Di Dewan Sa’adah Wisma MUIS Kota Kinabalu siang tadi, seramai 253 murid berumur 6 tahun telah menerima sijil konvokesyen dan tamat belajar dalam satu Majlis Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pantai Barat Sabah bagi sesi 1432H/2011M. Mereka adalah murid-murid daripada 16 buah PASTI yang terdapat di sekitar Kota Kinabalu, Sepanggar dan Putatan.

Sementara itu, dua murid terbaik diisytiharkan sebagai penerima anugerah Tokoh Ibnu Sina. Aisyah Mahfuzah Bt Bachotang (5 tahun) daripada PASTI al-Amal Likas dan Nur Nassahel Hassan (6 tahun) daripada PASTI Nurul Hasanah Bukit Padang. Selain itu, murid-murid cemerlang dan mendapat tempat pertama hingga ketiga yang berumur 5 tahun juga menerima hadiah masing-masing dalam majlis berkenaan.

Majlis juga dimeriahkan dengan beberapa persembahan murid-murid seperti tilawah al-Quran, nasyid, praktikal pembelajaran al-Quran teknik al-Baghdadi, cabutan tiket bertuah dan sebagainya. Ketua Penerangan PAS Sabah, Hishamuddin Sulaiman hadir merasmikan dan seterusnya menyampaikan sijil konvokesyen berkenaan yang turut dihadiri tidak kurang 500 orang tetamu termasuk ibu bapa, keluarga murid dan tetamu undangan yang lain.

Alhamdulillah, kami sekeluarga hadir bagi memberi sokongan kepada dua orang anak yang tampil ke pentas kali ini. Hana Sumayyah, 6 tahun – anak kedua kami menamatkan pengajian di PASTI al-Fathonah Pasir Putih Putatan menerima sijil konvokesyen dan hadiah tempat pertama di PASTInya. Seorang lagi, Abdul Hadi turut menerima hadiah tempat kedua dari PASTI yang sama untuk kelas murid 5 tahun. Sehingga kini, 3 orang anak-anak kami menuntut di PASTI dan insya Allah seorang lagi akan memasuki institusi yang sama tahun hadapan.