Archive for 28 Oktober 2011


AKAN PINDAH

Saya dipindahkan ke sini.

Mengejutkan.

Saya dimaklumkan petang tadi surat pertukaran beberapa orang pegawai JHEAINS dan nama saya terkandung di dalamnya. Surat itu, arahan pertukaran nama yang terlibat adalah bersifat serta merta. Walaubagaimanapun, berdasarkan amalan biasa, surat melapor diri ke tempat baru akan dikemukakan dalam masa terdekat, hanya tarikh mula bertugas akan dibincangkan kemudian.

Ketua saya juga terkejut dengan perpindahan saya. Maklumlah, bilik saya bersebelahan dengannya dan saya salah seorang teman bualnya khususnya berkenaan isu-isu dakwah dan isu semasa. Jujurnya saya tidak ada memohon secara rasmi dan bersurat walaupun saya pernah menulisnya. Hanya pernah meluahkan isi hati melalui pertemuan saya dengan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Islam, itu pun rasanya sudah lebih setahun lalu. Alhamdulillah, beliau memahami dan saya meyakini beliau amat berperanan.

Orang pertama saya maklumkan ialah isteri saya. Dan masih ramai rakan-rakan belum mengetahui pertukaran itu. Allah SWT maqbulkan doa saya sejak Mac 2010, ketika kami menunaikan umrah. Saya panjatkan doa ketika tawaf, di hadapan maqam ibrahim, di multazam, hijir ismail, di raudhah bahkan sesudah pulang ke tanahair. Sedikitpun saya tidak benci bahagian saya bertugas sekarang, kerana saya mempunyai ketua dan rakan-rakan sepejabat yang baik dan memahami.

Hanya di tempat baru ini memang sudah lama saya impikan, demi al-Quran yang berada di dalam hati saya. Atas kelemahan diri, saya memerlukan suasana dan lokasi yang kondusif untuk menjaga al-Quran ini. Insya Allah saya akan melapor diri minggu hadapan kepada puan pengetua di sana. Bila mula bertugas, akan dibincangkan nanti. Semoga Allah memudahkan urusan dan memberikan yang terbaik untuk saya dan kita semua.

Khatib : Ustaz Haji Abu Hurairah Abdurrahman

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Firman Allah SWT :

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil) : “Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab : “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa. “Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku pula tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam;

“Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri, maka dengan itu engkau menjadi ahli neraka, dan itulah balasan orang-orang yang zalim”. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya, oleh itu dia termasuk golongan orang-orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata : “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?” kerana itu ia termasuk golongan orang-orang yang menyesal.” (al-Maidah : 27-31)

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya” (al-Hajj : 37)

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (setelah itu) Allah berfirman : “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata : “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman : “(Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.” (al-Baqarah : 124)

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya : Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” (al-Baqarah : 214)

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Ibrahim : 37).

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu ; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab : “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami). Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

“Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. (as-Soffat : 102-111).

%d bloggers like this: