Archive for 19 November 2011


USRAH MALAM SABTU

Usrah terakhir tahun ini diadakan di rumah seorang sahabat kami yang baru membeli sebuah rumah di Jalan Muzium dengan harga kira-kira RM400 ribu beberapa minggu lalu. Cantik dan agak luas ruang dalamnya. Sesuailah beliau sekeluarga menjemput sahabat-sahabat berkenduri kesyukuran di rumah. Keluarga muda ini saya kenali sangat optimis dan komited dengan program-program dakwah yang diadakan sekitar Kota Kinabalu.

Saya tersenyum bila saya dimaklumkan bahawa ketika Ramadhan lalu, beliau membuat tinjauan akhir sebelum memutuskan membeli rumah tersebut, justeru ketika berada di rumah itu terdengar sayup tazkirah zuhur Ramadhan yang sedang saya sampaikan dari Masjid Negeri Sabah. Alhamdulillah, maknanya antara perkiraan sebelum membeli rumah itu ialah mereka dapat mendengar seruan azan dan tazkirah dari corong Masjid Negeri Sabah.

Majlis yang sama juga diadakan untuk meraikan beberapa sahabat yang akan berpindah setelah beberapa tahun berada di Sabah. Dr Adlin Zafrulan Zakaria akan kembali ke Kelantan setelah 6 tahun di Sabah. Beliau selama tempoh itu bertugas di Hospital Queen Elizabeth dan pernah menjadi pengerusi PERKIPS hospital berkenaan. Di Masjid Negeri Sabah, beliau pernah beberapa kali saya pelawa menyampaikan tazkirah zuhur di dalam dan di luar Ramadhan yang berkait dengan isu-isu kesihatan seperti solat daripada perspektif kesihatan, bahaya rokok dan lain-lain.

Saudara Nazir Ramlan yang bertugas di Petronas Kota Kinabalu juga sekeluarga akan berpindah ke ibu negara. Beliau sekeluarga adalah tetamu setia Surau Taman Austral dan sering menyertai kuliah-kuliah termasuk kuliah Tajwid al-Quran yang saya bimbing setiap rabu malam khamis. Di petronas jika apa-apa pertandingan majlis tilawah al-Quran, merekalah suami isteri menjadi peserta. Ini saya ketahui sebab saya beberapa kali menjadi juri dalam majlis tilawah mereka.

Majlis juga disekalikan untuk menyampaikan hadiah dan cenderamata pihak usrah kepada sahabat-sahabat yang menimang cahayamata baru sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Antara yang menerima ialah keluarga Ustaz Mad, Ustaz Shazali, Ustaz Sabri, Ustaz Mujib, Ustaz Jumat, Ustaz Mizan dan kami juga. Cenderamata disampaikan oleh Ustaz Azam selaku penasihat surau. Di akhir majlis sedang makan-makan, kami dikejutkan dengan ketibaan rombongan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mengadakan program di Kota Kinabalu. Banyak jugalah sembang-sembang kami berkenaan hal ehwal semasa.

Ini salah satu bilik kelas di PPI an-Nur.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

KERTAS KERJA MOHON BANTUAN DANA UNTUK  MEMPERLENGKAPKAN BILIK GURU PUSAT  PENDIDIKAN ISLAM AN NUR

 1.      MUQADDIMAH

Pusat Pendidikan Islam An Nur (PPIAN) adalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang  berorientasikan Pengajian Al Quran dan Bahasa Arab  berpandukan sukatan pelajaran dan Kurikulum Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)

la ditubuhkan dengan tujuan mendidik pelajar-pelajar agar dapat menghayati kebesaran Al Quran melalui penulisan, pembacaan dan hafalan Al Quran serta ilmu-ilmu berkaitan seperti Bahasa Arab, Tajwid, Qiraat, Khat  dan Tarannum.

PPIAN telah memulakan sesi pembelajarannya pada 15 Februari 2006 dengan 10 orang pelajar berdaftar berumur 5 tahun – 10 tahun dan 2 orang tenaga pengajar.

Di atas peningkatan kesedaran masyarakat yang inginkan anak-anak mereka terdidik, institut ini telah menerima pertambahan pelajar dari masa ke semasa. Sehingga kini, jumlah pelajar telah mencecah kepada 151  orang pelajar, 7 orang guru dan seorang guru besar. Pertambahan ini sangat menuntut kepada peningkatan tenaga pengurusan, ruang pembelajaran dan lain-lain fasiliti tambahan. Atas perkembangan ini dan harapan untuk mewujudkan suasana pendidikan yang terbaik, maka kertas kerja bagi memohon dana pembangunan ini dikemukakan.

Barangsiapa yang berkehendakkan dunia hendaklah ia memiliki ilmu, barangsiapa yang berkehendakkan akhirat hendaklah ia memiliki ilmu dan barangsiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali maka hendaklah ia memiliki ilmu”(al-Hadis)

 2.       OBJEKTIF BANTUAN DANA

Tujuan utama penubuhan tabung ini adalah untuk mengumpul dana bagi membolehkan PPIAN memperlengkapkan kemudahan dalam bilik guru demi keselesaan para guru. Dana ini ini diperlukan kerana pada masa ini yuran sekolah hanya mampu untuk menampung operasi sekolah dari segi pembayaran gaji guru dan kos pentadbiran.

 3.       STATUS PEMBANGUNAN

Lokasi : Surau Taman Austral, Taman Austral, Kepayan, Kota Kinabalu (Jalan Penampang by pass)

 4.      LEMBAGA PENGURUSAN SEKOLAH

Pengerusi : Encik Hambali Bin Saad

Timbalan Pengerusi : Encik Abd Jaid Bin Paki

Setiausaha : Ustaz Mohd Radzi Bin Amaran

Bendahari : Ustaz Idzhar Jaafar

AJK

Dr Nidzam

Dr Adlin Zafrulan Zakaria

Ustaz Muhasibi Razali

 5.      SUMBANGAN ANDA DIPERLUKAN

Pihak Jawatankuasa sedang berusaha memohon derma daripada individu dan tokoh-tokoh korporat yang sudi menyumbang. ( Lampiran disertakan )

 6.      AKAUN BANK

Sumbangan boleh disalurkan terus kepada pihak kami samada dalam bentuk wang atau material ke alamat kami. Atau sumbangan kewangan, anda boleh hulurkan kepada

Pusat Pendidikan Islam An Nur

Maybank Islamic Berhad (Cawangan Sadong Jaya)

No. Akaun :  151137819732

Sebarang pertanyaan boleh hubungi :

  • Encik Hambali Saad                      017  818 2728
  • Encik Idzhar Jaafar                        019  871 1837

 7.      PENUTUP

Semoga usaha murni ini dapat dilakukan dengan jayanya. Kepada pihak yang sudi dan telah menyumbang kepada perkembangan Islam di bawah kendalian PPIAN, didahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Moga Allah menerima semua amal kita dan menjadi bekalan di akhirat.

Disediakan oleh

Pengerusi

Pusat Pendidikan Islam An Nur

%d bloggers like this: