Apa hal dengan foto ini?

Durian? Bukan!

Penjualnya? Ya!

Foto ini saya rakam santai dengan kamera telefon bimbit, di Jalan Raja Alang Kampung Baru pada malam isnin lepas. Saya keluar pada tengah malam, malam terakhir kami bermesyuarat penyemakan teks al-Quran di Hotel Regency di jalan yang sama. Dalam keadaan kerja penyemakan saya belum selesai, saya nekad keluar sebentar menghilangkan keletihan.

Sasaran yang sudah saya tetapkan ialah gerai menjual durian di situ. Saya terlupa bertanya nama abang yang menjual durian tersebut. Mulanya dia bercerita tentang durian-durian itu. Ya dia mendapatkan saya durian kuning yang begitu lazat sekali. Saya duduk di kerusi yang disediakan di belakangnya. Sementara saya makan, dia melayan pelanggan yang lalu lalang.

Setengah jam saya duduk makan di belakangnya, saya kagum dengan kerajinannya melangsaikan kerja-kerja yang dibuatnya. Barangkali, apa kelebihannya? Dia sempat menceritakan kemalangan jalanraya yang dialaminya 2 tahun lalu, tetapi itu tidak memutuskan semangatnya untuk bekerja dan tidak mengharap dan meminta ihsan orang lain dengan duduk berdiam diri saja. Melihat situasinya, memberi suatu iktibar yang bermakna kepada mereka yang mahu mengambil pengajaran.

Pada hari ini ramai orang yang sihat tubuh badan, kuat tenaganya dan berusia muda tetapi melakukan kerja-kerja jenayah dan kemungkaran, atau paling tidak suka meminta-minta simpati dan sedekah (walaupun halal) tetapi kurang elok pada pandangan ugama kita. Tidak mahu bekerja mencari rezeki yang halal yang kemudiannya menjadi darah dagingnya dan ahli keluarganya.

Tentang foto lelaki penjual durian itu, cuba perhatikan kakinya.