Ini pengalaman pertama masuk ke premis Jabatan Perkhidmatan Haiwan & Perusahaan Ternak di Kinarut yang selalu dipanggil rumah sembelihan atau rumah potong kerana di sini proses penyembelihan dilakukan. Apatah lagi niat dan tujuan kali ini untuk mengadakan ibadah qurban. Saya akan bahagikan cerita dan aktiviti kami di premis ini kepada dua bahagian entri artikel. Pertamanya berkenaan proses penyembelihan yang diadakan di sini, dan artikel kedua (dalam entri berasingan selepas ini) berkenaan kisah ibadah qurban keluarga kami.

***

Mungkin ada fakta yang tersilap dalam tulisan kali ini. Apa yang saya catatkan hanyalah sebagai pemerhatian kasar saya sepanjang berada kali pertama di sini selama hampir 7 jam menanti giliran lembu kami diqurbankan. Kami memerhatikan kerja-kerja penyembelihan dan melapah yang nampak kemas dan sistematik walaupun kami sendiri letih menanti giliran.

Daripada sijil yang terpapar di dinding pejabat berkenaan terdapat tiga orang pekerja di sini yang dibenarkan untuk melakukan sembelihan. Namun sepanjang lebih setengah hari kami di sana, hanya seorang yang melakukan kerja sembelihan iaitu yang bernama Omar Tahir, katanya berasal dari Kg Benoni Papar. Sementara suasana pejabat dan premis, alhamdulillah tersedia surau yang selesa, tandas yang mencukupi serta satu set sofa dan tv yang memudahkan pelanggan duduk menanti urusan mereka.

Semua pekerja dikehendaki mengenakan pakaian khas, termasuk kasut but. Bahkan pelanggan yang hendak masuk juga sebaiknya mengenakan pakaian yang sama, yang disediakan oleh jabatan berkenaan berbentuk pinjaman tanpa apa-apa bayaran. Sementara lembu atau kerbau yang hendak disembelih biasanya sudah dihantar ke sini sekurang-kurangnya satu malam sebelum disembelih.

Di sini, kami menyaksikan satu proses penyembelihan yang kemas. Seekor demi seekor dikerah mengikut lorong yang ditetapkan menuju ke tempat sembelihan. Masuk ke kawasan berkenaan, kaki haiwan diikat kemas sebelum dinding dan tempat berdiri  haiwan berkenaan akan dibaringkan secara automatik. Mahu tidak mahu haiwan berkenaan akan tumbang juga dan kepalanya kemudian diikat betul-betul dekat dengan lubang yang tersedia untuk memudahkan parang sembelihan. Ketika proses ini berlangsung, ia hanya memerlukan satu atau dua orang pekerja sahaja.

Adab penyembelihan juga nampaknya terjaga elok. Saudara Omar Tahir akan memimpin bacaan doa, takbir hari raya dan parang yang tajam. Kebersihan jua terjaga. Haiwan disiram dan kawasan sembelihan juga disiram sebelum dan selepasnya. Kami gembira sekali menyaksikannya. Parang yang digunakannya sejak tahun 2006 berharga sekitar RM500, dengan sekali dua tarik, lembu yang disembelih akhirnya terkulai dengan masa yang singkat.

Selesai disembelih, kerja-kerja melapah diteruskan oleh dua tiga orang pekerja yang lain pula. Saya perhatikan, proses ini mengambil masa antara setengah jam hingga satu jam lebih kurang. Di satu ruang bersebelahan ada lagi kemudahan-kemudahan lain seperti mesin untuk memotong daging berkenaan kepada saiz yang lebih kecil. Kerja di sini juga tidak lama, mengambil masa tidak sampai setengah jam atau lebih cepat daripada itu.

Pihak pelanggan akan menyediakan kenderaannya di tepi bangunan tersebut untuk diangkut dan dibawa pulang. Saya dimaklumkan oleh pekerja-pekerja yang mesra di sana, bahawa memang ketika hari raya aidil adha adalah tempoh sibuk bagi mereka. Pada ketika kami di sini, kira-kira 15 ekor lembu disembelih manakala pada hari-hari biasa hanya sekitar 4-5 ekor sahaja.

Pekerja sedang mengikat kaki lembu yang berada di balik dinding.

Dinding mula diturunkan dan dibaringkan.

Sikit lagi..

Tumbang juga akhirnya..

Doa dirafa’kan..

Lembu sudah siap diikat, hanya seorang yang menyelesaikan sembelihan.

Kerja-kerja melapah.

Potong kecil-kecil guna mesin.

Potong guna gergaji gergasi.