Archive for 3 November 2011


BICARA ASIA BARAT

 

 

 

 

Petang tadi, kami bertiga – Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Chef Abdullah Ahmad dan saya, bergerak ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak di Penampang untuk meninjau lembu yang bakal kami beli untuk ibadah qurban. Tempahan kami pada asalnya adalah bersama-sama dengan tempahan lembu yang dibuat oleh Masjid Negeri Sabah sebanyak 14 ekor (termasuk dua ekor lembu untuk kami). Kami dimaklumkan lembu dibawa dari Lahad Datu.

Kami dibawa ke kawasan kandang oleh pekerja di sana. Kami difahamkan puluhan lembu-lembu yang ada ditempah sempena ibadah qurban. Sebahagian sudah mula dihantar ke lokasi qurban masing-masing dan sebahagian lagi akan dihantar pada sabtu atau ahad mengikut permintaan pelanggan. Kami ditunjukkan lembu yang baru sampai dari Lahad Datu dan Keningau, teruja melihat lembu-lembu yang akan diqurbankan nanti. Pekerja tersebut memaklumkan beberapa lembu yang ditempah oleh TYT Tun Juhar Mahiruddin untuk diagihkan ke beberapa buah masjid terpilih.

Lembu yang pada awalnya untuk kami didatangkan dari Lahad Datu, berharga sekitar RM32++ seekor dengan berat tidak sampai 250kg. Kami meninjau lembu dari Keningau, kelihatannya lebih besar. Rezeki kami, kata pekerja di situ, boleh tukar tempahan dan kebetulan ada dua ekor lembu dari Keningau yang masih belum bertuan. Beratnya 310kg dan 330kg, beza sekitar 80-90kg berbanding yang tadi, tetapi harga melonjak sedikit. Seekor berharga RM3720 dan seekor lagi RM3960.

“Lagi besar, lebih banyak dagingnya, maka itu lebih utama”, kata ustaz.

Saya pakat-pakat setuju dengan chef, dengan sedikit tambahan ongkos kerana kami hanya mengutip RM500 satu bahagian bersamaan RM3500 seekor, perlu tambahan RM270. Teruja melihat lembu-lembu yang sihat-sihat, gemuk, tegap dan mantap. Ada yang berharga lebih RM4000, melihat kepada besar dan beratnya. Kami setuju dengan dua ekor lembu dari Keningau, justeru pekerjanya meletak tanda di tubuh lembu berkenaan untuk kami.

Dua ekor lembu berkenaan akan dihantar ke pusat penyembelihan di Kinarut pada pagi atau petang ahad dengan kos RM50 sahaja untuk sekali penghantaran. Kami merancang sembelihan diadakan pada pagi isnin di sana dan semua kerja melapah dilakukan oleh pekerja di sana secara percuma. Kemudian diagih kepada tujuh bahagian atas penama masing-masing, seterusnya masing-masing akan mengagihkan kepada sasaran mereka. Saya teruja menantinya.

Foto lembu menyusul…

%d bloggers like this: