Archive for 10 November 2011


DULU LAIN SEKARANG LAIN

1. Bob Lokman – bekas pelakon, pelawak, komposer;

2. Ustaz Akhil Hayy – bekas penyanyi rock (80-an) ‘D Riyadh’;

3. Megat – bekas penyanyi kumpulan ACAB;

4. Azmil Mustafa – bekas pelakon filem ‘Ali Setan’;

5. Ustaz Radzi – bekas penyanyi rock ‘Melissa’;

6. Iwan Syahman – bekas penyanyi dangdut;

7. Izam – bekas vocalis kumpulan E.Y.E;

8. Sham Kamikaze – bekas gitaris kumpulan ‘kamikaze’;

9. Mel – bekas penyanyi kumpulan ‘Wings’.

“Sesungguhnya engkau tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sayang, tetapi Allah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang disukainya..”

***

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/

Iwan seru rakan artis berubah

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Penyanyi irama dangdut, Iwan, menyeru rakan-rakan artisnya supaya segera berubah bagi mendapatkan keampunan Allah. Menurut beliau, artis-artis yang ingin berubah tidak sepatutnya melengah-lengahkan keinginan itu supaya dengan itu mereka akan menjadi lebih dekat kepada Allah SWT. Katanya, perubahan para artis ke arah yang lebih baik merupakan satu perkara yang penting bagi membolehkan mereka bersama-sama umat Islam lain melakukan perubahan ke arah yang lebih baik pula terhadap masyarakat.

“Marilah kita bersama-sama kembali kepada Allah, kembali kepada fitrah, inilah yang lebih baik. Kalau nak menyanyi tu menyanyilah lagu-lagu yang boleh memberikan manfaat kepada kita dan kepada peminat-peminat kita,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di sini, malam tadi. Menurut beliau, perubahannya berpunca dari banyak sebab dan beliau bersyukur kepada Allah kerana telah memberikan kesempatan kepadanya untuk berfikir supaya berubah.

“Tapi yang pentingnya bagi saya, saya bersyukur dalam keadaan saya sekarang yang lebih tenang dan lebih suka untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya. Iwan yang mula kelihatan berubah sejak 5 tahun lalu berkeupayaan memperlihatkan perubahan yang ketara pada diri dan kehidupannya sejak 2 tahun lalu dan beliau bersyukur kepada Allah kerana diberikan sokongan padu oleh para peminatnya. Beliau yang kini lebih suka menyanyikan lagu-lagu yang berkonsepkan nasyid turut menghasilkan sebuah album seperti itu yang diberi judul Segalanya Allah.

“Alhamdulillah, saya lebih senang menyanyikan lagu-lagu seperti ini. Saya tak segan-segan untuk menyanyikan lagu-lagu ini,” jelas beliau ketika ditemui sempena kunjungannya ke Markas PAS Taman Melewar, di sini, malam tadi bagi mengadakan persembahan pada program Rapat Rakyat anjuran PAS Kawasan Batu.  Kepada peminat-peminatnya, beliau tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberian sokongan yang padu terhadap album tersebut.

‘Doakan saya untuk saya selalu beristiqamah dengan lagu-lagu macam ini untuk anda semua. Harapan saya dengan lagu-lagu macam ini juga dapat mendorong masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Tujuan saya supaya apabila lagu-lagu ini sampai ke telinga orang, khususnya peminat-peminat saya yang masih tenggelam dalam arus dunia seperti saya dulu, kita sama-sama melakukan perubahan yang lebih baik ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT,” ujarnya.

Album Segalanya Allah mengandungi 10 buah lagu. Kesemua lagu dan liriknya dicipta oleh Iwan sendiri. Album tersebut telah berada di pasaran sejak 2 bulan lalu. Menerusi kemunculan album terbarunya itu, beliau yang sebelum ini hanya dikenali dengan Iwan turut melakukan perubahan terhadap namanya dengan menamakan dirinya sebagai Iwan Syahman.

18 Mac 1929 – 9 November 2011

Hujan lebat pada awal pagi ini seolah-olah turut bersedih dengan pemergian seorang tokoh ulama’ yang tidak asing di bumi Sabah. Al-Fadhil Tuan Guru Datuk Ustaz Haji Ahmad Othman (82 tahun) disahkan kembali kerahmatullah sekitar jam 4.25 petang semalam di Sabah Medical Centre (SMC) setelah ditahan sejak hari isnin. Menurut sumber, Allahyarham sempat menunaikan solat hari raya aidil adha di Masjid Bandaraya pada pagi ahad sebelum masuk ke hospital keesokan harinya. SMS menyebarkan pemergian beliau pada saat akhir hari tasyriq itu mula berterbangan selepas maghrib dan umat Islam bertalu-talu berziarah ke rumah beliau di Kg Likas.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah, Alor Setar Kedah (1941-1945); Sekolah Pondok Pantai Cegar, Alor Setar Kedah (1947-1948); Maahad Saulatiah, Makkah (1948-1955); Ma’ahad Ulumudiah, Makkah (1955-1962). Ketika belajar di Masjid al-Haram Makkah (1951-1962) beliau pernah berguru dengan seorang ulama tersohor Sheikh Abdul Kadir al-Mandili; kemudian di Universiti Islam Madinah (1962-1968) sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu; pensyarah agama di Maktab Perguruan Kent Tuaran (1972-1974); Pegawai Bahagian Pendidikan MUIS (1974-1976); Nazir Bahagian Pendidikan MUIS (1976-1981). Ketua Nazir Pendidikan MUIS (1981-1983); Pemangku Pengarah Bahagian Pendidikan MUIS (1983-1986), Timbalan Pengarah Amar Makruf (Dakwah) MUIS (1986-1989), Pengarah Dakwah MUIS (1989-1994) dan Timbalan Mufti Negeri Sabah (1994-1996). Beliau juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sabah (1974-1997). Terlibat secara langsung dalam program keagamaan, antaranya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah sebagai Pengerusi JK Kehakiman MTQ (1977-1994), Ketua Jamaah Hakim MTQ Negeri (1977-1994).

Tidak sedikit jasa beliau dalam perkembangan dakwah di bumi Sabah khususnya sejak beliau mula berhijrah ke Sabah pada awal tahun 70an. Antara sumbangan besar beliau ialah menyusun kurikulum baru SUIS dan SMU (1976); berusaha mendapatkan pengiktirafan dan kouta untuk pelajar Sabah di Universiti Ummul Qura’ Makkah (1980). Beliau juga antara orang yang berperanan mendapatkan pengiktirafan pelajar lepasan SMU Toh Puan Hajjah Rahmah KK bagi melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar Mesir; menyusun aktiviti dakwah dan perlantikan Pengerusi JK Dakwah Daerah, sebagai AJK Penggubal Undang-Undang Syariah Negeri Sabah, pendakwah USIA dan sebagainya.

Selepas menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan, beliau terus menyumbangkan ilmu dan kepakaran beliau dengan memberikan kuliah-kuliah al-Quran, tauhid, fiqah dan sebagainya di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Jangan lupa, beliau adalah penerima Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah pada 1431/2009 di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu Sabah. Allahyarham yang dilahirkan pada 18 Mac 1929 di Kg Alor Merah, Alor Setar Kedah, menetap di Sabah sejak tahun 1971 sehingga pemergiannya. Beliau meninggalkan isteri (yang kami panggil Ummi) dan 10 orang anak (3 lelaki dan 7 perempuan).

Beliau adalah seorang ulama’ yang tegas tetapi tetap dikasihi oleh para murid yang menadah ilmu dengannya. Ketika ziarah kami pada awal tahun 2010 ke rumahnya saat beliau uzur, saya mengiringi Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Ustaz Haji Nahar dan Ustaz Arbaen, beliau sempat memperlihatkan beberapa kitab yang ada dalam maktabahnya, menyebut nama kitab, pengarangnya serta tempat letak kitab tersebut dengan begitu lancar sekali.  Barangkali ada pendapatnya yang tidak dipersetujui namun itu tidak mengurangkan penghormatan dan kasih kepada beliau yang bertaraf tuan guru. Bahkan Ustaz Muchlish sendiri mencium tangan beliau saat kami bertemu dan berpisah.

Barangkali ramai mengingat ketegasan beliau yang tidak bersetuju dengan sebutan penama jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah dalam doa khutbah kedua yang pernah menimbulkan perbincangan satu ketika, sehingga TYT ketika itu, Tun Ahmadshah Abdullah sendiri meleraikan khilaf itu dengan tidak mahu namanya disebut, memadai dengan hanya menyebut gelaran ‘Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah’ sahaja tanpa menyebut nama orangnya dan isterinya. Ketika Presiden PAS Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor meninggal dunia, beliau menggesa masyarakat Islam di Masjid Bandaraya, Likas agar turut menunaikan solat janazah ghaib, katanya bagi membuktikan kata-kata orang UMNO yang bercerita hal perpaduan bangsa dan agama ketika itu.

Ada beberapa kisah menarik yang saya ketahui termasuk soal pendirian politik beliau serta isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat, tetapi buat masa ini biarlah saya pendamkan dahulu untuk saya kisahkan pada masa yang sesuai nanti. Namun dari sudut agama, pemergian seorang ulama’ adalah satu bencana kepada umat yang masih tinggal kerana Allah SWT mencabut ilmu dengan mematikan para ulama’. Hayat dunia masih panjang selama ulama’ masih ada dan berjuang untuk Islam. Namun apabila ulama’ semakin berkurangan, maka orang akan bertanya hukum kepada orang jahil lalu orang jahil menjawab dengan jawapan yang menyesatkan.

Pemergiannya ditangisi oleh pencinta agama di negeri ini khususnya mereka yang mengenali dan menuntut ilmu dengan beliau. Saya sendiri sebak dengan doa yang dirafa’kan oleh Ustaz Haji Muchlish pagi tadi di Masjid Jamek Kg Likas dengan kehadiran kira-kira 500 orang. Pemergian beliau telah mengumpul dan menemukan para pendakwah dan alim ulama’. Solat janazah dipimpin oleh Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim sementara doanya oleh Ustaz Haji Muchlish. Antara yang saya lihat ialah Ustaz Haji Ghazali Sulaiman, Ustaz Datuk Mohammad Nor Wahab, Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Nor Azamuddin Umar, Ustaz Haji Arifin Ali, Ustaz Haji Awang Laiman Ikin, Ustaz Haji Saifuddin Daud, Ustaz Sidik Ag Adi, Ustaz Haji Khamis Jamil, Ustaz Haji Awwaluddin Nasution, Ustazah Hajah Zaloha, Ustazah Hajah Maria Hasibuan dan ramai lagi. Turut kelihatan Speaker DUN Sabah Datuk Salleh Said dan Ahli Parlimen Kalabakan YB Datuk Ghafur Salleh.

***

Di bumi Likas ini, sesiapa menyedari bahawa ramainya alim ulama’ dan para pendakwah yang masih hidup, tinggal dan menetap di sini. Tuan Guru Datuk Haji Ismail Abbas (mantan mufti), Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim, Datuk Ustaz Haji Mohammad Nor Wahab (mantan qadhi besar) dan ramai lagi. Di Taman Perkuburan Umat Islam Kg Likas, juga ramai para pendakwah disemadikan di sini. Sekadar mencatat beberapa tokoh besar di negeri Sabah, Allahyarham Ustaz Umar Sidik, Allahyarham Ustaz Haji Nahar Matamin dan hari ini Tuan Guru Datuk Ustaz Haji Ahmad Othman. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya keatas arwah mereka, memberikan balasan yang hebat di atas jasa-jasa besar mereka serta menempatkan mereka di kalangan orang yang bertaqwa.

Jasad Allahyarham Datuk Ahmad Othman disemadikan beriringan dengan kubur Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin. Al-Fatihah.

%d bloggers like this: