Archive for 24 Oktober 2011


TASMIK RUQYAH

Gembira menanti giliran?

Kali terakhir berhadapan dengan guru dengan tujuan tasmik hafazan ialah pada tahun 2000-2003 ketika menuntut di Mesir dulu. Tasmik matan qiraat khususnya dan bertalaqqi al-Quran riwayat Hafs dan Warsyh bergurukan Shaikh Muhammad Abdun Nabiy, pensyarah kegemaran ramai pelajar Malaysia ketika itu dan kini. Dalam bab al-Quran ini juga saya bertalaqqi dan tasmik dengan seorang syaikh yang saya lupa namanya di Mansoura buat beberapa bulan terakhir.

Kembali ke gelanggang tasmik sebagai pelajar Darussyifa’ Cawangan Sabah, kami dikehendaki menghafaz dan memperdengarkan (tasmik) hafazan kepada guru yang didatangkan khas dari Darussyifa’ Bangi diketuai oleh Ustaz Zulkifli, Ustaz Abd Rahman dan dua yang lain (lupa pula namanya). Petang sabtu bermula jam 2, semua berkumpul dan ditaklimatkan. Kemudian semua dikehendaki keluar sebelum nama dipanggil seorang demi seorang untuk tasmik ruqyah asas yang pertama sahaja yang mengandungi 10 ayat dan doa.

Memang, suasana ini agak mendebarkan walaupun dunia menghafaz bukan sesuatu yang asing. Saya lihat sahabat-sahabat yang asyik dengan buku ruqyah di tangan, menghafaz dan mengulanginya dengan bersungguh-sungguh. Ramai juga yang duduk berkumpulan bercerita dan bergembira, barangkali ingin menghilangkan tekanan dan debaran masing-masing. Sementara seorang demi seorang dipanggil dan kemudian keluar, menjadi tempat sahabat lain bertanya keadaan mereka. Saya sendiri dipanggil masuk selepas asar untuk tasmik ruqyah asas pertama.

Pusingan pertama ini khabarnya ada beberapa orang yang sangkut daripada 120 pelajar yang hadir. Sekitar jam 9 malam, ruang dibuka untuk pelajar yang ingin tasmik ruqyah kedua sebanyak 13 ayat dan doa, dan alhamdulillah saya dapat menyelesaikan pusingan kedua ini. Rupanya terdapat lima sahabat yang dapat melepasi tasmik hingga ruqyah ketiga sehinggalah Ustaz Zulkifli meminta ruqyah asas ketiga dihentikan sehingga peperiksaan berikutnya. Sebenarnya ramai juga yang sudah bersedia untuk tasmik ruqyah asas ketiga namun tidak dibenarkan oleh Ustaz Zul selaku ketua bahagian peperiksaan.

Apakan daya.

Selepas isyak jumaat lepas kami berkumpul di sebuah hotel di Kota Kinabalu. Kami dimaklumkan berlaku beberapa kes gangguan makhluk halus kepada beberapa pekerja hotel berkenaan. Hampir 10 orang kami berkumpul di sebuah bilik tingkat 9. Pertamanya solat hajat dipimpin oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dan kemudian bacaan yasin dan zikir yang diketuai oleh Ustaz Haji Ahmad Nasir Harun.

Dua gelen air diruqyah dan pada akhir majlis air berkenaan direnjis di lokasi tertentu. Sebenarnya, sesi ‘merawat’ bangunan bukanlah sesuatu benda yang asing. Makhluk halus seperti jin dan syaitan barangkali merasa terganggu dan merasa manusia mencerobohi tempat mereka tinggal selama ini. Mungkin kelemahan daripada individu itu sendiri juga barangkali yang tiada pertahanan diri seperti tidak solat, tidak menutup aurat, tiada zikir atau amalan agama dalam dirinya sehingga mereka dan tempat tertentu diganggu.

Di sekitar Pantai Barat Selatan ini, insya Allah jika ada permintaan kami sedia membantu sekadar yang kami mampu.

%d bloggers like this: