Archive for 15 November 2011


ADAKAH MEREKA MERASA AMAN

Sumber foto : Facebook Anak Bulan Moden

Foto ini dirakamkan dalam kejadian ribut berdekatan Pantai Pancur Hitam, hanya beberapa kilometer dari rumah kami di kampung, sekitar 14km dari pusat bandar Labuan sekitar jam 3.45 petang pada 8 November 2011, selasa lepas. Mohon dijauhkan bala bencana ke atas pulau ini dan penduduknya. Mohon Allah SWT memberikan hidayah kepada penduduk di sini agar membenci maksiat yang semakin berleluasa, kelab malam, premis urut, arak dan hiburan yang bermacam-macam.

Ia sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT, hanya entah manusia mahu sedar atau tidak. Dalam satu ayat Allah SWT menyatakan zahirnya kerosakan di daratan dan lautan gara-gara tangan manusia.. Ternyata Allah SWT masih mengasihi penduduk pulau ini. Justeru dekatkan diri ke rumah Allah, program-program yang mendatangkan kasih sayang Allah SWT. Untuk peristiwa ini, saya rakamkan turutan ayat al-Quran dari surah al-A’raf :

96. Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi; tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

97. Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?

98. Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

99. Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

100. Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)?

Sikit lagi

Secara rasminya, saya sudah melapor diri ke tempat bertugas yang baru pada 1 November 2011 tempohari, namun seperti kebiasaan orang yang berpindah tempat bertugas, saya masih hadir ke tempat lama di Bahagian Penyelidikan & Informasi (BPI) JHEAINS menyiapkan tugasan-tugasan berbaki dan mengemas barang-barang peribadi untuk diangkut sedikit demi sedikit.

Setelah dimaklumkan pertukaran saya secara hitam putih, saya mula berkemas sedikit demi sedikit. Dua minggu hari bekerja, saya angkat sedikit demi sedikit pada waktu petang. Sebenarnya barang peribadi tidaklah terlalu banyak, jadi tidak  sukar untuk membawa beransur-ansur ketika pulang petang. Sehingga ada teman sepejabat terkejut bilik hampir lengang pada petang jumaat lepas.

Saya melapor diri ke bahagian ini pada 29 Februari 2008 dalam suasana kempen pilihanraya, kira-kira seminggu sebelum hari pengundian pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 setelah setahun empat bulan di Istana Negeri. Alhamdulillah,  di BPI ini saya mendapat teman-teman sepejabat yang sangat mengerti terutamanya ketua kami Ustaz Musally Moksin yang sempoi orangnya.

Lucu juga mengingatkan saya pernah buat kecoh dan dianggap menyusahkan pentadbiran kerana isu teks khutbah yang didakwa menyinggung perasaan orang tertentu daripada kalangan al-mala’. Teks khutbah jumaat yang saya tulis untuk jabatan kemudian ditarik balik walaupun sudah dibaca ramai khatib seluruh Sabah. Saya kemudiannya di’gam’ daripada menulis khutbah untuk jabatan. Itulah antara asbab saya kemudiannya menulis blog yang sedang saudara saudari tatap sekarang ini.

Tidak mengapalah kerana itu saya anggap sebagai asam garam kehidupan dan pahit manis perjuangan (walaupun itu hanya kecil sahaja). Ada lagi beberapa kali, tetapi saya abaikan saja, sehingga dipanggil dan ditemui oleh teman SB. Dalam soal kerja, saya amat mengakui kelemahan saya dalam soal penyelidikan kerana saya tidak dilatih untuk itu. Antara yang diingati ialah membaca beberapa buah buku yang disyaki mengandungi fakta-fakta agama yang menyeleweng, walaupun saya bukan pakar usuluddin, syariah atau tasawuf.

Kunjungan ke beberapa lokasi ajaran yang didakwa pengadu mengadakan ajaran sesat atau salah, antaranya ke Tuaran, Papar, Kota Marudu, Semporna, bahkan ke sekitar Kota Kinabalu juga dan lain-lain. Ada juga individu tertuduh melibatkan teman-teman yang dikenali, yang rasanya melibatkan emosi persahabatan dan sudah tentu lebih sukar menyelesaikannya.

Saya turut menyertai beberapa operasi bersama KDN, KPDN&HEP dan agensi lain untuk meninjau buku-buku terlarang serta bersama Unit Halal (disebut sebagai urus setia Makanan Gunaan Islam -MGI) membuat operasi bersama ke restoran dan kilang-kilang memproses makanan. Ketika musim Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) daerah-daerah dan perkhidmatan awam, saya agak sibuk mengatur hakim-hakim tilawah untuk diagihkan bertugas di lokasi yang ditetapkan. Di sini juga saya diberi peluang menulis sebuah buku kecil bertajuk ‘Tazkirah, Peringatan Buat Diri Yang Lemah’, dan dicetak 3 ribu naskhah untuk edaran kepada masyarakat.

Saya kira itu semua sebagai pengalaman manis dalam berkhidmat sebagai penjawat awam. Tugasan-tugasan seperti itu, saya amat hargai dan saya amat berterima kasih kepada semua pihak, daripada Ybhg Datuk Pengarah sehinggalah kepada teman-teman sepejabat di BPI. Insya Allah ia menjadi kenangan terindah dan tidak akan saya lupakan. Kepercayaan pentadbiran khususnya Datuk Pengarah dan Timbalan Pengarah (HEI) dengan perpindahan saya ke tempat baru beserta nasihat-nasihat berharga mereka juga tetap hargai.

Justeru, saya menganggap bertugas di Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Negeri Sabah bermula semalam (14 November 2011) sebagai peluang untuk mendidik dan berkongsi ilmu bersama bakal para huffaz al-Quran. Dalam mesyuarat akademik tempohari, saya ada menyuarakan hasrat saya membantu mengemaskan hafazan mereka sama ada daripada segi hafazan baru (tasmik) atau memelihara hafazan sedia ada (muraja’ah atau i’adah atau mengulang).

Saya katakan, kebiasaannya pelajar diawasi oleh para pensyarah dalam soal tasmik (memperdengarkan hafazan yang baru), tetapi agak terabai dalam soal mempertahankan hafazan yang lama, dan itu juga menjadi keutamaan saya. Saya diamanahkan menjadi guru tasmik al-Quran kepada 9 siswa siswi semester dua – semester dua ini ada 15 orang semuanya, guru tasmik dua orang. Saya juga mulai petang tadi mengadakan kelas mengulang al-Quran secara beramai-ramai dengan teknik yang saya rasa boleh diikuti oleh mereka, berdasarkan apa yang kami alami semasa bergelar siswa ketika di bawah didikan Datuk Haji Asmali Bachi dahulu.

Semoga Allah SWT membantu saya, dan saya pohon doa para pembaca agar saya dapat bertahan di sini, kerana saya sangat gembira di sini. Pagi petang saya boleh mendengar al-Quran bersama mereka sekurang-kurangnya satu-dua juzu sehari, dan antara lagi yang menyukakan ialah saya dapat menyertai solat berjamaah bersama mereka di surau yang terletak dalam satu blok yang sama dengan pejabat kami, dan hanya beberapa langkah di hadapan bilik-bilik kuliah kami. Inilah nikmat yang tidak patut saya dustakan.

%d bloggers like this: