnya ada satu acara seperti pertandingan untuk maknyah di premis terbabit. Saya sebenarnya baru dimaklumkan lewat petang berkenaan oleh Tuan Haji Khamis Jamil yang mengetuai operasi berkenaan dan beliau mengajak saya turun sekali.

Kebetulan saya berkelapangan malam tersebut, maka saya pun menyatakan persetujuan. Saya sebenarnya tidak pernah menyertai sebarang operasi cegah maksiat walaupun satu ketika pernah berkursus berkenaan peraturan operasi seumpama itu beberapa tahun lalu. Barangkali bidang tugas saya selepas itu tiada kaitan secara langsung dengan operasi cegah maksiat. Dan saya kira undangan yang disampaikan oleh Haji Khamis atas dasar saya sebagai jurugambar dan blogger yang boleh membantu mewarwarkan aktiviti JHEAINS ke mata umum.

Sebelum operasi dimulakan, taklimat disampaikan oleh Tuan Haji Khamis Jamil kepada semua yang turut serta. Beliau memaklumkan premis yang menjadi sasaran kali ini, termasuk beberapa adab yang beliau jelaskan. Antaranya mengambil pendekatan diplomasi dan tidak berkasar dengan para pelanggan kelab berkenaan termasuk golongan maknyah. Antara agensi yang hadir ialah wakil DBKK, Jabatan Imigresen dan JHEAINS sendiri. Saya melihat kesungguhan semua yang terlibat termasuk kehadiran imam-imam qaryah sama ada yang masih muda atau berumur.

Sebenarnya hampir 20 orang (saya kurang pasti jumlah sebenar) yang ditahan pada malam itu namun beberapa orang dilepaskan kerana bukan beragama Islam. Operasi hanya memberi tumpuan kepada menahan maknyah yang beragama Islam. Mereka dibawa ke Balai Polis Karamunsing untuk diambil keterangan dan kemudian dibebaskan oleh seorang penjamin setiap seorang. Saya turut dimaklumkan mereka dikehendaki datang semula ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JHEAINS pada suatu tarikh yang ditetapkan.

Ketika masing-masing menanti giliran untuk diambil keterangan, kami pula cuba mendekati beberapa orang di kalangan mereka. Ada juga yang tertunduk malu tidak terkata apa-apa, ada yang cuba menegakkan benang basah mencari simpati, bahkan tidak kurang juga yang cuba memprovokasi kami dengan lenggang lenggok mereka yang menggoda. Kasihan juga melihat mereka, mempunyai nama-nama sebagai seorang Islam yang cantik sekali maknanya. Satu segi lagi, hampir kesemua peserta pertandingan (atau persembahan) tersebut adalah muslim sedangkan penonton yang hadir kebanyakannya non muslim.

Apabila dibawa bercerita, ada yang menyalahkan takdir kerana memilih jalan hidup sedemikian, ada yang menyalahkan ibu bapa dan ada yang bertegas untuk memilih jalan hidup sebagai maknyah. Kubur masing-masing, katanya. Saya kata, dengan sebab kubur masing-masinglah kami hadir untuk menghalang aktiviti maksiat itu berlaku di dunia ini. Sinis saya katakan, kalau kita ramai-ramai satu kubur, boleh cuba-cuba pertahankan dia daripada disiksa oleh malaikat nanti.

Saya meyakini bahawa selain aktiviti dakwah dijalankan oleh bahagian lain di JHEAINS, usaha-usaha cegah maksiat juga terus berjalan menurut kemampuan yang terbatas. Insya Allah kepada beberapa JHEAINS daerah, saya menawarkan diri untuk membantu mempromosi aktiviti mereka melalui blog Abu Nuha Corner ini selain melalui web rasmi JHEAINS.

%d bloggers like this: