Saya kira ini pengalaman baru lagi manis apabila dapat berkongsi sedikit ilmu atas tajuk tahsin surah al-Fatihah dan tahsin solat bersama hampir 40 orang pegawai Kastam pada 18hb Oktober lalu di Akademi Kastam, dekat Sepanggar. Lucunya, sesudah separuh perjalanan ceramah itu, baru saya tahu di hadapan saya ini pesertanya adalah dari seluruh negara, kebanyakannya menjadi imam dan bilal di perumahan kastam masing-masing. Alahai kenapa saya tidak diberitahu lebih awal!

Lucunya saya mengajar mereka tentang al-Fatihah dan solat terlalu asas sedangkan mereka adalah imam-imam dan bilal. Kecuali beberapa orang, majoriti mereka mempunyai kualiti bacaan yang sangat baik. Saya membentangkan foto-foto pergerakan solat, dan bacaan-bacaan dalam solat secara bertalaqqi dan bermusyafahah. Sesi yang kedua, saya dibantu 3 siswa maahad tahfiz untuk memperbetulkan tajwid surah al-fatihah mereka dan surah-surah lazim mengikut pilihan mereka sendiri.

Sesi ketiga, kami ke surau al-Abid untuk praktikal solat satu rakaat, memperbaiki dan memperbetulkan mana yang kurang. Secara keseluruhannya, kami tidak banyak masalah dengan keseluruhan sesi dan program ini. Mereka berkampung di sini beberapa hari dengan slot-slot yang lain sehingga jumaat sebelum kembali ke tempat masing-masing. Semoga ada kebaikannya, tahniah kepada penganjur dan peserta, terima kasih atas undangan, dan penghargaan kepada anak-anak tahfiz yang membantu dan menemani saya.