Suatu malam saya pulang lewat.

Hampir Putatan saya teringat pesanan isteri untuk membeli sedikit keperluan anak-anak yang agak mendesak. Saya keletihan dan tidak berhajat untuk patah balik ke arah Kepayan, Tanjung Aru, Sembulan atau ke Kota Kinabalu. Putatan menjadi daerah penuh dan semakin berkembang pesat pembangunannya, jadi saya terpaksa meronda mencari kedai-kedai runcit 24 jam sekitar pekan.

Nampaknya tiada.

Saya lihat poliklinik 24 jam, restoran india 24 jam, premis atm bank 24 jam, tapi belum ada kedai runcit seperti ‘Seven Eleven’, ‘Orange’ dan sebagainya di kawasan pekan. Belum ada. Barangkali kosnya tinggi, risikonya juga besar. Dalam keletihan itu, saya gagahi juga memandu ke arah Kg Ketiau, manalah tau ada bertemu kedai-kedai runcit yang masih buka tengah malam.

Rezeki saya bertemu dengan sebuah rumah berdekatan Kg Serigai di tepi jalan, selepas SK Tansau dan sebelum SMK Tansau. Rumah 2 tingkat, dan di bawahnya ada kedai runcit. 24 jam, akui mereka. Apa yang saya cari, saya temui di situ. Saya lupa nama kedai tersebut, tapi saya tolong promosi di sini, untuk orang Putatan. Saya ucapkan tahniah kepada mereka, walaupun sepatutnya di tengah pekan Putatan yang semakin berkembang itu sudah ada kedai runcit 24 jam.