Suatu ketika saya memberi kuliah di sebuah masjid, tajuknya tentang surah al-Fatihah dalam bab rukun solat.

Dalam pengalaman yang sedikit memberi kursus berkenaan surah al-Fatihah, ada dua kumpulan manusia. Meski mereka hadir, ada kelompok yang takut-takut dan malu-malu untuk memperdengarkan surah al-Fatihah mereka seterusnya diperbaiki kesilapan yang ada, bahkan kadang-kadang ada yang diam-diam keluar pulang. Sekelompok lagi yang bersedia untuk memperdengarkan tilawah dan bersemangat memperbaiki kesalahan mereka tanpa jemu.

Dalam al-Fatihah ada 14 tasydid atau sabdu yang wajib dijaga. Huruf-huruf dan baris juga mesti dipastikan betul menurut kemampuan masing-masing. Barangkali boleh dirujuk di dalam kitab-kitab fekah, apabila dengan sengaja membaca dengan bunyi an’amtu bukan an’amta. Ada yang menyatakan boleh menjadi murtad jika ia mengetahui maknanya dan sengaja membaca dengan salah pula.

Sebenarnya orang melayu ditakdirkan menjadi bangsa yang mudah menuturkan makhraj huruf berbahasa arab berbanding dengan orang lain dan itu patut disyukuri. Selain itu surah al-Fatihah sangat mudah dibaca dan dihafaz. Perhatikan. Surah ini tiada hukum nun mati kecuali satu, itupun hukumnya izhar. Tiada hukum mad yang lain kecuali mad asli, mad aridh dan satu di hujung mad lazim.

Berbalik kisah di masjid tadi. Kami bertalaqqi surah al-Fatihah beramai-ramai saja dan saya kemudiannya mempelawa di kalangan mereka yang sudi untuk ditashihkan fatihah selepas solat isyak secara perseorangan. Daripada kira-kira 40-50 orang yang hadir itu, hanya ada dua orang yang sanggup dan menyapa saya sebelum saya pulang seusai solat isyak. Dan dua orang itu adalah anak muda yang menjadi harapan kepada kampung berkenaan. Barangkali fatihah mereka yang lain sudah ok!