Sumber : http://presiden.pas.org.my/v2/

Oleh Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang

(sambungan tafsir surah al-maidah ayat 79)

Sabda nabi : “Apabila dilakukan kejahatan (dosa) diatas muka bumi dan terdapat terdapat pula orang yang menyaksikannya, lalu dia membencinya, dia adalah orang yang tidak bersama dengan (kejahatan itu). Dan sesiapa tidak berada di dalam majlis maksiat, tiba-tiba dia redha kepadanya, dia seperti orang yang hadir di dalam majlis berkenaan”

Ia melihat maksiat tetapi benci  kepada maksiat berkenaan, namun dia tidak dapat lari dari melihat maksiat berkenaan itu kerana ia dikurung, maka dia diselamatkan Allah seperti mereka yang tidak melakukan maksiat walaupun hadir di dalam majlis tersebut. Sementara orang yang tidak berada di dalam majlis maksiat, tetapi dia redha dengan majlis maksiat itu, seperti memberi lessen kepada majlis maksiat atau seumpamanya, maka hukumnya sama dengan orang yang melakukan maksiat. Oleh sebab itu, menurut kaedah ilmu fekah bahawa sesiapa yang redha dengan kekufuran, maka dia jadi kafir. Begitu juga jika kita redha dengan maksiat, kita turut terlibat dengan maksiat.

Seorang sahabat nabi bernama Abu Sa’id Al-Khudri r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w berkhutbah yang bermaksud “ingatlah jangan seseorang itu takut kepada orang ramai sehingga dia berkata benar apabila dia mengetahui perkara yang benar.” Ertinya, jangan ada dikalangan kamu apabila melihat perkara yang sebenar melainkan mesti menyatakan kebenaran dan mencegah mungkar apabila melihat kemungkaran, jangan berdiam diri untuk cegah mungkar kerana takut kepada orang ramai.

Abu Sa’id yang meriwayatkan hadis ini menangis sambil berkata: Demi Allah !! kami melihat beberapa perkara mungkar lalu kami merasa takut, inilah kelemahan kami. Tidak sebagaimana beberapa orang sahabat, bila melihat perkara tidak betul, mereka menegurnya tidak kira siapa. Hatta Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab pernah menasihatkan, pada suatu ketika setelah barang-barang daripada Parsi antaranya kain yang dirampas daripada peperangan menentang kerajaan Parsi, Saidina Umar membahagikan kain-kain berkenaan kepada penduduk Madinah.

Esok masing-masing memakai baju yang dibuat daripada kain berkenaan, Saidina Umar pun memakai baju dari kain yang dibahagi-bahagikan itu, lalu bangun seorang sahabat dan berkata : Kami tidak mahu dengar dan kami tidak mahu taat tuan. Saidina Umar berkata kepadanya : Kenapa kamu berkata demikian? Sahabat itu bertanya pula: dari mana kamu ambil baju yang dipakai ini? Kerana mengikut pembahagian semalam tidak padan kain itu dengan tubuh kamu, kerana kain yang kamu dapat semalam sedikit sahaja.

Lalu Saidina Umar menyuruh anaknya bangun, bangun wahai Abdullah!! Lalu Abdullah bin Umar menyatakan bahawa saya memberikan bahagian saya kepada ayah saya. (untuk melengkapkan jadi sehelai baju). Sahabat itu berkata : Sekarang saya mendengar dan saya taat. Ini menggambarkan bagaimana amalan yang dilaksanakan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Berlaku di zaman para sahabat r.a dan bagaimana saidina Umar menguruskan soal pembahagian harta rampasan perang dengan adil, sehingga dia sendiri menerima bahagian sebagaimana sahabat yang lain walaupun tidak mencukupinya.

Begitu juga di zaman khalifah Muawiyyah bin Abi Sufian ketika bangun berucap dengan dan taatlah aku, lalu bangun seorang tabi’in, Abu Qasim Al-Khula’I yang juga seorang ulama’ yang masih muda, sedangkan Muawiyyah seorang yang sudah tua menjadi khalifah. Kata Abu Qasim : Wahai Muawiyyah!! Sesungguhnya harta yang kamu kumpul diambil dari negeri ini, bukan dari titik peluh kamu, juga bukan dari ibu bapa dan pusaka kamu, ini adalah harta negara, mengapa kamu bertindak demikian?

Muawiyah tidak tahan lalu lari dari majlis berkenaan, lalu dia datang semula lalu berkata : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya syaitan itu daripada api dan sesungguhnya marah itu daripada syaitan, untuk memadamkan api, air digunakan justeru sesiapa yang marah hendaklah dia berwudhu’, aku telah berwudhu’ kerana mendengar Rasulullah s.a.w, sebenarnya apa yang kamu katakana itu adalah benar. Peristiwa itu berlaku dizaman kegemilangan Islam.