Archive for 19 Oktober 2011


MENANTI MEREKA PULANG

Sekalung tahniah dari Abu Nuha Corner (dan rasanya bagi pihak pelayar setia blog ini) di atas kejayaan saudara-saudaraku di Universiti al-Azhar Mesir yang telah menamatkan pengajian mereka masing-masing untuk sesi berakhir 1432H ini. Alhamdulillah, puja dan puji ke hadrat Allah SWT yang mengurniakan kejayaan ini kepada mereka.

Kami menantikan kehadiran mereka untuk mengisi ruang-ruang dakwah yang sangat luas dan terbuka ini khususnya di gelanggang negeri Sabah. Medannya terlalu luas, baik di sekolah dan pusat pengajian, di masjid dan surau, hatta di pasar dan padang permainan. Sasarannya juga segenap usia dan kedudukan – daripada kanak-kanak sehingga orang tua, golongan mustad’afin dan al-mala’.

Entah sama ada saya sesuai menasihatkan mereka atau tidak. Tetapi peninggalan para guru dan alim ulama antanya ialah akan sebuah ayat al-Quran daripada surah at-Taubah, ayat 122 : “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang yang tinggal itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Duduk dari kanan : Guntur Benjare (Usuluddin), Suhaili bin Mohd Said (Usuluddin), Azhar Haji Jismil (syariah) dan Suhaidi Kuanting (Qiraat). Berdiri dari kanan : Erna Suzieana Ag Matusin (Syariah), Jainuddin Ires (Syariah), Mohd Arif Hairal (Syariah), Mahadir bin Amboala (Qiraat) dan Azlinah Abdul Ghani (Syariah).

KOTA BHARU – 24 daripada 32 telaga minyak dan gas di Medan Bumi dan Suria berhampiran perairan negeri itu memulakan pengeluaran sejak April lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa. Menurutnya, kerajaan negeri kecewa kerana tidak dimaklumkan perkara tersebut walaupun telaga berkenaan berada di kawasan Kelantan sepertimana hasil royaltinya yang tidak dapat dimiliki rakyat negeri ini.

“Berdasarkan pengeluaran minyak dan gas mutakhir, 12 daripada 16 telaga minyak di Medan Bumi sudah mengeluarkan hasil sejak April lalu manakala 12 lagi telaga gas daripada 16 telaga di Medan Suria juga memulakan pengeluaran. Saya diberitahu Kerajaan Terengganu menerima royalti minyak sebanyak RM936 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. Bayangkan jika setahun berapa jumlah keseluruhan yang diperolehi Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim, semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil daripada minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan-Thailand, Kelantan-Vietnam dan Kelantan-Terengganu. Berikutan dinafikan royalti minyak itu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lalu.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum berkata, sehingga kini timbul persoalan kenapa Terengganu diberikan keistimewaan menerima bayaran royalti minyak berbanding Kelantan yang diketepikan. Menurutnya, kedua-dua kawasan telaga minyak dan gas itu hampir dengan Kelantan dan hanya mengambil masa 35 minit menggunakan helikopter dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

%d bloggers like this: