Sebenarnya hati saya sedikit berdebar melihat giliran sembelihan qurban kami agak lewat. Hampir jam 1 setengah petang padahal saya menanti sejak jam 8 pagi. Kenapa saya berdebar begitu, kerana kami sekeluarga merancang untuk mengadakan sedikit kenduri sempena hari raya qurban, mengundang jamaah masjid di kampung dan kawan-kawan ke rumah. Alhamdulillah, jam 3 petang lebih kurang, kami di rumah dan melihat jiran-jiran banyak membantu membuat persiapan yang lain.

Memenuhi tuntutan syarak agar sebahagian daging qurban disedekahkan dalam keadaan mentah kepada mereka yang memerlukan, kakak-kakak ipar memotong-motong kecil daging qurban dan membungkus dalam kadar 1kg untuk satu plastik. Sebagai latihan buat anak-anak, saya arahkan Nuha dan kakak sepupunya, Farah Najihah (10 tahun) untuk bergerak ke rumah-rumah yang kami kenal pasti untuk menyampaikan sedekah qurban. Diingatkan mereka adab-adab ke rumah orang, dan menyatakan sedekah keluarga kami kepada mereka. Mudah-mudahan ia mendidik mereka untuk melakukan kebajikan kepada orang lain.

Selesai maghrib, kumpulan pertama orang-orang kampung dan jamaah masjid datang bertamu. Kami pohon mereka melaungkan takbir hari raya dan doa selamat untuk semua. Selepas itu tetamu lain datang bertamu ke rumah sehingga tetamu terakhir ialah Ustaz Arif dan anak-anak pada jam 10.30 malam. Saya akui keterujaan menyertai ibadah qurban dan aqiqah serta dapat membantu serba sedikit kepada mereka yang memerlukan. Doakan rezeki yang lebih pada tahun hadapan, agar boleh berqurban lebih pula.