Buku Yang Sudah Dibaca :

Penulis : Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Penerbit : Dewan Ulama’ PAS Pusat

Para Ulama Tafsir di kalangan para sahabat, tabi’in dan seterusnya menyatakan bahawa kalimah ‘kebajikan’ yang disebut oleh al-Qur’an adalah mempunyai maksudnya yang sangat luas dan menyeluruh sehingga merangkumi seluruh ajaran Islam yang sempurna, bukan sahaja dalam hubungan dengan manusia di alam dunia dan segala keperluannya, bahkan merangkumi hubungan dengan Allah yang ada perhitungan dosa dan pahala sehingga ke hari akhirat.

Kebajikan itu bukan sahaja beramal baik dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah, bahkan termasuk menunaikan perintah Allah supaya beramal baik terhadap makhlukNya, manusia, binatang, tumbuhan dan lainnya. Begitu juga terhadap seluruh manusia samada penganut Islam mahupun bukan Islam.

Kejayaan yang memberi erti yang sebenarnya adalah dengan melaksanakan kebajikan itu secara menyeluruh, termasuklah peranan yang lebih besar melaksanakan kebajikan itu secara organisasi yang menggabungkan kalangan umat sehingga ke peringkat menegakkan negara.

Apabila disebut negara maka hendaklah merangkumi rukunnya, iaitu para pemimpin yang baik dan berakhlak, beriman dan budiman, bukan sahaja berilmu dan berpengalaman, bahkan termasuklah perlembagaan dan undang-undang yang adil kepada semua, rakyat bermoral dan taat dalam perkara yang baik, bukannya bertuhankan kerajaan sehingga mentaatinya secara mutlak tanpa mengira adil atau zalim, baik atau buruk.