Barangkali dengan satu persepsi yang positif kepada SK Sri Gaya selaku sekolah kluster, saya rasa lebih berkeyakinan apabila tampil di dewan terbuka sekolah berkenaan untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Melangkah Ke Alam Remaja’ di hadapan pelajar-pelajar tahun enam. Ini pertama kali masuk ke sekolah ini tetapi kali ketiga membentangkan tajuk yang sama. Pernah dua kali berceramah dengan tajuk yang sama di sekolah lain, tetapi kali ini saya lebih bersedia dan dapat mengambil pengajaran atas kelemahan terdahulu. Lagi pula, sebenarnya saya tidak biasa berceramah di hadapan anak-anak sekolah rendah.

Jujurnya saya suka dengan majlis yang berlangsung sekitar sejam itu. Sambutan anak-anak darjah enam baik murid lelaki atau perempuan terhadap interaksi dua hala kami, seperti saya meminta ada yang tampil untuk melaungkan azan, takbir hari raya, membaca beberapa surah lazim, meneka rukun Islam, rukun Iman, bahkan kami di hujung ceramah bagai berada dalam konsert dakwah apabila bersama-sama menyanyikan lagu ’25 rasul’, ’10 malaikat’ dan mengumandangkan zikir-zikir munajat.

Antara perkara lain yang sempat saya sebutkan juga ialah berkaitan tanda-tanda aqil baligh, masalah haid, tatacara mandi wajib, tuntutan menutup aurat, kewajiban solat, menjaga maruah, serta kemahiran-kemahiran yang lain seperti boleh melaungkan azan, membaca al-Quran, dan sebagainya. Perkara-perkara ini wajib dimaklumi dan dipraktikkan apabila mereka mencapai taraf aqil baligh. Ini kerana sebahagiannya berpendapat, apabila melangkah ke alam remaja, perkara yang terbayang ialah kebebasan, fesyen yang mendedahkan aurat, telefon bimbit, pasangan cinta boyfriend girlfriend, facebook dan bermacam-macam lagi.

Terima kasih atas undangan pihak sekolah, khususnya sahabat saya Ustaz Mohd Sabri Ibrahim dan rakan-rakan yang lain di sana. Saya gembira sekali bertemu anak-anak pintar itu. Saya rasa pihak penganjur boleh mengembangkan program ini pada masa akan datang dengan program qiyamullail dan lain-lain.