Saya ‘jeles’ kepada kesungguhan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim sekeluarga yang mengusahakan ibadah qurban setiap tahun. Saya dimaklumkan aktiviti qurban melibatkan anak-anak dan menantu beliau yang masing-masing mengambil satu bahagian sehingga cukup qurban untuk seekor lembu, dan untuk tahun ini lembu yang ditempah untuk qurban mereka boleh tahan juga besarnya sekitar 330kg.
Saya luahkan hasrat yang sama kepada isteri agar kami dapat menyertai ibadah qurban sekeluarga. Kami menyertai dua bahagian – satu qurban dan satu aqiqah untuk anak ketiga – Abdul Hadi. Alhamdulillah hasrat itu disahut oleh abang ipar yang menyertai dua bahagian qurban. Cuma tiga bahagian yang berbaki disertai oleh rakan-rakan lain – Chef Abdullah, Haji Amrullah dan seorang sahabat dari Brunei. Tidak mengapalah untuk kali pertama, hanya dapat empat bahagian, kerana barangkali hasrat itu lewat saya sampaikan kerana ipar-ipar yang lain masing-masing berqurban di tempat lain. Jadi program penyembelihan qurban diadakan serentak untuk kedua-dua ekor lembu milik kami dan keluarga Ustaz Muchlish.
Hampir jam 8 pagi semalam, (raya kedua) kami sudah sampai ketika pagar kawasan premis Jabatan Perkhidmatan Haiwan Kinarut sudah masih tertutup. Rupanya keluarga kami yang pertama sampai. Bersemangat terutama anak-anak yang ingin melihat lembu disembelih. Sejak awal saya asyik bercerita dengan anakanda Abdul Hadi kerana dia adalah penama untuk aqiqah. Maka dialah yang bertahan sehingga tiba giliran penyembelihan dan selesai jam 1.30 petang sementara isteri dan anak-anak yang lain dihantar pulang ke rumah lebih awal.
Entah apa silapnya, barangkali kecetekan pengalaman, walaupun kami datang awal, kamilah pelanggan terakhir yang lembunya disembelih kerana kononnya ada orang lain terlebih dahulu. Mungkin kerana kami tidak mendaftar atau sebab-sebab lain. Tempat sembelihan hanya satu, dan terpaksa menanti sehingga lembu kami adalah sembelihan yang ke-15. Tidak mengapalah, kerana hikmahnya kami dapat melihat banyak lembu yang diqurbankan dan menyaksikan kekemasan pekerja jabatan berkenaan menyelesaikan sembelihan.
Dua ekor lembu kami – satu untuk keluarga Ustaz Muchlish dan satu lagi untuk kami, kedua-duanya disembelih oleh Ustaz Muchlish sementara pekerja di sana menyelesaikan kerja-kerja melapah. Sebelum itu sementara menanti giliran masuk untuk lembu disembelih, Ustaz menyapa saya, agar melihat gelagat dua ekor lembu itu yang saling membersihkan tubuh temannya dengan jilatan-jilatan, seolah-olah bersedia untuk berpisah antara satu sama lain. Alhamdulillah, selesai semuanya dan kami pulang ke rumah jam 2.30 petang.