Terbitan : Bahagian Penyelidikan & Informasi, JHEAINS

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban) dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir miskin”. (Surah Al-Hajj, ayat : 27-28)

Hikmah dan pengajaran daripada ayat ini amat banyak dan besar pengaruhnya dalam diri dan kehidupan umat Islam. Antara hikmah dan kebaikan yang banyak itu, ialah :

1. Untuk menyaksikan berbagai-bagai tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT di tanah suci Makkah.

2. Untuk menyaksikan berbagai-bagai perkara yang berfaedah atau bermanfaat bagi umat Islam yang mengerjakan ibadat Haji.

3. Untuk memperingati dan menyebut nama Allah SWT semasa mengerjakan ibadat Haji.

4. Untuk merebut peluang melakukan ibadat korban semasa musim ibadat Haji di bumi Makkah.

5. Untuk menikmati sendiri daging korban di bumi Makkah.

6. Untuk merebut peluang memberi makan kepada fakir miskin dari daging korban yang dikorbankan di Makkah. Pesanan Nabi SAW kepada umat Islam yang mampu, tetapi tidak mahu menunaikan ibadat Haji, sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai bekal dan kenderaan, kemudian dia tidak
juga menunaikan ibadat Haji, maka tidak ada halangan lagi baginya untuk memilih matinya sebagai seorang Yahudi atau Nasrani”. (HR At-Tirmizi dan Imam Ahmad) .

Umat Islam yang berkemampuan, tapi tidak juga mahu mengerjakan ibadat Haji, mereka ini diancam sama ada mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani. Kemampuan bermaksud, mampu dari segi perbelanjaan wang ringgit, kesihatan tubuh badan dan juga ada mempunyai kenderaan serta perjalanan yang selamat.  Saidina Umar Al-Khattab RA ketika menjadi khalifah pernah menyampaikan suatu ancaman bagi orang yang melalaikan kewajipan ibadat Haji, katanya :

“Sesungguhnya ada maksudku hendak mengutus beberapa orang ke negeri-negeri besar itu, supaya mereka selidiki tiap-tiap orang yang mempunyai kemampuan, pada hal dia tidak juga mahu pergi Haji. Untuk orang ini supaya dikenakan saja jizyah (cukai). Sebab mereka bukan Islam. Mereka bukan Islam”.

Inilah ketegasan dan hikmah kebijaksanaan seorang khalifah Islam dalam mempastikan aqidah dan Syariat Islam terpelihara dalam kalangan umat Islam yang mempunyai kemampuan agar selamat dan tidak mati dalam keadaan Yahudi dan Nasrani. Ini juga bermakna bahawa ibadat Haji itu amat penting bagi umat Islam yang telah cukup syarat-syarat wajib untuk mengerjakan ibadat Haji. Ia hanya diwajibkan sekali seumur hidup bagi yang mampu.