Archive for 14 November 2011


Majlis Ihtifal Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral yang diadakan di ruang terbuka sekolah berkenaan semalam berlangsung sederhana tetapi tetap membanggakan ibu bapa yang hadir apabila mereka dimaklumkan dengan pencapaian 100% lulus dalam peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) untuk darjah enam bagi sesi tahun ini 2011.

Menurut jurucakap sekolah, ini tahun ketiga pusat pendidikan bertaraf sekolah agama rakyat (SAR) itu menyertai SRU yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di mana sekolah berkenaan menggunakan sukatan pembelajaran yang dikeluarkan oleh JHEAINS sejak ia ditubuhkan enam tahun lalu.

Ustaz Abdul Rahman Talipuddin, Penolong Pengarah Hal Ehwal Akademik yang merasmikan majlis berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada PPI an-Nur dan berharap mereka meneruskan kecemerlangan untuk tahun-tahun mendatang dengan mengambil langkah-langkah perlu seperti mengadakan seminar persediaan peperiksaan dan kaedah menjawab soalan dengan memanggil pihak Bahagian Pendidikan JHEAINS untuk menyampaikan taklimat kepada para pelajar terbabit.

Selain itu kata beliau, mengambil kira suasana mencabar yang melanda masyarakat, tiada pertahanan paling penting dalam kehidupan ini melainkan ilmu agama yang mesti ada dalam diri setiap umat Islam, dan ia mesti ditanam sejak awal lagi. Sebab itu katanya, JHEAINS sentiasa menyokong dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang membantu mengadakan sekolah agama rakyat agar lebih ramai anak-anak antara 7-12 tahun mendapat pendidikan agama secara formal.

Dalam majlis berkenaan, pelajar-pelajar yang mendapat kedudukan terbaik mendapat penghargaan pihak sekolah. Begitu juga mereka yang mendapat markah 100% dalam setiap subjek diberikan sijil penghargaan. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid, tilawah al-Quran, syarahan agama dan hafazan surah-surah lazim kesemuanya oleh para pelajar sendiri. Majlis berakhir sepenuhnya 10.30 pagi.

Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua murid, guru-guru, ibu bapa dan para penyumbang yang membangunkan infrastruktur sekolah ini. Semoga semuanya mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

%d bloggers like this: