Sekalung tahniah dari Abu Nuha Corner (dan rasanya bagi pihak pelayar setia blog ini) di atas kejayaan saudara-saudaraku di Universiti al-Azhar Mesir yang telah menamatkan pengajian mereka masing-masing untuk sesi berakhir 1432H ini. Alhamdulillah, puja dan puji ke hadrat Allah SWT yang mengurniakan kejayaan ini kepada mereka.

Kami menantikan kehadiran mereka untuk mengisi ruang-ruang dakwah yang sangat luas dan terbuka ini khususnya di gelanggang negeri Sabah. Medannya terlalu luas, baik di sekolah dan pusat pengajian, di masjid dan surau, hatta di pasar dan padang permainan. Sasarannya juga segenap usia dan kedudukan – daripada kanak-kanak sehingga orang tua, golongan mustad’afin dan al-mala’.

Entah sama ada saya sesuai menasihatkan mereka atau tidak. Tetapi peninggalan para guru dan alim ulama antanya ialah akan sebuah ayat al-Quran daripada surah at-Taubah, ayat 122 : “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang yang tinggal itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Duduk dari kanan : Guntur Benjare (Usuluddin), Suhaili bin Mohd Said (Usuluddin), Azhar Haji Jismil (syariah) dan Suhaidi Kuanting (Qiraat). Berdiri dari kanan : Erna Suzieana Ag Matusin (Syariah), Jainuddin Ires (Syariah), Mohd Arif Hairal (Syariah), Mahadir bin Amboala (Qiraat) dan Azlinah Abdul Ghani (Syariah).