Archive for 25 Oktober 2011


ZIKIR PAGI AHAD

Ahad kali ini agak santai pengisian Darussyifa’ Sabah. Sesudah berhempas pulas menghafaz dan memperdengarkan hafazan sejak petang sabtu hingga malam, pada pagi ahad lepas, hanya diadakan solat hajat dan majlis zikir. Ya, banyak manfaat dengan majlis zikir ini. Ia membiasakan agar lidah kita basah dengan menyebut kalamullah SWT, doa-doa warid daripada Nabi SAW. Selain itu, ia menjadi pertahanan diri kepada mereka yang biasa mengamalkannya.

Maklum saja, terdapat mangsa-mangsa yang terkena gangguan sihir akibat perbuatan orang lain, mungkin saja kerana kebencian musuh, dengki atau sikap balas dendam. Jadi apabila mangsa mereka berjaya dirawat, tidak mustahil mereka mensasarkan perawat pula untuk disihir, disantau dan sebagainya. Justeru amalan-amalan harian seperti solat fardhu dan sunat, tilawah al-Quran, wirid yang ma’thur akan menjadi benteng daripada gangguan berkenaan. Saya memahami bahawa majlis yang dibimbing dalam Darussyifa’ adalah satu panduan yang baik dan setiap ahli wajar melazimi aktiviti zikir ini dengan lebih kerap lagi secara individu.

Setinggi penghargaan dan terima kasih kami kepada semua pembimbing Darussyifa Bangi yang hadir kali ini, semoga bertemu lagi pada sesi akan datang. Dijangka kami hanya memerlukan satu atau dua kali kuliah saja lagi, satu sesi ujian tasmik ruqyah dan tasmik herba. Kepada sahabat-sahabat yang sangkut ujian tempohari dapat bersabar dan terus berusaha membaiki bacaan dan hafazan, tidak berputus asa dengan keputusan yang diperolehi. Insya Allah bertemu lagi pada sesi akan datang (2012) nanti dengan kualiti hafazan ruqyah berikutnya yang lebih mantap lagi.

Semangat juga para mumtahin Darussyifa’ kami yang datang dari Bangi. Meski mereka terus menerus memeriksa dan mentashihkan hafazan ruqyah kami sejak jam 2 petang hingga 10 malam (berhenti ketika solat dan makan saja), habis saja sesi ujian lisan itu, Ustaz Nik Anwar mengajak rombongan Bangi bersama kami teman-teman rapat untuk santai-santai di Tanjung Lipat Corner (TLC).

Saya sedikit beruntung barangkali kerana dapat naik satu kenderaan dengan Ustaz Zulkifli dan Ustaz Haji Abdul Rahman,┬ákami bersembang banyak hal tentang Darussyifa’, tentang cabaran pengubatan Islam, keadaan kesihatan Ustaz Ismail Kamus yang mereka baru ziarahi, dan pelbagai perkara lagi sebelum tiba di lokasi tujuan kami. Menurut Ustaz Zul dan Ustaz Abdul Rahman, tidak kurang 6 ribu lepasan Darussyifa’ namun yang aktif mungkin hanya sekitar 1/3.

Nasihat mereka agar lepasan Darussyifa’ beramal dengan ilmu yang diberi, agar dapat membantu masyarakat, berdakwah menyampaikan ajaran Islam melalui pengubatan Islam, membetulkan aqidah mereka dan tidak berdiam diri atau sekadar untuk manfaat diri dan keluarga sahaja. Perlu disedari, masyarakat yang jahil agama dan lemah iman, mudah menerima apa saja pertolongan orang tambah lagi ketika dalam kesusahan dan kesakitan termasuk pertolongan yang membawa kepada syirik dan khurafat.

Oh ya, di TLC kami banyak meratah ikan, memandangkan selepas maghrib tadinya sudah makan malam. Asalnya berhajat untuk menu lain, tapi sudah kehabisan memandangkan TLC adalah satu premis yang terkenal dan menjadi pilihan pelanggan di Anjung Selera ini.

 

%d bloggers like this: