Archive for 9 November 2011


KENDURI QURBAN

Sebenarnya hati saya sedikit berdebar melihat giliran sembelihan qurban kami agak lewat. Hampir jam 1 setengah petang padahal saya menanti sejak jam 8 pagi. Kenapa saya berdebar begitu, kerana kami sekeluarga merancang untuk mengadakan sedikit kenduri sempena hari raya qurban, mengundang jamaah masjid di kampung dan kawan-kawan ke rumah. Alhamdulillah, jam 3 petang lebih kurang, kami di rumah dan melihat jiran-jiran banyak membantu membuat persiapan yang lain.

Memenuhi tuntutan syarak agar sebahagian daging qurban disedekahkan dalam keadaan mentah kepada mereka yang memerlukan, kakak-kakak ipar memotong-motong kecil daging qurban dan membungkus dalam kadar 1kg untuk satu plastik. Sebagai latihan buat anak-anak, saya arahkan Nuha dan kakak sepupunya, Farah Najihah (10 tahun) untuk bergerak ke rumah-rumah yang kami kenal pasti untuk menyampaikan sedekah qurban. Diingatkan mereka adab-adab ke rumah orang, dan menyatakan sedekah keluarga kami kepada mereka. Mudah-mudahan ia mendidik mereka untuk melakukan kebajikan kepada orang lain.

Selesai maghrib, kumpulan pertama orang-orang kampung dan jamaah masjid datang bertamu. Kami pohon mereka melaungkan takbir hari raya dan doa selamat untuk semua. Selepas itu tetamu lain datang bertamu ke rumah sehingga tetamu terakhir ialah Ustaz Arif dan anak-anak pada jam 10.30 malam. Saya akui keterujaan menyertai ibadah qurban dan aqiqah serta dapat membantu serba sedikit kepada mereka yang memerlukan. Doakan rezeki yang lebih pada tahun hadapan, agar boleh berqurban lebih pula.

HAMPIR-HAMPIR

Saya ingin bercerita tentang kisah yang berlaku lebih seminggu lalu. Akhir Oktober.

Suatu pagi saya keluar dari rumah, memandu ke arah Putatan. Sehingga di persimpangan ini, (foto atas) dekat kampung Dumpil Putatan, sedang kereta saya bergerak, beberapa kereta dari arah bertentangan pula membuat pusingan-u. Memang jalan di hadapan saya agak lengang dan tiada kenderaan lain di hadapan saya. Perlu maklum, di sini ada lampu trafik untuk kenderaan jalan terus, bagi memudahkan kenderaan dari arah hadapan membuat pusingan-u.

Satu masalah yang berlaku, apabila jalan lengang, ada pemandu kenderaan dari arah bertentangan mungkin beranggapan bahawa laluan jalan hala berhadapan mereka sedang lampu merah. Rasanya itulah tanggapan saya, apabila sebuah bas mini dari arah hadapan saya membuat pusingan-u sedangkan kereta saya terlalu hampir dengan bas tersebut. Boleh jadi dia suka-suka u-turn kerana saya akan berhenti dengan sangkaan lampu trafik sedang berwarna merah.

Mujurlah kelajuan kereta saya agak sederhana, dan saya menekan brek mengejut menyebabkan habis barang di kereta berjatuhan. Sudahlah saya baru kemalangan 3 bulan sebelum itu dengan situasi yang sama, kali ini hampir-hampir berlaku lagi. Hasilnya menyebabkan saya sedikit trauma dan terganggu setiap kali ‘melimpasi’ jalan seumpama begitu. Pihak berkenaan, tolonglah fikirkan sesuatu. Saya rasa bukan saya seorang yang pernah terkena situasi sebegini.

%d bloggers like this: