Alhamdulillah, selesai mengadakan mesyuarat sejak jumaat malam sabtu hingga tengahari tadi di Hotel Regency Jalan Raja Alang Kampung Baru Kuala Lumpur. Lokasi yang pertama kali saya masuk dan menginap di sini, walaupun sebelum ini jalan berkenaan pernah beberapa kali saya lalui kerana hajat makan durian bersama sahabat-sahabat lain yang merupakan tempat paling strategik di sini.

Kehadiran mesyuarat sangat baik, hanya seorang ahli lajnah yang tidak hadir iaitu Ustaz Shukri Sarkawi dari Sarawak yang menunaikan fardhu haji bersama rombongan Majlis Ugama Islam Sarawak. Di pihak urus setia, Ustaz Haji Mohd Rahimi Dato’ Ibrahim juga sudah bertolak ke tanah suci. Minggu hadapan khabarnya pengerusi kami Ybhg Dato’ Haji Mohammad Nor Mansur juga berangkat sama.

Muqaddimah pertemuan kami turut dihadiri oleh Encik Abdul Aziz Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran dan Ustaz Nawawi, Timbalan Setiausaha Bahagian. Mesyuarat awal tertumpu beberapa perkara antaranya berkait dengan kekuatan yang wajar digembeling dan kelemahan manusiawai yang patut diperbaiki dalam memeriksa dan mengesahkan sesuatu bahan al-Quran yang disemak.

Bermula malam itu sehingga pagi isnin tadi, secara keseluruhannya setiap seorang daripada kami menyemak 62 juzu’. Memang kali ini agak meletihkan, di mana setidak-tidaknya pada sepanjang sabtu dan ahad sebaiknya menyelesaikan 30 juzu’ sehari, sementara pagi isnin untuk membuat rumusan dan laporan sebelum mesyuarat akhir diadakan, memberikan cadangan kepada lembaga teks al-Quran, sama ada menerima atau menolak bahan al-Quran yang sudah disemak.

Ada sedikit kelainan dalam mesyuarat ini, ahli lajnah dibahagi-bahagikan kepada kumpulan, bertanggungjawab kepada bahan-bahan semakan tertentu daripada awal juzu’ sehingga ke akhirnya, membahagi-bahagikan sendiri jumlah juzu’ sesama ahli kumpulan masing-masing dan duduk secara berkumpulan di meja bulat. Alhamdulillah, semuanya dapat disudahkan dengan baik.