Khatib : Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim

Lokasi : Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kota Kinabalu

Saat umat islam melaksanakan ibadah wuquf di Arafah dan melontar di Mina, marilah kita berdoa semoga mereka diberikan kemudahan, kelapangan dan nikmat menunaikan ibadah haji. Kita dimaklumkan hadith Rasulullah yang sangat terkenal, bahawa haji yang mabrur tiada balasan lain kecuali syurga. Semoga para haji dan hajjah akan pulang dan menjadi teladan sebagai ahli syurga. Sementara kita yang tidak berkesempatan ke sana, berdoalah agar diberikan rezeki untuk sampai ke sana suatu hari nanti. Orang yang pernah ke sana akan pasti rindu untuk melaksanakannya dan datang sekali lagi.

Di tanah air, suasana berhari raya sudah terasa dengan takbir raya bermula pada subuh hari Arafah, dan melakukan ibadah puasa, dengan fadhilat yang sangat hebat iaitu keampunan dosa setahun sebelum dan sesudah. Ia dimeriahkan lagi dengan pensyariatan ibadah qurban yang merupakan satu kesempatan terbaik untuk mendapat keampunan Allah SWT. “Apabila seseorang berazam untuk berqurban, hendaklah ia tidak memotong kuku, rambut dan lain-lain anggota tubuhnya agar sama-sama mendapat kelebihan dan pahala di sisi Allah..” Hadith Rasulullah SAW.

QURBAN

Qurban adalah lambang kepatuhan kepada Allah SWT. Nabi Ibrahim dan keluarganya telah menunjukkan kepatuhan dan keikhlasan yang tidak terhingga terhadap perintah Allah SWT. Firman Allah SWT : “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya” (al-Hajj : 37).

Pengertian orang yang berqurban dan melaksanakan syiar-syiar agama Allah bahawa mereka cukup dekat dengan Allah, dan terus serta merta menyertai ibadah ini dan tidak berkira dengan soal harga dan sebagainya. Qurban juga adalah tanggungjawab kemasyarakatan, menjadi jambatan kepada hubungan silaturrahim, kasih sayang antara pemberi dan penerima qurban, bahkan wajib menyerahkan sebahagian daging qurban kepada fakir miskin.

Laksanakanlah ibadah ini sebaik mungkin menurut syariat yang telah ditetapkan. Hayatilah amaran Rasulullah SAW ini : “Sesiapa yang mempunyai kelebihan daripada perbelanjaan hidupnya tetapi sengaja tidak melaksanakan ibadah qurban, maka jangan dekati tempat solat hari raya kami”. Kerana Allah berfirman : maka dirikanlah solat dan lakukanlah sembelihan qurban. Para ulama’ berkata, orang yang layak tetapi hanya memilih hanya salah satu perintah, orang seumpama ini mempunyai masalah dalam hidupnya.

Berapa ramai manusia mempunyai banyak kenderaan di dunia membayar sekian banyak wangnya setiap bulan bertahun-tahun lamanya untuk kepentingan hidupnya di dunia. Namun amat malang sekiranya mereka tidak bersungguh-sungguh dalam memastikan kenderaannya di akhirat, sehingga amat dibimbangi ia terpaksa berjalan kaki di akhirat kerana tidak mengambil kepentingan akhirat dalam hidupnya, seperti tidak mahu berqurban semasa hayatnya.

KISAH KELUARGA NABI IBRAHIM AS

Saat Nabi Ibrahim meninggalkan isteri dan anaknya di bumi Makkah yang gersang, saat belum ada bangunan Kaabah dan belum ada air zamzam kerana taatkan perintah Allah SWT.  Apabila Nabi Ismail meningkat remaja (sekitar 13 tahun), datang perintah Allah SWT untuk melakukan sembelihan. Syaitan hadir menggoda Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Hajar agar mereka melanggar perintah Allah SWT, namun kesemua mereka tetap taat dan patuh kepada Allah SWT.

Ia memberikan suatu teladan yang sangat besar. Keluarga yang baik adalah tergantung kepada kepatuhan mereka kepada Allah SWT. Antara ciri keluarga yang baik ialah mereka menyerahkan diri kepada Allah seperti melaksanakan solat dan sebagainya. Jika ingin keluarga baik, maka baikilah hubungan dengan Allah SWT. Sentiasa bersyukur kepada Allah, bukan merungut walaupun sebenarnya mereka mendapat banyak kebaikan. Semoga kita mendapat banyak teladan dalam kisah Nabi Ibrahim dan keluarganya ini untuk diserapkan dalam keluarga masing-masing.