Khatib : Ustaz Mohd Hailmi Misbah

Lokasi : Masjid al-Kauthar, Kg Tanjung Aru Kota Kinabalu

Firman Allah : “…Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekalian makhluk.” (S. Ali-Imraan: 97).

Pemfarduan   ibadah haji bukan semata-mata untuk menyempurnakan Rukun Islam yang kelima, tetapi pelaksanaannya juga merakamkan rasa syukur kepada Allah SWT atas nikmat harta, kesihatan, kelapangan, ketenangan dan sebagainya yang dikurniakan-Nya. Maka, dalam memenuhi tuntutan serta kewajipan ini, kini berjuta-juta umat Islam sedang berhimpun di Kota Suci Mekah. Mereka datang dari pelbagai pelusuk dunia  menterjemahkan keyakinan dan perpaduan bertunjangkan Al-Quran dan As-Sunnah. Matlamatnya adalah untuk memperolehi  curahan rahmat, keampunan dan keredaan Allah SWT supaya selamat sejahtera di dunia dan di akhirat.

Sementara itu, kita yang berada di tanah air atau dalam erti kata tidak berada di tanah suci menunaikan fardu haji, tidak harus membiarkan hari-hari bermanfaat di bulan Zulhijjah ini berlalu begitu sahaja.  Ini kerana terdapat beberapa amalan yang besar fadilatnya untuk kita kerjakan. Selain daripada meraikan Aidiladha atau perayaan penyembelihan korban, kita juga sangat dianjurkan supaya berpuasa dalam sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Amalan ini berdasarkan kepada hadis bersumber daripada Jabir ra, katanya Rasulullah SAW ada bersabda, yang bermaksud:  “Barang siapa yang berpuasa dalam sepuluh hari bulan Zulhijjah, Allah menulis untuknya bagi setiap puasa yang dilakukan ganjaran puasa setahun.”

Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijjah, terutama pada Hari Arafah.  Ini kerana ganjaran berpuasa pada hari  para jemaah haji berwukuf di padang Arafah ialah keampunan dosa setahun lalu dan setahun akan datang  sepertimana hadis dari Abu Qatadah, bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa hari Arafah. Jawab Baginda : “Pengampunan dosa bagi tahun lalu dan tahun akan datang.” (HR Muslim).