Khatib : Imam Haji Mohd Noh Chaleh

Lokasi : Masjid Nurul Islam Kg Peringatan Petagas

Islam menganjurkan umatnya agar berkahwin. Nikah atau berkahwin adalah suatu sunnah atau ibadah yang dituntut. Di dalam Islam juga ditentukan syarat, rukun dan hukum perkahwinan. Matlamat Islam daripada perkahwinan ialah melahirkan perasaan kasih sayang secara halal dan melahirkan zuriat yang baik daripada hasil perkahwinan yang menepati hukum syarak.

Firman Allah : Dan daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia menciptakan untuk kamu daripada kalangan kamu  pasangan-pasangan supaya kamu merasa tenang bersamanya, dan Dia jadikan sesama kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya dalam perkara itu menjadi tanda-tanda  bagi mereka yang berfikir (Rum : 21)

Antara ajaran Islam dalam perkahwinan ialah menyegerakan perkahwinan (apabila bertemu calon yang baik agamanya), memilih pasangan yang kuat beragama, memilih pasangan yang amanah dan sebagainya. Keberkatan dalam perkahwinan juga dapat dimiliki apabila ia menepati syarak seperti mas kahwin yang ringan dan ibu bapa yang hendak melaksanakan perkahwinan untuk anak-anak sewajarnya menimbang sebaik-baiknya soal keberkatan dalam perkahwinan rumahtangga anak-anak.

Majlis perkahwinan juga hendaklah sederhana belanjanya, tidak bermewah dan membazir, tiada niat untuk menyombongkan diri dan berbangga-bangga. Jemputan hendaklah kepada saudara mara, jiran tetangga, orang-orang soleh dan bertaqwa kerana kita mengharap doa-doa mereka yang baik. Undang juga golongan fakir miskin dan tidak hanya membataskan orang-orang kaya sahaja. Amalan-amalan yang sia-sia juga hendaklah ditinggalkan seperti amalan tepung tawar dan sebagainya.