Semangat juga para mumtahin Darussyifa’ kami yang datang dari Bangi. Meski mereka terus menerus memeriksa dan mentashihkan hafazan ruqyah kami sejak jam 2 petang hingga 10 malam (berhenti ketika solat dan makan saja), habis saja sesi ujian lisan itu, Ustaz Nik Anwar mengajak rombongan Bangi bersama kami teman-teman rapat untuk santai-santai di Tanjung Lipat Corner (TLC).

Saya sedikit beruntung barangkali kerana dapat naik satu kenderaan dengan Ustaz Zulkifli dan Ustaz Haji Abdul Rahman, kami bersembang banyak hal tentang Darussyifa’, tentang cabaran pengubatan Islam, keadaan kesihatan Ustaz Ismail Kamus yang mereka baru ziarahi, dan pelbagai perkara lagi sebelum tiba di lokasi tujuan kami. Menurut Ustaz Zul dan Ustaz Abdul Rahman, tidak kurang 6 ribu lepasan Darussyifa’ namun yang aktif mungkin hanya sekitar 1/3.

Nasihat mereka agar lepasan Darussyifa’ beramal dengan ilmu yang diberi, agar dapat membantu masyarakat, berdakwah menyampaikan ajaran Islam melalui pengubatan Islam, membetulkan aqidah mereka dan tidak berdiam diri atau sekadar untuk manfaat diri dan keluarga sahaja. Perlu disedari, masyarakat yang jahil agama dan lemah iman, mudah menerima apa saja pertolongan orang tambah lagi ketika dalam kesusahan dan kesakitan termasuk pertolongan yang membawa kepada syirik dan khurafat.

Oh ya, di TLC kami banyak meratah ikan, memandangkan selepas maghrib tadinya sudah makan malam. Asalnya berhajat untuk menu lain, tapi sudah kehabisan memandangkan TLC adalah satu premis yang terkenal dan menjadi pilihan pelanggan di Anjung Selera ini.