Archive for 11 Oktober 2011


Alhamdulillah, siang tadi saya mengiringi bos, Ustaz Musally Moksin menyertai mesyuarat perhubungan bersama agensi-agensi yang berkaitan di bawah Akta Mesin Cetak 1984 (P) 1987 & Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986 (P) 1998 anjuran Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri, Negeri Sabah. Turut hadir ialah Encik Abdul Aziz Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks al-Quran, KDN Putrajaya yang telah saya kenali lebih awal sebelum ini melalui mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran.

Antara yang dibincangkan ialah pemeriksaan dan operasi bersepadu pihak KDN dengan PDRM, KDRM, DBKK, JAKIM dan JHEAINS. Menyuarat juga dimaklumkan secara ringkas tentang kewujudan Lajnah Tashih al-Quran, cara al-Quran disemak dan kehadiran saya juga selain mewakili JHEAINS juga diwarwarkan sebagai ahli lajnah tashih dari Sabah. Bagi pihak JHEAINS, memang pernah beberapa kali kami menyertai operasi bersama khususnya meninjau premis-premis buku khasnya yang menjual buku-buku yang dilarang dipasarkan.

Melalui pertemuan itu juga saya dapat mengetahui prosedur keselamatan yang ketat di Lapangan Terbang (seperti di LTA Kota Kinabalu) dan ia  turut dibincangkan agar memudahkan pegawai penguatkuasa Bahagian PQ Sabah melakukan tugas masing-masing di bahagian dalam.  Berdasarkan apa yang dimaklumkan dan diedarkan pagi itu, saya persilakan saudara-saudara melayari web KDN berikut untuk mengetahui garis panduan penerbitan, contohnya berkaitan foto dan iklan, iklan yang berkait dengan tembakau, iklan ubat, iklan talian 600, liputan perbicaraan kes jenayah dan pembunuhan akhbar tempatan, dan juga garis panduan penerbitan yang dikeluarkan oleh JAKIM.

Lihat di sini : http://www.moha.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=93&Itemid=102&lang=ms

GARIS PANDUAN PENERBITAN JAKIM

Kriteria-Kriteria Utama Dalam Menentukan Kedudukan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam :

  • Tidak Mengandungi Perkara-perkara Yang Menyentuh Kesucian Islam.
  • Tidak Mempropagandakan Akidah, Hukum dan Ajaran Yang Bercanggah Dengan Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
  • Tidak Mempersendakan Dan Mempersoalkan Kewibawaan Sumber-sumber Hukum Islam Yang Utama Iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias.
  • Tidak Bercanggah Dengan Pegangan Mazhab Ahli Sunah Wal-Jamaah.
  • Tidak Bertentangan Dengan Fatwa Atau Pendapat Jumhur Ulama’.
  • Tidak Mengandungi Unsur-unsur Israiliat, Khurafat Dan Kebudayaan Karut.
  • Tidak Menimbulkan Keraguan Dan Kegelisahan Awam.
  • Tidak Mengandungi Penulisan Ayat-ayat Al-Quran Dengan Tulisan Selain Daripada Bahasa Arab.
  • Tidak Menyalahi Fakta-Fakta Sejarah.
  • Tidak Mengilustrasikan Gambar-gambar Para Nabi, Sahabat Yang Empat, Malaikat Serta Memperwatakkan Gambar-gambar Tersebut.

Sumber : http://erakita.wordpress.com/

TAJUK ASAL : ‘SEJARAH TERCIPTA: HUKUMAN SEBAT ISLAM PERTAMA DI SABAH’

10 Oktober 2011

Dengan izin Allah s.w.t, akhirnya hukuman sebat menurut perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu Sabah terlaksana. Tepat jam 10.45 pagi tadi, seorang pesalah jenayah syariah atas kesalahan melakukan persetubuhan haram menurut Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah, 1995 selesai menjalani hukuman 5 kali sebatan.

Penjara Kepayan Kota Kinabalu mencatatkan sejarah tersendiri apabila pesalah, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun menjadi pesalah pertama yang disebat di penjara berkenaan menurut kehendak undang-undang Islam. Sebatan tersebut disaksikan oleh para pegawai kanan penjara dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.

Cukup mengujakan apabila hukuman berdasarkan kehendak Islam terlaksana. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan melainkan kesyukuran setinggi-tingginya kepada Allah yang telah menentukan hukuman yang bukan menyakitkan tetapi penuh dengan hikmah yang tersendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sesiapa yang menyaksikan perlaksanaan hukuman berkenaan akan mengakui betapa hebat dan indahnya hukuman menurut Islam.

Hukuman tersebut jauh sekali dari apa yang disangkakan dan diperkatakan oleh banyak pihak selama ini. Satu yang menghairankan. Mengapa sebilangan manusia di sekeliling kita  begitu takut dengan hukum Islam sedangkan hakikatnya, ia begitu hebat  dan sukar ditandingi oleh mana-mana hukuman ciptaan manusia. Siapakah kita yang begini kerdil untuk mempertikaikan hukum dan undang-undang ciptaan Allah?

Maha Suci Allah yang maha mengetahui segala yang terang dan tersembunyi.

………

Ulasan :

Saya tertarik dengan artikel di atas dan walaupun sebatan yang dilakukan kepada pesalah berkenaan belum menepati 100% menurut petunjuk Islam, namun berdasarkan maklumat tambahan lain yang saya terima, asasnya sudah ada iaitu ukuran rotan yang digunakan dan cara sebatan berkenaan dilakukan sudah menurut kaedah yang menepati syariah.  Hanya beberapa perkara patut difikirkan jalan dan usahanya untuk pelaksanaan yang lebih menyeluruh iaitu jumlah sebatan dan tempat sebatan dilakukan.

Saya fikir sahabat-sahabat di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah boleh memikirkan hal ini, membuat kertas kerja untuk dipanjangkan ke peringkat lebih atas seperti ke Parlimen sehingga jumlah sebatan digandakan berbanding hanya enam kali sekarang dan diadakan di tempat terbuka. Insya Allah akan ada jalannya.

Maklumat tambahan (suntingan dari blog erakita.wordpress.com) :

ENAKMEN 9 TAHUN 2004
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2004

BAHAGIAN V – PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 8 – DARIHAL HUKUMAN DAN PELAKSANAANNYA


Seksyen 125. Hukuman sebat.

(1) Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

(2) Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

(3) Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat, iaitu –

(a) sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu adalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu;

(b) jika pesalah itu sedang hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan;

(c) hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu;

(d) orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang;

(e) orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah;

(f) selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya;

(g) sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit;

(h) pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut Hukum Syarak;

(i) jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk;

(j) jika semasa pelaksanaan hukum sebat itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.(4) Dalam hal pesalah itu dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

(5) Jika Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu, oleh sebab umur tua, keuzuran atau apa-apa sebab lain tidak dapat menjalani hukuman sebat pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujukkan kepada Mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksanakan mengikut cara yang difikirkannya munasabah.

Huraian – Umur tua ertinya telah mencapai umur lima puluh tahun atau lebih.

Masa pelaksanaan hukuman sebat pula diperuntukkan dalam Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Sabah (2004). Berikut adalah versi penuh seksyen berkenaan.

Seksyen 126. Masa melaksanakan hukuman sebat.

(1) Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman pemenjaraan, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah rayuan yang berkenaan.

(2) Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.

%d bloggers like this: