Ahad kali ini agak santai pengisian Darussyifa’ Sabah. Sesudah berhempas pulas menghafaz dan memperdengarkan hafazan sejak petang sabtu hingga malam, pada pagi ahad lepas, hanya diadakan solat hajat dan majlis zikir. Ya, banyak manfaat dengan majlis zikir ini. Ia membiasakan agar lidah kita basah dengan menyebut kalamullah SWT, doa-doa warid daripada Nabi SAW. Selain itu, ia menjadi pertahanan diri kepada mereka yang biasa mengamalkannya.

Maklum saja, terdapat mangsa-mangsa yang terkena gangguan sihir akibat perbuatan orang lain, mungkin saja kerana kebencian musuh, dengki atau sikap balas dendam. Jadi apabila mangsa mereka berjaya dirawat, tidak mustahil mereka mensasarkan perawat pula untuk disihir, disantau dan sebagainya. Justeru amalan-amalan harian seperti solat fardhu dan sunat, tilawah al-Quran, wirid yang ma’thur akan menjadi benteng daripada gangguan berkenaan. Saya memahami bahawa majlis yang dibimbing dalam Darussyifa’ adalah satu panduan yang baik dan setiap ahli wajar melazimi aktiviti zikir ini dengan lebih kerap lagi secara individu.

Setinggi penghargaan dan terima kasih kami kepada semua pembimbing Darussyifa Bangi yang hadir kali ini, semoga bertemu lagi pada sesi akan datang. Dijangka kami hanya memerlukan satu atau dua kali kuliah saja lagi, satu sesi ujian tasmik ruqyah dan tasmik herba. Kepada sahabat-sahabat yang sangkut ujian tempohari dapat bersabar dan terus berusaha membaiki bacaan dan hafazan, tidak berputus asa dengan keputusan yang diperolehi. Insya Allah bertemu lagi pada sesi akan datang (2012) nanti dengan kualiti hafazan ruqyah berikutnya yang lebih mantap lagi.