Alhamdulillah, tengahari tadi sempat turut memeriahkan suasana di Terminal Satu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menghantar sejumlah 18 siswa-siswi Sabah yang menyambung pengajian ke Mesir.  Bilangan itu termasuk 2 orang yang mengikuti pengajian perubatan di sana. Antara yang hadir mengucapkan selamat jalan ialah pegawai-pegawai dari Pusat Zakat Sabah, JHEAINS selain ibu bapa dan keluarga pelajar.

Rasanya ini tahun ketiga atau keempat saya ikut ‘menyemak’ di sana, mengucapkan tahniah kepada ibu bapa, memberi nasihat secara percuma tanpa diminta, menyabarkan kesedihan mereka berpisah antara satu sama lain dan barangkali babak paling menggembirakan ialah meminta mereka (mana yang dapat) berkumpul sekeluarga dan merakamkan foto-foto kenangan mereka.

Seperti biasa, memang ada yang menitiskan air mata baik yang pergi atau yang ditinggalkan, tidak kira siswa atau siswinya juga. Hanya satu harapan saya (kerana saya tahu mereka membaca dan melayari blog ini – terima kasih), sila hargai nilai air mata yang mengalir di wajah ibu bapa dan keluarga kalian. Jangan sia-siakan pengorbanan dan harapan mereka, buktikan kalian adalah anak-anak soleh dan solehah yang boleh berjaya dalam pengajian dan kehidupan.

Saya tahu ada kalangan mereka terdiri daripada keluarga yang susah, justeru ibu bapa dan keluarga memerlukan kudrat yang lebih untuk menyalurkan kewangan setiap bulan kepada mereka. Barangkali tidak ramai anak-anak yang menyedari, apa yang dibincangkan oleh kedua ibu bapa mereka setiap malam, memikirkan sara yang wajar dikirim, mencedok dan mengorek dari mana-mana sumber halal untuk kemudahan anak di perantauan.

Saya juga dapat maklum ada sesetengah ibu bapa yang keberatan dan tidak melepaskan anak-anak mereka menyambung pengajian kerana pelbagai sebab. Antaranya masalah kesempitan kewangan, dan satu lagi ialah keengganan melepaskan anak perempuan kerana bimbangkan keselamatan anak masing-masing. Betullah, semuanya sayangkan anak mereka, tetapi sebahagiannya tidak mendapat maklumat yang benar dan tepat, kerana ada menjangkakan anak mereka akan tinggal sendirian, tiada langsung kawan-kawan perempuan, menjadi mangsa rusuhan dan sebagainya.

Jadi, anak-anak dan adik-adik yang berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Mesir (atau ke mana juga), tolong perbetulkan persepsi yang salah itu dan berikan khabar gembira kepada ibu bapa sendiri dan ibu bapa kawan-kawan yang tidak dapat menyambung pengajian kerana masalah ketidakcukupan informasi yang benar itu. Semoga kalian berjaya membentuk diri menjadi manusia yang berilmu, beriman dan beramal, serta kemudian berbakti kepada masyarakat, memberikan inzar kepada kaumnya supaya mereka beringat-ingat.

Sementara itu, yang sudah menyelesaikan pengajian, baliklah ke negeri masing-masing. Kerja dakwah terlalu banyak untuk dipikul di pundak kalian. Mari kita bersama-sama memikulnya.

(Foto-foto di atas dan bawah, jika berkaitan, boleh dan halal disalin (copy), cetak dan tampal di bilik kalian. Sila maklumkan juga keluarga kalian di kampung tentang foto ini, sebab ada keluarga pelajar yang meminta saya salinan foto ini (sedang saya tidak ada nombor kontek mereka), dan lagi bagus layarilah blog ini. Bertambah juga trafik di blog ini. Kalian hendak tahu aktiviti dakwah dan isu di sekitar sini, datang-datanglah ke blog ini. 😉