Terlalu banyak bait-bait nasihat yang diungkapkan oleh penceramah, Tuan Guru Zulkifli Muhammad Shuhaimi Syatiri dari Pondok Sungai Dedak Kedah dalam syarahan beliau di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral malam ini. Ceramah beliau dilimpahi oleh jamaah surau sempena pelancaran dana amal untuk Pusat Pendidikan Islam an-Nur, Taman Austral yang kini meneruskan fasa pembinaan dan menyiapkan blok menempatkan bilik guru.

Benar seperti yang beliau ungkapkan, bahawa manusia adalah jenis makhluk atau baka yang mempunyai akhir hayat, justeru apakah yang diinginkan oleh setiap manusia pada akhir hayatnya? Adakah dia menginginkan kematian yang dipenuhi dengan kebaikan, serta saham amal jariah yang berpanjangan walaupun sesudah kematiannya? Atau dia mahu memenuhkan kehidupannya dengan kejahatan dan pulang ke sisi-Nya dengan dosa yang bertimbun tanpa mendapat keampunan-Nya?

Dari satu sisi, kebaikan yang hendak dilakukan oleh manusia di dalam kehidupan hendaklah berpandukan kepada al-Quran dan Hadith Nabi SAW serta tunjuk ajar para alim ulama’ sebagaimana seorang yang hendak bermusafir di dunia memerlukan panduan seperti peta, GPS, papan tanda dan sebagainya. Maka demikianlah juga kehidupan sebagai hamba Allah mestikan berpandukan sesuatu yang benar iaitu al-Quran dan Hadith baginda SAW.

Semoga nasihat-nasihat tuan guru akan dapat sama-sama kita manfaatkan.