Archive for 22 Oktober 2011


Saya kira ini pengalaman baru lagi manis apabila dapat berkongsi sedikit ilmu atas tajuk tahsin surah al-Fatihah dan tahsin solat bersama hampir 40 orang pegawai Kastam pada 18hb Oktober lalu di Akademi Kastam, dekat Sepanggar. Lucunya, sesudah separuh perjalanan ceramah itu, baru saya tahu di hadapan saya ini pesertanya adalah dari seluruh negara, kebanyakannya menjadi imam dan bilal di perumahan kastam masing-masing. Alahai kenapa saya tidak diberitahu lebih awal!

Lucunya saya mengajar mereka tentang al-Fatihah dan solat terlalu asas sedangkan mereka adalah imam-imam dan bilal. Kecuali beberapa orang, majoriti mereka mempunyai kualiti bacaan yang sangat baik. Saya membentangkan foto-foto pergerakan solat, dan bacaan-bacaan dalam solat secara bertalaqqi dan bermusyafahah. Sesi yang kedua, saya dibantu 3 siswa maahad tahfiz untuk memperbetulkan tajwid surah al-fatihah mereka dan surah-surah lazim mengikut pilihan mereka sendiri.

Sesi ketiga, kami ke surau al-Abid untuk praktikal solat satu rakaat, memperbaiki dan memperbetulkan mana yang kurang. Secara keseluruhannya, kami tidak banyak masalah dengan keseluruhan sesi dan program ini. Mereka berkampung di sini beberapa hari dengan slot-slot yang lain sehingga jumaat sebelum kembali ke tempat masing-masing. Semoga ada kebaikannya, tahniah kepada penganjur dan peserta, terima kasih atas undangan, dan penghargaan kepada anak-anak tahfiz yang membantu dan menemani saya.

GOMBAK, 22 Okt:Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setiap blogger mahupun pengamal media baru perlu banyak belajar agar boleh menjadi seorang penulis yang berhemah.

“Setiap blogger serta pengamal media baru perlu terus belajar dan jangan henti untuk kita terus belajar kerana ia akan dapat melahirkan kita sebagai penulis yang lebih berhemah. Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan blogger memaparkan dengan perkara yang tidak betul dan melemparkan fitnah-fitnah,” jelasnya sewaktu merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini.

Tambahnya lagi, sebagai seorang blogger perlu mempunyai sifat-sifat yang mulia, bukannya menulis perkara-perkara fitnah. Beliau juga memberitahu ada penyakit yang perlu diubat dalam dunia blogger yang dilihat sentiasa melemparkan perkara-perkara yang tidak benar malah menjadikan ia satu usaha penyebaran unsur-unsur jahat dengan niat.

“Penyakit menyebar fitnah perlu diubat kerana ini akan menjadikan budaya ytang tidak sihat di negara ini malah ia akan menjadikan budaya penyebaran fitnah yang tidak berhemah. Saya tekankan di sini blogger kena belajar dan mempunyai pengetahuan agama yang kuat, cara ini sajalah yang dapat mengubat penyakit penyebar fitnah di dalam dunia media baru. Selain itu pembelajaran kesasteraan juga perlu untuk kita mantapkan penulis ayar ayat-ayat yang kita tulis mempunyai nilai tersendiri serta menarik minat pembaca,” sambungnya lagi. Nik Aziz juga meminta blogger serta pengamal media baru mempelajari bagaimanakah cara untuk menjawab setiap isu fitnah dengan menitik berat serta mengambarkan nilai-nilai keIslaman kerana ia juga dapat memberi kesan mendalam kepada penjelasan kepada fitnah.

“Kita perlu belajar untuk menjawab setiap persoalan dan ini akan memastikan untuk setiap soalan atau fitnah dapat kita perjelaskan kembali dengan cara yang baik, ini akan memberi kesan kepada setiap pembaca. Di sinilah yang akan dinilai oleh setiap pembaca dan mereka sendiri yang akan menilai siapa yang betul mahupun tidak dan saya pasti penjelasan yang baik Umno juga akan dapat berubah setelah tidak dapat menimbulkan isu baru kerana penjelasan kita berikan itu,” tambah Nik Aziz lagi.

Menteri Besar Kelantan itu juga menjelaskan persaingan juga perlu kerana ia mendatangkan kesan kepada apa yang dilakukan dan dapat menimbulkan kebenaran kepada sesuatu perkara. “Persaingan yang baik akan melahirkan kebenaran kerana isu yang timbul akan dibahas serta pendapat masing-masing dan akhirnya mendatangkan kebenaran yang diterima oleh semua,” katanya.

Persidangan yang dianjurkan oleh Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat bersama dengan Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat selama sehari ini meletakkan objektif menyeragamkan pemahaman garis panduan gerak kerja bersepadu facebook atau twitter kepada semua petugas penerangan dan maklumat di semua peringkat. Ia juga bertujuan mengulangkaji mengemaskini dan mendapat maklum balas status kesediaan keperluan ICT di semua peringkat serta berkongsi pengetahuan berhubung dengan media sosial dan webtv sebagai sumber maklumat alternatif serta mendapat sokongan dan komitmen dari kepimpinan tertinggi PAS untuk melancarkan Jentera Bersepadu Petugas ICT dalam jentera pilihan raya dan penerangan lebih awal sebagai persediaan dalam menghadapi pilihanraya umum nanti.

%d bloggers like this: