Saya memilih untuk berada di Surau Riyadhus Solihin Surau Austral pada tahun ini untuk menyertai majlis solat hari raya dan khutbah, kemudian ibadah qurban. Asalnya saya hanya menetapkan pendirian pasti ke situ untuk majlis qurban sahaja tanpa menetapkan tempat ke mana-mana masjid atau surau untuk solat hari raya. Hanya awal pagi saya mengetahui di sana bermula solat jam 7.45 pagi dan langsung ke sana. Surau penuh sesak dengan kehadiran tidak kurang 500 jamaah di dalam dan luar.

Khutbah bersemangat dan penuh motivasi daripada Yang Mulia Tuan Guru Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim berkenaan ibadah haji dan qurban serta pengajaran yang diperolehi daripada kedua-duanya. Begitu juga beliau mengutarakan perbandingan orang yang berlumba-lumba untuk menyertai ibadah qurban dengan orang yang berlumba-lumba mengumpul kenderaan dunia. Doa beliau pada akhir khutbah, sebahagian besarnya diterjemahkan, menusuk perasaan mereka yang mahu dekat kepada agama, dan saya dimaklumkan sesudah itu ramai yang menitiskan air mata.

Selesai solat dan khutbah hari raya, pihak JK Surau telah menyediakan jamuan makan berat dengan menu utamanya ialah daging kambing. Rupanya petugas-petugas surau telah bertungkus lumus sejak tengahari semalam (sabtu) menyembelih lima ekor kambing berstatus aqiqah, sebahagiannya untuk dijamu kepada jamaah solat hari raya sebelum semuanya bersedia untuk ibadah qurban pula.

Keseluruhannya di surau ini terdapat sembelihan lapan ekor lembu, dan sepuluh ekor kambing – termasuk lima aqiqah yang disembelih awal untuk meringankan kerja-kerja ibadah qurban pada hari raya pertama. Kebanyakan sembelihan dilakukan oleh Ustaz Haji Muchlish dan beberapa baki yang lain disembelih oleh Ustaz Agus Latif, Ustaz Mohammad Suaid dan lain-lain.

Seronoknya melihat kesatuan jamaah bertungkus lumus menumbangkan haiwan qurban, disembelih dan dilapah, dengan kebanyakan peserta qurban sendiri hadir bersama keluarga masing-masing berbahagi tugasan di kalangan mereka, sehinggalah seterusnya sekumpulan yang lain bergerak mengedarkan sebahagian daging qurban kepada umat Islam yang memerlukan, sementara sebahagian kecil dimasak untuk dimakan beramai-ramai. Semua aktiviti ini selesai menjelang asar.