Usrah terakhir tahun ini diadakan di rumah seorang sahabat kami yang baru membeli sebuah rumah di Jalan Muzium dengan harga kira-kira RM400 ribu beberapa minggu lalu. Cantik dan agak luas ruang dalamnya. Sesuailah beliau sekeluarga menjemput sahabat-sahabat berkenduri kesyukuran di rumah. Keluarga muda ini saya kenali sangat optimis dan komited dengan program-program dakwah yang diadakan sekitar Kota Kinabalu.

Saya tersenyum bila saya dimaklumkan bahawa ketika Ramadhan lalu, beliau membuat tinjauan akhir sebelum memutuskan membeli rumah tersebut, justeru ketika berada di rumah itu terdengar sayup tazkirah zuhur Ramadhan yang sedang saya sampaikan dari Masjid Negeri Sabah. Alhamdulillah, maknanya antara perkiraan sebelum membeli rumah itu ialah mereka dapat mendengar seruan azan dan tazkirah dari corong Masjid Negeri Sabah.

Majlis yang sama juga diadakan untuk meraikan beberapa sahabat yang akan berpindah setelah beberapa tahun berada di Sabah. Dr Adlin Zafrulan Zakaria akan kembali ke Kelantan setelah 6 tahun di Sabah. Beliau selama tempoh itu bertugas di Hospital Queen Elizabeth dan pernah menjadi pengerusi PERKIPS hospital berkenaan. Di Masjid Negeri Sabah, beliau pernah beberapa kali saya pelawa menyampaikan tazkirah zuhur di dalam dan di luar Ramadhan yang berkait dengan isu-isu kesihatan seperti solat daripada perspektif kesihatan, bahaya rokok dan lain-lain.

Saudara Nazir Ramlan yang bertugas di Petronas Kota Kinabalu juga sekeluarga akan berpindah ke ibu negara. Beliau sekeluarga adalah tetamu setia Surau Taman Austral dan sering menyertai kuliah-kuliah termasuk kuliah Tajwid al-Quran yang saya bimbing setiap rabu malam khamis. Di petronas jika apa-apa pertandingan majlis tilawah al-Quran, merekalah suami isteri menjadi peserta. Ini saya ketahui sebab saya beberapa kali menjadi juri dalam majlis tilawah mereka.

Majlis juga disekalikan untuk menyampaikan hadiah dan cenderamata pihak usrah kepada sahabat-sahabat yang menimang cahayamata baru sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Antara yang menerima ialah keluarga Ustaz Mad, Ustaz Shazali, Ustaz Sabri, Ustaz Mujib, Ustaz Jumat, Ustaz Mizan dan kami juga. Cenderamata disampaikan oleh Ustaz Azam selaku penasihat surau. Di akhir majlis sedang makan-makan, kami dikejutkan dengan ketibaan rombongan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mengadakan program di Kota Kinabalu. Banyak jugalah sembang-sembang kami berkenaan hal ehwal semasa.