Ini maklumat yang disampaikan kepada saya lewat kotak mesej peribadi facebook lebih dua minggu lalu oleh seorang siswa bertaraf al-Hafiz yang sedang menyambung pengajian di Universiti Yarmouk Jordan. Apabila saya menyemak semula catatan sembang di facebook itu, saya ada menyebut kepadanya untuk mendedahkan kenangan manisnya di sana sebagai perkongsian kepada penjenguk blog ini.
Mohd Nazran Arbaa, berasal dari Semporna, mantan penuntut di Darul Quran Kuala Kubu Baru pernah saya temui di Kota Kinabalu sekali dua, apabila beliau menyertai Majlis Menghafaz al-Quran Negeri Sabah dan sekaligus menjadi wakil Sabah untuk kategori 10 juzu’ beberapa tahun lalu. Saya pula hadir dalam majlis itu sebagai hakim bahagian fatih @ buka dan baca soalan.
Kisahnya begini. Ketika sembang kami di facebook tempohari, Nazran ada mengungkapkan kesyukurannya kerana dapat menyertai satu Majlis Menghafaz al-Quran peringkat universiti. Katanya, dia menyertai musabaqah itu atas ajakan seorang temannya berbangsa arab. Pertandingan itu terbuka kepada semua pelajar universiti dan saya difahamkan beliau satu-satunya pelajar Malaysia yang turut serta.
Kategori yang disertainya ialah tahfiz 1-10 juzu’ dan antara hakimnya ialah seorang Imam Besar di sana yang bernama Syaikh Ma’mun. Di luar dugaan apabila dia diumum sebagai pemenang tempat pertama untuk kategori tersebut. Hanya sayang tiada foto yang dirakam baik ketika majlis berlangsung atau sesi penyampaian hadiah. Hanya keratan sijil ini saja yang dapat disertakannya.
Semoga Nazran terus cemerlang dalam pengajiannya di sana dan nanti boleh pulang berbakti kepada masyarakat Sabah khususnya seluruh umat Islam amnya.